Friday, July 4, 2008

Selamat Pergi dan Selamat Kembali

Selamat kembali ke tanah air untuk sobat-sobat saya, Zakir, Sham, Amir dan Saleeh yang mencari sesuatu di Kediri, Jawa. Mungkin dah ditemui apa yang dicari, dan kalau pun tidak ketemui apa-apa, tidak mengapa. Boleh pergi dan kembali lagi. Walaupun saya tidak ikut serta, tetapi kebersamaan itu tetap ada. Ha. Ha.

Berita Gembira

Semalam Malim Ghozali PK bertamu dengan beberapa berita yang baik untuk perkembangan sastera tanah air. Dia sedang menulis dua novel serentak. Sebuah sedang diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris. Redang dan Janji Paramaribo telah dicetak semula oleh DBP. Dia bercadangkan untuk melancarkan 3 buah buku barunya pada 30 Ogos ini. Kita nantikan kehadiran semula sasterawan yang telah menghilang selama 14 tahun dari jagat asastera dan muncul kembali dengan keindahan susunan kata-kata dan alun bahasanya. Dan dia juga sedangkan merancangkan sesuatu yang besar untuk sastera tanah air. Kita doakan beliau berjaya.

Beauty And The Beast

Berlangsung di Plenary Hall, KL Convention Centre. Kami menonton pada 1 Julai. Tempat duduk saya di Level 1, Door Center, Row DD dan seat 43. Harga tiketnya RM250. Sebanyak tu dah dapat beli tiga bulan beras. Beras mahal. Sebelum ni RM17, sekarang dah naik RM37.90. Kami duduk sederet, ada yang lentuk ke kanan dan ada yang lentuk ke kiri. Ada dengkur halus dan ada yang kasar. Yang gelak pun ramai. Ramai Melayu yang menonton. Mungkin beli tiket dan mungkin dapat sponsor kot. Bagus ke show tu? Tanya seorang kawan. Saya tak menangis. Juga tak sedih. Saya menonton untuk berfikir, bukan untuk berhibur. Dalam muzikal ini, saya nak fikir apa? Mari kawan-kawan kita buat Muzikal Pak Pandir, Muzikal Lebai Malang, Muzikal Si Luncai dan lagi….dan lagi…biar sampai muntah-muntah.

Maaf saya memang tak suka muzikal Barat. Muzikal saya, Makyung je.

Panggilan Telefon

Minggu lepas, pada hari yang sama, saya terima dua panggilan daripada dua orang Sasterawan Negara. Pertamanya daripada SN Dato Noordin Hassan yang selalu membahasakan dirinya sebagai cikgu. Dan saya pun memanggilnya cikgu. Biasanya apabila setiap kali menerima majalah Pentas yang kami kirimkan, beliau akan telefon memaklumkan. Dan saya menunggu skrip terbarunya yang akan dihantarkan untuk Pentas. Keduanya daripada SN Prof. Muhammad Haji Salleh, katanya dia berada di Aswara membentangkan kertas kerja. Dan kami hampir tiga tahun tidak bertemu, dia cuba menghubungi saya, tetapi nombor yang ada padanya gagal berfungsi. Saya hadir pada malamnya untuk menemui beliau. Teringat saya bahawa kami berdua pernah membuat penyelidikan pantun di Balik Pulau, Pulau Pinang dan di Cuping, Perlis. Tetapi koleksi pantun saya belum selesai….

Dan ada lagi panggilan daripada Wak Khalid, jauh dari Kediri, Jawa. Kapan kembali ke tanah air ya Wak?

2 comments:

S.M. Zakir said...

Sudah kembali Pak Sheikh. Badan lenguh travel jauh macam-macam kenderaan naik dan demam tukar cuaca, tak biasa dengan cuaca Malaysia dah, keh keh.

Hujung tahun Pak Sheikh kita pergi pesta buku Jakarta, kalau ada. Terus pergi Bandung. Haji Sham dan Pak Sheikh boleh buat puisi bagus-bagus kat Bandung nanti, kami yang bukan penyair jalan cari keringat saja la. Bagus juga tak jadi penyair, kerja cari keringat saja ha ha

Rahimidin Z said...

kuat syeikh,
gi kelik
kelik gi
beli rumah di sana ko?