Thursday, January 21, 2010

Saya Kembali
Saya kembali setelah lama berehat dan direhatkan. Ini catatan pertama memasuki tahun 2010. Awal Januari saya mula bercuti beberapa hari menyertai U-Wei Haji Saari untuk pameran Wayang U-Wei di Galeri Petronas. Saya diminta untuk menulis tentang pameran tersebut. Selain saya, penulis dari Perancis (Raphael Millet), Singapore (Philip Cheah) dan Indonesia (Farah Warjati?). Kami dibawa ke studio pelukis menemui Elias Yamani Ismail, Mastura Abdul Rahman, Tengku Sabri Tengku Ibrahim, Amiruddin Ariffin, Ilse Noor, Hamir Soib dan Noor Mahnun Mohamed. Saya tak sempat berkunjung ke beberapa studio pelukis yang lain, yang sepatutnya saya ikut bersama.

Selain itu kesihatan agak terganggu, dalam perjalanan KL-KB dan KB –KL pergi dan balik, balik dan pergi. Letih memandu sendirian, saya naik bas, bosan sangat naik bas yang berjam-jam dan ragu-ragu dengan pemandu yang memandu macam pelesit, saya naik Air Asia atau Firefly. Naik kereta api sahaja yang belum saya cuba. Melepasi angka 40, saya sudah tua sebenarnya. Letih dan cepat penat. Cuaca KL yang tidak menentu. Hujan dan panas. Jangan sesak selepas sekolah dibuka. Sesekali saya terfikir untuk segera menyiap rumah kami yang tapaknya telah siap dibersihkan. Saya boleh menulis sesuka hati. Saya boleh buat perpustakaan peribadi. Saya boleh bina galeri peribadi. Menyelesaikan segala hutang-piutang dunia dan kembali memondok. Di sisi yang lain, anak-anak saya sedang membesar. Timbul pula pertanyaan, bolehkah anak-anak saya berundur ke belakang? Dan saya sendiri juga yang menjawabnya, “tentu boleh kan!”. Dua anak lelaki saya telah saya eksperimenkan ke sekolah pondok selama sebulan untuk musim cuti sekolah yang lalu.

Masa saya semakin pendek. Umur saya juga semakin pendek. Saya harus membaca buku dan kitab-kitab penting untuk mengisi kependekkan tersebut. Diam-diam saya menyusup ke Masjid Darul Ehsan menadah kitab di belakang jemaah, mendengar guru kami, Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin al-Maliki mentafsir Surah Yasin dan Syamil Muhammad. Memang kadang-kadang dah tak sempat menjenguk kawan-kawan kat Pena dan minum santai di bucu.

Saya sedang menuju ke dunia yang lain. Semalam saya menerima sms, jemaah yang sama-sama mengikut kuliah Syeikh Muhammad Faud telah kembali menemui-Nya. Dan pagi tadi saya meluangkan waktu ke Syeksen 19, Shah Alam, yang tak pernah saya sampai untuk ziarah terakhir Allahyarham Dr. Anuar Nor Arai. Moga tuan-tuan berada di sisi-Nya, kerana Dialah yang Awal dan Dialah yang Akhir.

Teringat saya tiga malam lepas saya dari KB ke KL bersama isteri tersayang dalam Firefly. Di belakang, kiri, kanan dan depan saya, semuanya para jutawan. Yang berulang alik 3 hari sekali antara KL-KB dan KB –KL. Saya tak cakapkan apa-apa kepada isteri saya, kerana flu sedang menyesak saya. Saya diam sepanjang perjalanan dari KB-KL. Apabila turun di Subang, saya heret tangan isteri saya, ambil teksi dan terus balik ke rumah. Telefon terlupa buka sehingga sampai di rumah. Ada sms daripada kawan saya seorang pelukis: “Aku nak ajak kau clobrte shw…” Saya tak sempat jawab. Masa saya semakin pendek, tetapi hari ini saya sedang kembali.

6 comments:

bed : said...

Separuh umur Syed Ahmad Jamal, kira muda lagi Encik Emi :)

Rusdi Abd Rahman said...

Tuan,
Selamat Kembali.

Pengembara Lara said...

salm,lepas jumpa demo di giant terlintar nak cari nama demo di google n kawe jumpa blog ni..wassalam sayed mahazan

Salman Sulaiman said...

Assalamualaikum Bang, ya, benar; masa kita makin pendek. Saya tersentuh menatap tulisan ini seperti juga menatap beberapa tulisan seorang Rahimidin sebelum ini. Ya, nampaknya seorang Rahimidin telah kembali menjadi dirinya yang sebenar. Kembali memondokkan anak-anak dan kembali menadah kitab. Saya sebetulnya antara yang berasa bahagia mengetahui perkembangan terbaru ini. Ya Bang, kita semua akan kembali ke sana, ke sisi-Nya.

Rahimidin Z said...

Cik Bed, itu kes yang lain.

Tuan RAR...saya sedang kembali.

Tuan Pengembara Lara, tk.

Tuan Salman, segalanya tertakluk kepada kudrat dan iradah-Nya.

Mawar said...

Sdr RZ,
ambo senang diingat-ingatkan begini...