Wednesday, November 16, 2011

TEATER "HARGA SEBUAH MARUAH"

Walapun saban bulan menonton teater, saya tidak berasa seperti saya menonton teater. Kadang-kadang saya masuk panggung untuk relak dan tidur. Kadang-kadang kerana temankan kawan-kawan menonton. Secara peribadi, saya tidak pernah teruja dengan dengan segala macam muzikal yang pengarah dan penulis skripnya entah siapa-siapa. Apakah dengan terlibat dengan telemovie sebuah dua melayakannya menjadi pengarah teater, walhal disiplin pentas pun dia tidak pernah tahu. Berlakon menjerit-jerit seperti dihasut hantu polong dalam siri cerita hantu yang amat disukai oleh pengarah drama/filem bertaraf hantu, penerbit tv yang juga berotak hantu dan penonton yang memang saudara-mara hantu. Ini merupakan para pemusnah dan pengkhianat kepada pertumbuhan teater Melayu yang sebenarnya.

Sehinggakan ada orang bertanya, untuk apakah sebuah teater itu dipentaskan? Jawapannya sudah tertentu berbeza mengikut siapakah yang mengangkat produksi tersebut. Mungkin jawabanya, "saya buat teater kerana orang hampir melupai kemudaan saya dan saya menuju tua. Supaya khalayak mengingati saya, maka saya buatlah teater yang membolehkan orang hadir untuk melihat keseksian saya."

Atau jawapan lain mungkin, "Saya ingin membuat keuntungan dengan teater, saya boleh beli kereta baru, rumah banglow di lereng bukit. Sewa panggung boleh runding dan mungkin tak perlu bayar pun." Dan ada macam-macam helah kenapa orang buat teater. Si bodoh yang tak reti mengarah pun nak buat teater kerana saya ada PhD. Si pekak juga nak buat teater, dan orang tak datang kerana tak ada pelakon seksi dan skrip yang lebih teruk dari pelajar sekolah rendah. Panggung kosong. Dan lepas ini nak buat lagi. Manalah tahu dapat masuk mana-mana panggung yang tak payah bayar sewa, FOH juga tak payah bayar.

Dan malam tadi saya menonton "Harga Sebuah Maruah" yang diadaptasi skripnya oleh A. Wahab Hamzah berdasarkan novel Allahyarham Ustaz Azizi Haji Abdullah, dan diarahkan oleh Halimi Mohamed Noh. Halimi antara pengarah teater yang serius dan pernah dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik di Pekan Teater Kebangsaan dengan drama "Kena Main" karya Khalid Salleh pada tahun 1994.

"Harga Sebuah Maruah" sebuah manipulasi pihak tertentu terhadap rakyat, yang menyebabkan rakyat berpecah dua. Sepihak menjadi tali barut dengan menipu rakyat dengan pujukan dan paksaan akta. Manakala sepihak lagi cuba mempertahankan maruah. Pertentangan pihak berkuasa yang mempertahankan kuasa. Tali barut yang menindas dan memeras rakyat dengan pelbagai helah. Janji demi janji. Abang yang haloba dan lupa daratan walaupun terdidik tinggi menafikan ibu dan adik kandungnya sendiri. Imam yang alim yang menjadi pemimpin masyarakat juga boleh kelabu mata dan terbeli dengan wang ringgit, dan penguasa yang benar-benar melaksanakan kuasa. Sebuah teater yang wajib ditonton kerana "Harga Sebuah Maruah" benar-benar mengembalikan "maruah" teater Melayu yang kian hilang dalam arus hiburan murahan.

Teater ini teater serius. Halimi amat beruntung dengan kehadiran pelakon-pelakonnya yang memang orang teater serius. Dr. Samat Salleh, Dr. Kipli Rahman, Norhelmi Othman (Pelakon Perbaik Pekan Teater Kebangsaan), Ali Abdul Rahman, Badrul Munir Mat Isa, Milyana Arshad , Khamsah Abdullah, Rasdi Daud, Mubarak Majid, Zulkifli Ismail dan ramai lagi. Pengarah Seninya, Hasnul Jamal saidon dan Pengarah Teknikal - Roslan Chin menjadikan pementasan ini lebih lengkap dan memukau.

Saya macam ingin menulis panjang tentang teater ini kerana dah lama tak menulis tentang teater. Di pintu bawah Balai Budaya Tun Syed Nasir selepas menonton, SM Zakir berbisik, "Ini baru rasa menonton teater. Dah lama tak tengok teater."

4 comments:

edolah said...

sheikh,
"Badai Semalam" pula macam mana?

Rahimidin Z said...

edolah,
aku tengah tulis skrip baru "Badut Semangkuk". hang nak berlakon?

edolah said...

dah lama tak berperan di pentas teater..asyik sebati di pentas deklamasi..bab hafalan skrip dah makin perlahan..tapi kalau nak mencuba apa salahnya!
Ada watak yg sesuai ker?!

Pegawai Khalwat said...

Tulis jangan tak tulis.