Thursday, May 27, 2010

Jatuh Cinta

Lagi-lagi cerita pasal sahabat saya. Kali ini, dia jatuh cinta! Dia nak jumpa di cafe Istana Budaya, dan ingin minta saya jadi kaunselornya. Saya jawab ok, datanglah. Dan dia pun datang dengan rambut serabai, misai dan janggutnya yang tidak bercukur.
"Apa masalah kau?" tanya saya.
"Aku jatuh cinta."
"Baguslah, ada peningkatan. Tapi apa dah jadi dengan muka kau serabai dan dan baju berkedut tak terurus."
"Isteri aku dah angkut anak-anak balik kampung."
"Aii..berbelas tahun kahwin nak jaga bini sorang pun tak boleh? Ada hati jatuh cinta lagi!" saya saja-saja acahnya.
"Aku datang nak minta nasihat, bukan nak minta kau menyebelahi bini aku."
"Ok. Mana kau jumpa makwe baru kau ni?"
"Kat Awana Genting, ketika minum pagi di Cafenya."
"Dah lama?"
"Baru dua bulan."
"Baru dua bulan? Kau lupakan dia, dan kau balik kampung isteri kau, ambil isteri dan anak-anak engkau tu balik KL. Habis tutup fail."
"Mi, pinjam duit 500. Semua gaji aku bulan ni, makwe baru aku dah kebas."

Saturday, May 22, 2010

Dua Penggilan

Suami Guru
Panggilan pertama daripada seorang sahabat yang beristerikan guru. Dia meledak marah membaca laporan akhbar pagi yang berkemungkinan cikgu juga akan dikeluarkan sijil atau lesen profesional seperti doktor dan juga peguam. "Bodoh laknat punya Timbalan Menteri, dia tak tahu ke bebanan cikgu? Mengajar dari pagi sampai petang, macam babi sondol tanah nakajar anak-anak yang macam babi punya perangai. Mak bapak lagilah babinya." ucapnya. "Sabarlah sahabat, jangan musnah pagi hujung minggu yang indah ini," pujuk saya. "Cuti kepala otak kau. Pagi ni aku baru balik dari pasar beli ikan, belai ayam, bini aku tak pernah cuti Sabtu. Sekolah celaka laknatnya itu yang lebih utama. Pengetua, PPD, Menteri semuannya bahlol belaka." Marahnya dilepaskan kepada saya. "Tak elok maki pagi-pagi begini. Kalau semua tak betul, hang tulis surat saja kat Kementerian minta bini hang tu meletak jawatan. Ramai lagi orang yang pelahap nak kerja tu." Saya mematikan telefon.

Penyair
Nama saya dan Sutung Umar RS digunakan oleh sebuah syarikat penerbitan dan penerbit tersebut mendapat beberapa karya pilihan untuk teks KOMSAS yang baru. Saya sebenarnya tak kenal sangat dengan Shafie PutarAlam ini, sebelum diperkenalkan oleh Sutung. Melihat pada wajah dan percakapannya saya sudah ragu-ragu. Tetapi, apabila Sutung meminta saya untuk menyusun karya puisi, cerpen dan drama, saya pilihlah juga kerana Sutung yang minta, bukan kerana Shafie Putar Alam ini. Setelah memilih, saya berikan alamat dan no telefon penulis dan penyair tersebut untuk Si Putar Alam ini menghubungi semua penulis untuk perjanjian penerbitan. Sebaliknya, tanpa menghubungi penulis, Shafie Putar Alam telah menerbitkan karya-karya tersebut dan beberapanya terpilih sebagai teks.
Tiba-tiba Shafie Putar Alam menghubungi penyair dan hanya ingin membayar 12% tanpa terlebih dahulu mendapat persetujuan penulis. Aik, mudahnya jadi penerbit? Bila penyair tersebut meminta 50%, Shafie Putar Alam menggunakan nama Sutung dan Rahimidin. Dan pagi ini saya menerima panggilan daripada penyair tersebut, saya tak ada pilihan lain, kita berpakat sahaja untuk membawa perkara ini ke mahkamah. Royalti, hakcipta dan harta intelek sudah tidak berharga dan tak berguna sekali di Malaysia ini. Kita bawa ke mahkamah dunia, kalau kalah pun tak mengapalah, mahkamah akhirat tak mungkin diingkari. Shafie Putar Alam kita jumpa di mahkamah dunia, dan insyaAllah di mahkamah Allah SWT di akhirat juga.

Thursday, May 20, 2010

Sahabat Baru

Sahabat baru saya, resdong namanya. Bersin pagi berkali-kali sudah biasa. Gatal dan berair mata juga biasa. Kerang sejak kecil bukanlah makanan kegemaran saya. Tetapi melalui kerang yang tak saya sukai itulah beberapa hari lepas resdung mulai menjadi sahabat saya secara nyata. Dari dalam hidung, ia menaik ke pangkal mata serasa sakit dan bengkak. Sakit itu naik ke kepala dan terasa seluruh gusi dan gigi seperti ingin tanggal semuanya. Tentunya dengan syukur dan terima kasih kepada Allah SWT yang mengingatkan saya supaya berhati-hatilah dengan makan dan minum saya. Berhati-hati juga dengan perjalanan usia. Terlalu banyak yang Engkau anugerahkan, dan terlalu sedikit aku mampu bersyukur.

Tuesday, May 18, 2010

Menulis

Beberapa malam lepas, syeikh kami memulakan mukadimah kitab Iktikad Ahli Sunnah Waljamaah yang disyarahnya dari tulisan asal Allamah MukhtarAttarid Bogor. Kitab asal tidak sampai 30 halaman, dan apabila disyarah menjadi 300 halaman lebih. "Dan kerja menulis dan mengarang itu sebagaimana mengeluarkan otak dan diletakkan di atas dulang." mulanya.

Monday, May 17, 2010

Manuskrip Saya

InsyaAllah, saya akan menerbitkan sepuluh judul buku bagi tahun 2010. Kalau tak sempat untuk 2010, mungkin akan dilanjutkan kepada 2011 bergantung kepada kerja-kerja penyuntingan akhir. Judul-judulnya:
1. Sajak Dari Yawadhipa (Kumpulan Puisi)
2. Bayang Beringin (Kumpulan Puisi)
3. Doa Sepertiga Malam (Kumpulan Puisi)
4. Pak Da Megat Wan Setapa Mek Mah Tuk Bagih (Kumpulan Cerpen)
5. Rebab Berbisik (Kumpulan Drama)
6. Angka Bersuara (Esei Budaya)
7. Dari Tepi Pentas (Esei Teater)
8. Gugur Kemboja (Biografi Teater)
9. Kembara Kata Di Balik Warna ( Esei Seni Lukis)
10. Dollah Baju Merah (Biografi)
Penerbitan ini hanya sebagai kenangan dan dokumentasi saya selama 25 tahun berada dalam dunia kesusasteraan Melayu. Penerbitan ini juga bukanlah untuk menyatakan bahawa saya ada banyak manuskrip -memang saya masih ada tidak kurang daripada 30 manuskrip yang lain. Sebelum sedikit kebolehan menulis yang diberikan Allah SWT itu diambil-Nya kembali eloklah saya terbitkan sebagai dedikasi khusus sahabat dekat dan jauh saya.

Sunday, May 16, 2010

SELAMAT HARI GURU

Semoga lutut
yang bertemu lutut
dan pipi
yang bertemu pipi
akan menjadi hijab
yang menghalang
kepanasan api neraka-Mu.

Mursyidku
wangi attar dan kasturi
dari tanganmu
akan menutup
segala aibku.

Amin

Friday, May 14, 2010

Hamba-Mu Taubat

hamba-Mu taubat
dari segala dosa
yang menjadi hijab
menutup hati
untuk mengenal-Mu
Kekasih

hamba-Mu sujud
menghilangkan zarah diri
dunia ini tak terkejar
kemilau
kusangka cahaya,
tetapi bukan cahaya
kecuali Cahaya-Mu
yang mencerahi
basirahku

taubat dan sujudku
taubat kekasih
kepada Kekasih
sujud kekasih
kepada Kekasih.

Dar Maliki
14 Mei 2010


Wednesday, May 12, 2010

Tuan Memang Sombong!

Saya tidak tahu daripada siapakah, dia memperolehi no phone saya. Tiba-tiba selepas selesai membaca Hizib Imam Nawawi subuh tadi, saya menerima panggilannya.
"Saya bernama sekian dari syarikat sekian amat berhasrat untuk menerbitkan buku tuan," suaranya kendengaran dengan ceria dan penuh mengharap.
"Tuan pernah baca ke buku saya?" tanya saya.
"Iya..iya
Perjalanan Salik. Menurut Prof. Madya Arbak Othman buku itu bagus sekali. Saya suka, itulah sebabnya bos saya minta telefon tuan ni. Itu buku pertama tuan ke?"
"Iya.Buku pertama. Tak mengapalah, saya penulis yang tidak terkenal. Nanti tersalah terbit buku saya, syarikat tuan lingkup pula. Tak ada siapa nak bacanya buku saya. Tuan carilah penulis lain. Nanti tuan boleh membuat kekayaan dengan buku-buku tersebut."
"Boleh tak kalau saya nak jumpa tuan?"
"Boleh. Tapi untuk apa ya?" soal saya pula.
"Nak tengok manuskrip tuan, ada tak?"
"Ada. Tak banyak. Yang akan terbit ada 10 manuskrip."
"Ya tuan. Bagilah kami terbit."
"Tak boleh, saya nak bagi Pustaka Nusa, SM Zakir punya penerbitan."
"Tak kan tak boleh bagi sebuah?"
"Tak boleh. Saya dah janji."
"Macam tak percayakan kami, kami memiliki editor yang terbaik."
"Tak apalah tuan. Tuan carilah penulis lain yang memerlukan publisiti dan memerlukan wang saku. Saya tak perlukan publisiti dan tak perlukan wang. Saya juga editor tuan, tetapi bukanlah editor yang terbaik sebagaimana yang ada di syarikat tuan."
"Tuan, memang sombong!" Dia mematikan telefonnya.
Saya teringatkan blog Ridzuan Harun.

Saturday, May 8, 2010

DISKUSI TIGA BUKU PUISI
3 BEKAS MPR

3 bekas MPR yang akan dibicarakan buku puisinya: Rahimidin Zahari (Perjalanan Salik -dibicarakan oleh Prof. Madya Arbak Othman), Faisal Tehrani (Ingin Jadi Nasrallah - dibicarakan oleh SN Dr. A. Samad Said) dan Ridzuan Harun (Benua Suluk - bicarakan oleh Zaen Kasturi).

Majlis tersebut akan berlangsung di Dewan Persidangan Utama, ASWARA pada 11 Mei 2010 (Selasa) jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari. Acara terbuka kepada seluruh khalayak sastera tanah air.

Kalau anda rasakan puisi masih memiliki nilai untuk pencerahan tamadun bangsanya, datanglah atau kalau anda rasakan puisi tidak memberikan apa-apa makna dalam masyarakat anda yang penuh dengan nilai kebendaan, jangan datang, kerana puisi tidak menawarkan nilai kebendaan tersebut.

Thursday, May 6, 2010

Awang Batu

Seorang kawan saya bercerita tentang Awang Batu. Awang Batu bekas guru besar di sebuah sekolah. Selepas pencen, dia mengerjakan sawah. Kerana ada degree zaman Tok Kadok dia dilantik mengetuai sebuah koperasi penulis di kampung kampung kami. Dia bukanlah pandai sangat mengurus, apalagi nak dianggap sebagai pemikir. Maklumlah, bekas guru yang macam cerdik kalau ingin dibandingkan dengan murid-murid di tempat dia mengajar dulu-dulu. Kerana kurang cerdik itulah dia diangkat mengetuai koperasi penulis kerana bersekonkong dengan Pengerusi Lembaga Koperasi yang juga sebenarnya kurang cerdik. Setiap kali bercakap, penuh dengan retorik, itu mengikut kawan saya.
Satu hari saya menghadiri majlis yang dihadir oleh Ketua Koperasi alias Awang Batu. Dan dia memang Awang Batu apabila Awang Batil disebutnya Awang Batu, Keris Mas dia sebut Keris Kayu, novel Putera Gunung Tahan, dia sebut novel Putera Gunung Kinabalu. Dia bukan lagi Awang Batu, tetapi memang batu. Sama batunya dengan orang melantiknya. Kawan saya berseloroh, satu hari aku akan sumpah kedua-dua pengkhianat ini menjadi batu.

Wednesday, May 5, 2010

Kecelakaan Pemalas.

Ini judul cerpen pertama yang ditulis di Tanah Melayu oleh Nor Ibrahim atau Madrasi. Tersiar dalam majalah Pengasuh, 4 Februari 1920/15 Jamadilawal 1338. Siapakah Madrasi itu sehingga kini tidak ditemukan sosoknya (ejaan ini memang disengajakan). Ada anggapan beliau itu bekas Mufti Kelantan, Allahyarham Sahibus Samahah Datuk Haji Mohd Nor Ibrahim. Itu hanya anggapan, dan kita tidak ditemukan dengan karya cerpennya yang lain. Majalah Pengasuh masih diterbitkan sehingga kini, tetapi saya telah berhenti melanggannya setelah saya dapati editornya tidak tahu apa-apa tentang dunia penerbitan buku dan majalah.
Seorang kawan saya bercerita tentang si pemalas di jabatannya yang tidak membuat kerja hakikinya. Separuh daripada kerja hakikinya dibuat oleh orang lain. Dia tidak faham kerjanya sendiri, tetapi dia selalu mengaku dia yang buat itu dan ini. Kalau mengarah dan menyalahkan orang lain, dialah yang terhebat. Pelajar Universiti yang melakukan latihan praktikum di bawah pengawasannya akan keluar dengan mata merah setiap kali dipanggil masuk ke biliknya. "Si bebal yang nampak cantik dan pandai, tetapi berhati busuk ini perlu diajar, " kata kawan saya. "Kau nak ajar apa dengan dia tu?" tanya saya. "Aku santau ke, aku langgar ke?". "Tak baik buat begitu," pujuk saya.
"Aku kena lepaskan juga kemarahan dan kejijikan aku kepada si pemalas ini. Aku melihatnya seperti aku melihat babi." "Dia kan, kawan kau juga. Kau doalah ayng baik-baik untuknya," nasihat saya.

Dan kawan saya itu tidak puas hati juga. Dia berhasrat untuk menulis sebuah cerpen tentang kisahnya itu. Saya katakan padanya, pergilah jumpa dengan SM Zakir atau Zaen Kasturi antara dua orang kawan saya yang menulis cerpen di KL ini, nanti bolehlah mereka ajarkan. Dia bertanya lagi, apakah agaknya judul yang sesuai untuk cerpennya itu. Kata saya tulislah dulu, dan kemudian letaklah judul apa pun. Mungkin saja judulnya "Pemalas Cantik Yang Celaka". Dia macam tak puas hati dan bertanya lagi, "Boleh disiarkan kat majalah Pentas?". Saya teringatkan lawak anak-anak saya, "Boleh..boleh belah!"