Wednesday, November 25, 2009



Mulanya saya memasang niat untuk tidak membeli sebuah buku dan dan sebuah catan pun sepanjang November ini. Pandangan saya pun mulai kabur apabila berdepan dengan huruf dan huruf. Saya berhasrat untuk ke kedai menempah kaca mata. Apabila hasrat itu saya nyatakan kepada seorang sahabat saya yang menjual buku, dia menyarankan jangan. “Elok enta banyak makan peria katak, tauge dan minum soya.” Saya pun tak jadi ke kedai kaca mata. “Amalkan dan selebihnya enta bermohonlah kepada Allah SWT. Dia menguji kita dengan pelbagai cara.” Tetapi nampaknya dari 5 hingga 25 november 2009, saya sudah menambahkan 25 judul buku lagi dalam koleksi saya, sama ada yang dibeli, dan yang dihadiahkan oleh kawan-kawan. Tak usahlah saya sebutkan nama kawan-kawan tersebut, nanti ada yang jealous.

Begitu juga dengan lukisan, saya memasang niat untuk berhenti mengoleksinya. Tetapi saya lemah. Menjadikan sepanjang November saya sudah memiliki 8 buah karya yang terdiri daripada cat air, arkrilik dan cat minyak. Tiga cat air Aris Aziz yang berjudul Sungai (37x27: 2009), Menuai Padi (37x27: 2009) dan Kampungku (27x19: 2009). Kampungku dihadiahkan oleh pelukisnya. Cat minyak karya Siti Nasyreen Zaharin yang berjudul Teratai (30x30: 2005) juga dihadiahkan oleh pelukisnya. Cat air oleh Ismail Kadir yang berjudul Pengkalan Ikan Pulau Gajah (40x29: 2009). Karya Zulfakar Ali Ariffin dengan Lakaran Ulu Keris trial proof (38x44: 2007) hadiah daripada Uwei Haji Shaari. Sebuah catan arkrilik oleh Acep Zamzam Noor yang berjudul Chairil, Chairil (120x125: 2005) dan sebuah cat minyak karya Rafie A. Rahman yang berjudul Brapo rial ari ni? (89x89: 2009).

Friday, November 13, 2009

LIMA SAJAK UNTUK AYAH

Saya belum sempat menuliskan sajak terbaru untuk almarhum ayahanda saya, Haji Zahari Ismail yang berangkat menemui Allah SWT pada 10 November 2009, jam 8.40 pagi. Tetapi jauh sebelumnya, tanpa saya sedari saya telah menuliskan bergugus sajak untuk ayahanda saya. Saya paparkan di sini beberapa buah daripadanya.

Ayah

kasihmu tentunya tak terukur
dengan sempadan beribu puisi
dan pilihan kata puitis
juga tak mungkin dapat kugali
dari beribu kamus, kerana kasih
tidak tercatat di dalam kamus:
hanya ada di dalam hatimu.

1996
(Matahari Berdoa, 1998:18)

Biduk

Ayah,
biduk diriku beroleng
beroleng juga.

Kucari pulau
haluan tak sampai.

Kucari muara
angin tak tenang.

Kucari pantai
deru tak ingin.
Biduk diriku beroleng.

Ayah, kugenggam arah
yang terbit dari kata.
Ayah, kuikut tuju
yang bertapak daripada jejak.

1998
(Di Kebun Khatulistiwa, 2005:80)

Kurenung Hayat

Kudengar detak gemurh hatiku bergetar
bau malam yang menipis dan bertebar
Kau menguji dengan haruman, nama, goda
dan selisih suara. Aku tetap juga aku
yang telah ayah pacakan huruf
dan huruf. Kurenung hayat; dan
sykurku tentulah pada-Mu.

2000
(Di Kebun Khatulistiwa, 2005:85)


Sajak di Kampung
(buat ayah)

(i)
Matahari tergantung
di ubun-ubun langit.

Selajur tanah ayah
menerung dan jejuluk.

Tenggala tersangkut
di bawah geta.

Ketaman terasap
di dapur para.

Saman mereput
di pohon jambu.

Baluh sebuah
telah pun runtuh.

(ii)
Dan malam ini
aku sedang menatap
bulan melimpahkan
cahaya peraknya
di atas pucuk pohon
selepas hujan
di langit kampungku.

2000
(Di Kebun Khatulistiwa, 2005:116)

Kupulang ke Tanah Asalku

Kupulang ke tanah asalku, tanah ibu
yang menitiskan darah pertamaku.

Kupungut permata jernih embun
dari padang sawah masa kecilku.

Ingatan tak akan mudah diluputkan
kemarau yang memarang hari.

Rumahku dikepung dusun, juga
kuak kerbau yang tertuas di umbi sawo.

Kerabu kemoyang dan sambal mencupu
telah menguncurkan liur kampungku.

Aku kembali ke tanah jiwaku
yang semerbak bauan cempaka
dan dusun manggis memagar matahari.

Aku duduk memandang langit malam
menabur bintang; rambutku basah
mataku lembap dijirus embun.

1998
(Di Kebun Khatulistiwa, 2005:100)

Friday, November 6, 2009

'Malam Padang Prihatin': Ungkapan rasa peduli budayawan


Tarikh persembahannya ialah pada Rabu, 11 November 2009 di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH, Kuala Lumpur and Selangor Chinese Assembly Hall) beralamat No. 1 Jalan Maharajalela, 50150 Kuala Lumpur mulai jam 8.30 malam. ‘Malam Padang Prihatin’ ialah salah satu lagi upaya rakyat Malaysia mengumpul dana buat membantu para korban gempa bumi, di Padang, Indonesia.


Kata Ser Choon Ing pengerusi jawatankuasa kerja program, merangkap timbalan pengerusi KLSCAH, “Kami dari pelbagai NGO iaitu KLSCAH, Kuala Lumpur and Selangor Chinese Assembly Hall, LLG Cultural Development Centre Berhad, LLG, Persatuan Penggiat Seni Paksi Rakyat Malaysia (Paksi), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Tamil Foundation telah sepakat untuk membantu meringankan penderitaan para korban gempa bumi di Padang”. Beliau juga amat berharap agar pengucapan polos tapi tulen budaya pelbagai kaum ini akan terus diperkasakan oleh seluruh rakyat negara kita.

Sementara Dinsman pula dalam sesi perbincangan tatkala merangka program amal berbentuk persembahan kebudayaan pelbagai kaum ini, menambah “Budayawan sebagai sebahagian daripada masyarakat perlu ke depan untuk menyatakan rasa peduli mereka terhadap penderitaan sesama manusia”. Dan ‘rasa’ ini telahpun diterjemah oleh Pengetua Sekolah Menengah Persendirian Confucian, cikgu Goh Kean Seng. Kata cikgu Goh, elok juga kalau kita belajar dari alam sekeliling kita. Ya, pada 23 hb Oktober 2009 yang lalu, beliau telah menggembeling kudrat kira-kira 500 orang pelajar sekolah beliau sebagai laskar semut; mengutip sebanyak yang mungkin di sekitar Lembah Kelang dan Selangor.

Apa yang bakal disaksikan pada malam 11 November 2009 itu nanti? Insyallah, kita bakal bertemu Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said dengan sajaknya, “Lidah Tsunami” yang terdapat di dalam “antologi puisi yang menghimpunkan karya-karya selama lebih setengah abad” Utusan Publications, 2005. Meor Yusof Aziddin pula bakal mendendangkan lagu-lagu rakyatnya. Kita juga akan menyaksikan pelbagai persembahan tarian, teater dan nyanyian oleh KLSCAH, Tamil Foundation dan juga kumpulan penduduk keturunan Minang.

Ada juga yang bertanya: Selain daripada mengumpul dana untuk para korban gempa bumi ini, apakah yang amat diharapkan oleh para penganjur program budaya dan amal ini? Ya, di sana mungkin ada satu pengakuan tulus ikhlas bahawa sesungguhnya kita berbeda. Satu pengakuan jujur bahawa kita tidak mungkin seratus persen sama.

Lihatlah ungkapan Dinsman dalam puisinya, “Sajak Malaysia” yang bakal beliau deklamasikan nanti:

“Lu Cina
You India
Saya Melayu
Jadi-jadi sudah macam ini...”

Lalu apakah ini bermakna bahawa kita tidak boleh bersama?

“Ha...
Jangan takut

Awak apa bangsa pun
Kalau hati ada baik
Kita boleh hidup sama-sama satu padu...”

Dirgahayulah para budayawan rakyat sekalian, dirgahayulah bangsaku, Bangsa Malaysia.

Selamat bertemu pada 11 November 2009 di Kuala Lumpur and Selangor Chinese Assembly Hall. Insyallah.

Jika tuan-puan ada sebarang soalan atau ingin sekali ikut serta menderma sambil menyaksi persembahan budaya di atas, silalah hubungi:

Encik Chia di pejabat KLSCAH, tel: 03-2274 6645 atau faks: 03-2272 4089

Dipetik dengan izin http://barabarajiwa.blogspot.com/