Tuesday, March 3, 2009

Orang Ternama

Si Bejat berkuasa di pulau yang dijaganya. Tiba-tiba sepasang Orang Ternama sampai kerana ingin membuang hajat kecil dan hajat besar. Pulau tempat Si Bejat tinggal hanya sebuah pulau kecil sekitar 300 orang penduduk. Mereka makan, mandi, minum dan untuk cebok hanya mengharapkan air hujan. Di rumah Si Bejat hanya ada setempayan air untuk keperluan dirinya. Kerana hormatkan sepasang Orang Ternama, Si Bejat menyuakan setempayan air itu untuk hajat kecil dan hajat besar Orang Ternama. Orang Ternama pulang selepas melepaskan hajat kecil dan besar dengan puas tanpa sempat mengucapkan terima kasih. Si Bejat memang bejat.

Mahalnya

Sebilah tikar mengkuang di kampung kami sekitar RM20 atau RM30. Bahkan saya pernah dihadiahkan tikar mengkuang yang cantik oleh nenek kawan saya di Kg. Lubuk Pukul. Kemudiannya sewaktu membuat rakaman Lagu Indong di Ulu Tembeling, saya juga pernah dihadiahkan tikar mengkuang. Satu petang jernih beberapa hari lepas saya dibawa ke sebuah kampung di Semporna untuk melihat tikar mengkuang. Mula-mula, kawan saya tanya berapa harganya. Mak cik tersebut menunjukkan tujuh jarinya. Kawan saya tak puas hati dan bertanya lagi. RM 700! Amboi mahalnya dalam hati saya. Besoknya, kami ke Kampung Air, dengan bidang dan corak yang sama hanya baru RM70. Apabila kami tawar, kami diberikan RM50.

Nakhoda

Saya teringin untuk membeli model Lepa-lepa di Semporna, tetapi tak jadi kerana saya pernah ada model tersebut. Lepa-lepa itu dihadiahkan oleh seorang kawan lebih 16 tahun yang lalu. Saya masuk ke stor rumah saya dan mula mencarinya. Memang ada, dilitup oleh bungkusan yang cantik. Saya membuka penutupnya, berangan-angan untuk meletakkan seorang nakhoda di dalamnya. Bolehkah nokhoda pilihan saya itu mengemudikan Lepa-lepa ke laut luas. Entahnya, antara percaya dan tidak. Kalau berdarah Panglima dan Datu-Datu tentulah nakhoda pilihan saya akan kenal benar arah angin dan ribut yang bakal mendurja.

Selepas Mati

Semua orang akan mati. Selepas mati, kita menuliskan obituary atau belasungkawa yang muluk-muluk memujinya. Segala budi dan jasanya dalam bidang keterlibatannya pun kita jejerkan. Seperti “langit menangis terbelah dua kerana kehilangan seniman agung.” Tetapi semasa hayatnya kita terlupa. Terlupa. Bahkan pernah berkali-kali kita meludahi mukanya.

4 comments:

Shah said...

salam tuan
tikar mengkuang memang mahal mcm tu sekali?

apa-apa pun di perpustakaan kolej dah ada buku tuan Kebun Khatulistiwa, baru lagi.

Seronok baca sajak dari Yawadipha. Lebih seronok sebab dah tau Yawadipha tu apa sebenarnya.. heh

Rahimidin Z said...

Shah,
mahal sebab, mak cik tu ingat, kami yg datang ke rumahnya tu kaya-kaya!

selebihnya terima kasih dan didoakan anda terus maju serta berjaya. Amin.

Shah said...

penjual memang selalu mcm tu kalau jumpa pelancong :) . heh

apa-apa pun saya tenagh mengkaji novel Lorong Midaq untuk peperiksaan akhir nanti. Cuba sedaya upaya mencari keunikannya untuk dinikmati :)

tuan ada cadangan novel-novel bagus untuk dibaca? sastera dunia.

Rahimidin Z said...

Sdr. Shah,
Cuba baca novel-novel Gao Xing Jian, Ba Jin dan Mo Yang dari negara China.