Monday, February 23, 2009

Koleksi Saya (2)
M. Zain Idris (1939-2000)

Dilahirkan di Kg. Nail, Besut, Terengganu. Pelukis self-taught. Digelar sebagai Pelukis Nelayan oleh Frank Sullivan sewaktu mengadakan pameran solonya di Samat Art Gallery (1972). Pameran bersama Kasim Abas di Hotel Equitorial, Kuala Lumpur (1984) dan di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur (1987). Dicatat sebagai pakar dalam merakam lanskap pesisir pandai dan kampung nelayan. Rakaman karyanya penuh jujur. Seperti kamera yang tidak pandai menipu tuannya, pelukis merakamkan subjek yang berada di hadapannya.

Menjemur Ikan, 1961
Oil on canvas57x37cm
Signed on the lower left.

Koleksi saya (3)
Ramli Malek (1943-1982)

Dilahirkan di Tanah Putih Lama, Kuantan, Pahang. Menerima pendidikan dalam bidang “Fabric Design” dari Bradford College of Art, United Kingdom. Pameran solonya di Seletar Air Base, Singapura (1963), Bradford, United Kingdom (1968), Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (1971), Los Angeles, USA (1975) , Merlin Hotel, Kuantan dan Hilton Hotel, Kuala Lumpur (1978). Sebuah karyanya ‘Tumbuhan- Growth’ (1978) berada dalam koleksi BSLN.

Siri Kerbau, 1974
Oil on canvas75x91cm
Signed and dated on the reverse.
Koleksi Saya (4)
Ahmad Khalid Yusof (1934- 1997)

Anak saudara kepada Pendeta Za’ba ini dilahirkan di Kuala Lumpur. Melanjutkan pelajaran ke Kirby, Liverpool (1956-58). Menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Kota Bahru dan Maktab Ilmu Khas. Kembali ke College of Technology and Art, High Wycome 91965-1966). Pensyarah ITM (1970-74), ke Universiti Ohio (1975-78), kembali ke ITM (1979-1989).

Surat Cinta, 1992
Bisikan Hati


Kiranya engkau kenari
akan terhibur ketika sunyi
andai kata engkau kasturi
cinta mu seharum mewangi

Akrilik atas kanvas
79x89 cm
Signed and dated on the reverse










Friday, February 20, 2009

Buku Baru Kami

Aksara (Penerbit Ilmu Bakti Sdn. Bhd : 2009) kumpulan antologi puisi perseorangan saya yang keenam selepas Lakaran Kampung (1987), Sekepal Tanah (1995), Matahari Berdoa (1998), Di Kebun Khatulistiwa (2005) dan Istana Pasir – Zamok iz Peska (2007). Tanah Nurani (Penebrit Ilmu Bakti Sdn Bhd.: 2009)adalah kumpulan puisi perseorangan penyair Shamsudin Othman selepas Taman Percakapan (2006). Dua buah buku ini diterbitkan bersama lapan buah buku lain dan dijual secara pakej. Saya diberikan enam buah naskhah penulis, tetapi hanya tinggal sebuah. Tak dapat bagi kepada yang terlewat minta. Maaf ya dah tinggal sebuah.





































Dewi Kejahatan (2)

Aku tidak tahu kenapa dengan Dewi Kejahatan yang seekor ini? Dia suka sangat mengkhianati aku. Dia berterbangan dengan sayapnya yang patah sebelah. Setiap kali berdepan, dia senyum dengan amat manis. Setiap kali aku melangkah ditusuknya tapak kakiku. Aku tahu, tapak kakiku tak akan berdarah. Lagi berdendamlah Dewi Kejahatan itu dengan aku. Apa aku kisah. Aku ketawa kuat-kuat. Bergemalah tawaku ke sarang Dewi Kejahatan. Aku pasti satu hari petir atau halalintar akan dihantarkan Tuhan untuk segala budi dan jasa seekor Dewi itu.

Thursday, February 19, 2009

Tahniah

Apabila kita memberikan ucapan tahniah kepada seseorang, tentunya kerana kejayaan dan tanda penghargaan yang tinggi untuknya. Tetapi kalaulah tahniah tersebut kerana ingin menghinanya, maka tak usahlah diucapkan apa-apa. Gagal atau berjayanya kita dalam hidup ini, semuanya telah tertulis di Luh Mahfuz Allah SWT. Dah tentu berbeza sesuatu yang kita buat kerana Allah SWT semata-mata dengan apa yang kita buat untuk kepentingan diri sendiri. Percayalah kiamat itu benar, mahsyar itu benar, titian sirat itu benar dan hisab itu benar. Kita bertemu di depan Allah SWT.

Tuesday, February 17, 2009

Koleksi Saya


Yusoff Haji Abdullah (1926-2006)

Dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan. Mengkutit Sijil Seni Kreatif di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Mahir dalam catan minyak dan batik. Mula melukis blok stensil di bawah bimbingan bapa saudaranya, Haji Ibrahim sejak tahun 1946 dan memulakan tradisi cat minyak sejak 1955. Sejak tahun 1960 telah mengadakan pameran di Balai Seni Lukis Negara. Pameran solonya di Pulau Pinang (1967) dan pameran solo (batik) di Moscow USSR (1978). Menerima Ahli Mahkota Kelantan (A.K) dam Sri Mahkota Kelantan (S.M.K). Menerima Tokoh Budaya Majlis Perbandaran Kota Bharu (1991) dan Anugerah Seni Kelantan 2002 (Penerima Jasa Budaya).Tiga buah karyanya menjadi koleksi tetap BSLN.

























Wayang dan Dalang, 1981
Oil on Canvas
71x89 cm
Signed on the lower left.


Monday, February 16, 2009

Patin Masak Tempoyak

Semalam saya ke Jengka 5. Memandu masuk ke tol Chenor dan melihat ke kiri kanan jalan yang berubah. Saya tinggal di Kuantan lapan tahun lepas (sempat 4 kali pindah rumah – bukan lari malam kerana tak bayar sewa. Tetapi mencari tempat yang terdekat untuk pergi kerja.) ketika memandu balik, saya meneruskan perjalanan sengaja melewati Bandar Temerloh (yang tertulis Bandar Ikan Patin). Hospital baru yang tersergam. Melepasi sungai Pahang yang pernah saya berakit dari Sungai Jelai sehingga ke Pekan selama lapan hari tujuh malam lapan tahun lalu. Rakan serakit saya Marsli NO, Cikgu Zakaria Adam dan Abdul Aziz Sulaiman. Teringat saya bagaimana ribut yang memusar rakit kami di Kuala Semantan, ular yang turun dari tebing sungai, kala jengking yang besarnya luar biasa. Petir membelah langit. Hujan turun mencurah. Azan dilaungkan dari rakit yang lain. Haru biru sekali. Sampai ke tapak perkhemahan, beg pakaian kami dipenuhi air hujan. Dan malam itu, kami tidur di atas hamparan surat khabar dengan unggun api di tepi.

Kenangan itu hilang apabila isteri menunjukkan gerai ikan patin. Dan saya hentikan kereta membiarkan isteri saya memilih patin yang disukainya. Saya tak makan ikan sungai sebelum berpindah ke Pahang, dan setelah tujuh tahun menetap di Kuantan menjadikan kami peminat patin masak tempoyak. Masakan kawan saya, allahyarham Fauzi Talib (al-fatihah untuknya) menjadikan kami peminat patin. Setelah berpindah ke KL, setiap kali ke Kuantan, Fauzi akan sediakan patin untuk kami. Dan semalam isteri saya menggulai patin masak tempoyak.

Friday, February 13, 2009

Wawancara 1:

Saya telah ditugaskan untuk mewawancara seorang penulis ‘ghost writer’ mengenai sesuatu yang sedang dikerjakannya. Ini transkripsi wawancara pendek tersebut.

Saya : Apa karya yang sedang tuan kerjakan?
Ghost Writer : Banyak. Banyak sangat. Termasuk teks ucapan Ketua Menteri dan Menteri.
Tetapi saya menolaknya kerana menteri-menteri dan ketua menteri itu lebih

bodoh daripada saya.
Saya : projek terkini?
Ghost Writer : Menulis muzikal.
Saya : Muzikal apa tu?
Ghost Writer : Muzikal Babi.
Saya : Muzikal Babi? Biar betul tuan.
Ghost Writer : Yes!
Saya : Directornya?
Ghost Writer :Director Babi.
Saya : Pelakonnya?
Ghost Writer : Babi-babi.
Saya : Penerbitnya?
Ghost Writer : Seorang Aji
Saya :.Aji apa tu?
Ghost Writer : Aji Babi

Setelah siap menaipkan transkrip tersebut, saya berkira-kira untuk menyerahnya kepada Ketua Editor saya, En Sutung. Tapi tak jadi kerana saya tahu, dia akan tempik, “Midin, ini wawancara babi apa yang engkau buat?”

Wawancara 2:

Pada hari yang lain saya ditugaskan untuk mewawancara seekor Menteri Teater, YB. Datuk Seri Takutkan Bini. Ini transkripsi wawancaranya:

Saya : Boleh kita mulakan wawancara Datuk Seri?
YB : Boleh.
Saya : Apa rancangan Datuk Seri untuk memajukan industri teater tanah air?
YB : You nak interview I, you taj prepare soalan? I Menteri you know? Jangan buang masa I. Kalau nak interview sedia soalan siap-siap, jangan kat depan i baru nak reka-reka soalan.
Saya : (Gugup seketika saya dibuatnya). Soalan saya tuliskan di dalam kepala saya Datuk Seri.
YB : Pandai kamu menjawab
Saya : Saya wartawan yang tak pandai ampu Datuk Seri. Bagaimana dengan soalan saya Datuk Seri?
YB :Iya, kita akan bina lebih banyak dewan-dewan di serata tanah air untuk lebih banyak pementasan dapat diadakan. Macam di West End dan Boardway you know. Dengan adanya banyak panggung, dewan dan auditorium, maka banyaklah pementasan akan dibuat.
Saya : Kalau panggung banyak, tetapi pengarah, penulis skrip dan pelakon yang cerdik macam YB Datuk Seri tak ada macam mana? Dekat Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan, Datuk Seri tak nak bina panggung?
YB : Mat, you serius sikit, You nak main I atau apa? Itu tempat ternak babi.
Saya : Babi pun kepingin nak tengok YB Datuk Seri.

Setelah siap saya tuliskan transkrip ini, saya patut serahkan kepada Encik Sutung atau Encik Dinsman. Dia oranag perlu baca dulu. Tapi kerana sibuk sangat, saya tak sempat mintak mereka semak, jadi saya publishkan di sini dulu.

Thursday, February 12, 2009

Kematian

Kematian adalah sunatullah. Kerana setiap yang hidup wajib mati. Dunia teater kehilangan Datuk Syed Alwi, dan dunia sastera kehilangan Arenawati. Saya kehilangan dua teman baik, Haji Sazalee Hj. Yaacob dan Samoza (Sabri Mohd. Zain) dalam waktu yang terdekat. Semuanya itu adalah peringatan untuk diri supaya sentiasa berawas, bahawa diri kamu juga akan dijemput tanpa memberikan sebarang isyarat.

Malam kelmarin kami kehilangan bapa saudara yang dipanggil pulang di Alor Setar setelah menziarahi saudaranya yang sedang sakit. Haji Abdul Manaf Mat atau kami memanggilnya Pak Teh, seorang peneroka dan ushawan yang berjaya di Feda Jengka 5. Setiap kali kami menziarahinya di Jengka, dia dengan bangganya memberitahu jiran-jirannya, “Ini anak menakan kami!” Al-fatihah.

Tong Sampah

Kisah seorang mak cik yang berasa dirinya hebat. Dia nak mengarah, dia minta draf skrip 1, 2 dan 3, nak study. Dan soal lagi cerita itu ditulis dari sudut mana?. Aku boleh jawab dan boleh tidak untuk menjawabnya. Apa yang kau tau pasal skrip? Kalaulah Uwei tahu, tentu dia stopkan cerita ini sebelum saya menulisnya. Ini kisah tong sampah sajalah.

Wednesday, February 11, 2009

Dua Kumpulan Puisi Palestin

Terdapat dua kumpulan puisi yang ditulis untuk Palestin sebagai tanda prihatin yang mendalam terhadap penderitaan dan kesengsaraan yang mereka alami. Sebuahnya “Genting Gaza, Gentingnya Genting” (Pena dan Inska: 2009) diselenggarakan oleh Shamsudin Othman dan SM Zakir dan sebuah lagi “Selamatkan Anak-Anak Palestin” (DBP: 2009) diselenggarakan oleh Salmiah Ismail dan Zaiton Ajmain. Selamat membaca.


Tuesday, February 10, 2009

Prison Diary

Buku puisi Ho Chi Minh ini sebenarnya sudah lama saya ingin dapatkan. Tetapi tak ketemui. Sewaktu ke Saigon (Ho Chi Minh City) tahun 2007, saya cuba mencarinya, tetapi tak ketemui. Cuma saya temui, orang di sana yang menegur saya dalam dialek Kelantan. Aneh selepas dua tahun kemudian, saya menemuinya di Kuala Lumpur. Prison Diary

Thy body is in jail.
But thy spirit, never.
For the great cause to prevail,
Let thy spirit soar, higher!




Antologia De Peoticas

Kumpulan puisi Inonesia, Portugal, Malaysia dalam dwi bahasa Indonesia/Melayu dan Portugal. Terdapat karya 50 orang penyair Portugal, 51 orang penyair Indonesia dan 16 orang penyair Malaysia. Penyair Indonesia yang karyanya terdapat di dalam buku ini antara lain Hamzah Fansuri, Raja Ali Haji, Amir Hamzah, Chairil Anwar, Sitor Situmorang, Subagio Sastrowardojo, Ramadhan KH, Teoti Heraty Noerhadi, Taufiq Ismail, Rendra, Sapardi Djoko Damono, D. zawawi Imron, Abdul Hadi WM, Acep Zamzam Noor dan ramai lagi. 16 orang penyair Malaysia, iaitu A. Samad Said, Usman Awang, Kemala, Muhammad Haji Salleh, Latiff Mohidin, Abdul Ghafar Ibrahim,Siti Zainon Ismail, Moechtar Awang, Lim Swee Tin, Kassim Ahmad, Zaen Kasturi, Marsli NO, Hasyuda Abadi dan Rahimidin Zahari. Seorang lagi, komputer saya hampir terpadam apabila ingin menuliskan namanya. Puisi saya, “Rumput Bumi”:







Friday, February 6, 2009

Collector

Collector itu dihubungkan dengan pemilik koleksi barangan tertentu. Biasanya yang berharga, yang aneh-aneh dan yang antik-antik. Di Malaysia, collector karya seni dianggap sebagai orang elit. Hanya orang elit yang memiliki kekayaan yang mampu membeli karya-karya seni yang mahal. Di Malaysia pun ramai collector karya seni. Umpamanya pameran ‘Koleksi Saya’ Rahime Harun sedang berlangsung di BSLN. Dalam kalangan collector, berebut-rebut untuk memiliki karya terbaik dari seniman pilihan mereka. Paling sukar untuk menentukan siapakah collector terbaik selagi keseluruhan karya yang berada dalam koleksinya itu diketahui oleh pengkritik seni dan khalayak seni. Mana tahu collector yang tidak dikenali tiba-tiba dalam simpanannya terselit beberapa karya terbaik oleh pelukis terbaik negaranya. Di Inodnesia, koleksi bekas Presiden Sukarno itu lebih banyak daripada koleksi BSLN. Bahkan koleksi Sasterawan Pak Ajip Rosidi dianggap antara yang terbaik di Indonesia. Jadi, tak hairanlah kita kalau collector yang dianggap hebat dan mengumpul lebih 30 karya seseorang pelukis, tetapi tidak memiliki karya pelukis-pelukis terbaik Malaysia seperti Latiff Mohidin, Ibrahim Hussain dan Syed Ahmad Jamal itu sebagai koleksi terbaik? Sahabat saya, Nur Hanim, tolong jawab!

Thursday, February 5, 2009

Mahasiswi

Seorang mahasiswi ingin menemui saya. Saya bertanya untuk apa, “untuk menulis tugasan atau siapkan tesis tentang puisi?” Jawapnya, “tidak”. Kalau tidak, tak payahlah jumpa saya. “Kena jumpa jugak, abang…”. Saya terus memotong, “Pak Cik”. “Saya ada masalah peribadi,” katanya. “Iya, semua orang ada masalah peribadi,” potong saya. “Saya nak bincang dengan abang..”. “Stop..Pak Cik” kata saya. Saya bukan kaunselor dan tak ada bakat nak menasihat awak tentang apa-apa pun. Suaranya pause beberapa minit di hujung telefon. “Saya sedang jatuh cinta dengan seorang penyair,” sambungnya. “Baguslah, anda sedang menuju dewasa,” tambah saya. “Saya nak tahu lebih lanjut tentang dia. Dia kata Pak Cik kawan baik dia.” “Semua penyair kat Malaysia termasuk Indonesia, semuanya kawan baik saya.”

Saya mula marah. “Siapa mamak tu? Kawan saya, pensyarah yang dah haji tu?”. “Bukan!”. “Kawan saya yang macam general tu?”. “Tidak!”. “Kawan saya yang setiap bulan ke luar negara tu?”. “No!”. “Kawan saya yang dah pencen?”. “Bukan!”. “Kawan saya yang pengerusi masjid?”. “Juga bukan!”. “Siapa mamak tu?” Saya tempik kuat-kuat. Saya tutup telefon. Padan muda dia. Dan saya sebenarnya tahu siapakah mamak yang mengaku kawan saya itu….

Wednesday, February 4, 2009

Buku

Saya memandu, dan membayar tol sebanyak RM49.80 dan tangki minyak diisi sebanyak RM60.00 untuk membeli sebuah buku yang berharga RM200.00. Beberapa hari sebelum ke sana, saya telefon, juru cakap memaklumkan harganya RM100.00 sahaja. Saya beli dua buah, sebuahnya kerana pesanan seorang sahabat saya. Buku dalam bahasa Inggeris itu setebal 244/245. Saya baca 40 minit dan selesailah.(Walaupun tidak pernah sehari ke sekolah jenis kebangsaan dan tidak dibesarkan di Damansara atau PJ!). Bukunya cantik, dan lay out juga bagus. Kertas kualiti dengan jilid kulit keras, tetapi isinya… Kebetulan bidang yang ditulis itu bidang yang saya tekuninya selama 7 tahun. Apalagi muntahlah saya. “Anak, kalau lain kali nak tulis buku tentang bidang itu, jumpalah pak cik ni, ya!”.

Gatal Tangan

Lebih sepuluh tahun dulu saya menulis esei pendek di sebuah akhbar arus perdana tentang buku tebal yang isinya nipis. Entahlah tangan gatal sangat barangkali ketika itu. Apalagi, saya tidak ditegur oleh penulis tersebut sehingga ke hari ini, walau pun saya tidak menyebut namanya dan judul bukunya. Sensitifnya dia, dalam hati saya. Beberapa minggu lalu, pengarah Mior Hashim Manap membawa dua jilid adaptasi drama tv untuk 40 episod dari buku tebal tersebut. Dia beria-ria benar minta saya bacakan. Saya tersenyum menerima dua jilid tebal manuskrip yang diserahkan Mior kepada saya. Sampai hari ini saya masih terdiam.

Keldai

Keldai mengingatkan saya kepada banyak cerita Timur Tengah. Luqman Hakim dan anaknya. Nasruddin Hoja dan lain-lain kisah. Satu hari seorang kawan bercerita tentang bukunya yang banyak bertimbun sehinggakan dalam almari pakaian, peti ais dan bawah katil dipenuhi buku. Saya bertanya, “Berapa buah yang sudah you baca?” Jawapnya, “Baru beberapa buah.” Saya tanya lagi, “Apa yang kau dapat daripada buku-buku itu?”. Dia diam. Saya merenung ke dalam matanya. “Anak, jangan jadi keldai yang memikul kitab di tengah-tengah gurun pasir tetapi berotak kosong. Anak balik ke rumah dan bacalah buku-buku itu, kemudian datanglah jumpa pak cik semula!”

Tuesday, February 3, 2009

Mahal

Ketika saudaraku di Palestin dihentam kekejaman Yahudi laknatullah, aku dihidangkan dengan sepinggan nasi yang berharga RM700.00. Ah! Mahal sekali apa yang kumakan malam ini ya Allah. Aku tiba-tiba kenyang sebelum sempat mencicipi makanan yang terhidang.

Buruk

Mataku, ya Allah, kenapa melihatnya begitu buruk sekali? Walhal dia mungkin berasakan dirinya itu amat cantik. Paling cantik melebihi ciptaan-Mu barangkali? Lebih cantik dari dugong dan burung piguin. Aneh, aneh sungguh kerana mataku yang dianugerahkan-Mu melihatnya begitu buruk. Buruk sekali. Sehingga mengalirlah air mataku ini.

Sifu Taik

Cium tangan sifu. Semuanya pun cium. Stensen tv pun mensifukan dia. Surat khabar bilis dan paus mensifukannya. Stesen radio baru dan buruk juga. Tiba-tiba seorang Wak (guru saya) bergumam, “Sifu taik!”