Friday, February 19, 2010

Sajak dari Yawadipha (2)

Yawadiphaku
adalah negeri kesayangan
masalalu – subur dan manis
hijau oleh berjuta pohon
biru oleh langit sesusun kabut
dengan angin berpupuk
dari laut senggora
memberi beribu tafsir
beribu petanda dan isyarat
yang tidak terbaca
oleh jiwa si lebai malang
apalagi si akal pandir
kerana segala tafsir
segala petanda
dan segala isyarat
tiada tercatat dalam sekian
buku catatan tebal
selain terakam dalam
ingatan dan ceritera
yang sering diceritakan.

Kapal sendat di kuala
dagang santeri membuka bicara
menutur bait dan kata
membuka akan isi kantung
dan peti-peti bertetar
dari jeti pelabuhan
ke anjung istana negeri
dengan hasil mahsur
berkibar-kibarlah akan
seri panji keadilan
emas perak
bersukat cupak
duit pitis
bertimbang dacing
ayam itik
penuh reban
lembu kerbau
penuh kandang.

Antara malam dan siang
tiada berbeza
bintang dan bulan
memang di angkasa
negeri cerah oleh cahaya
dari jamung dan karak
damar dibakar sehingga dinihari
riuh oleh suara
berpuluh ragam bahasa
dipelatkan oleh dialek
diindahkan oleh loghat.

Yawadiphaku,
adalah negeri kesayangan
masalalu – yang jauh dan asing
kabur dalam debu
tenggelam dalam
debur ombak.

Aku berdiam
merenung ke dalam diri
tatkala mendengar angin
yang membawa bisik
akan ceretera
yang sering diceritakan orang
tentang Yawadipha yang agam.

1 comment: