A.B. IBRAHIM DAN LUKISAN CAT AIR MELAYU
Penggunaan bahantara cat air antara medium tertua dalam sejarah seni lukis. Tetapi di Malaysia hampir tidak ada Institut Pengajian Tinggi Awam yang menawarkan kursus Ijazah dalam seni halus yang menekankan medium tersebut. Ini menjadikan kolektor seni tidak berminat untuk membeli lukisan cat air sebagai himpunan koleksinya. Lulusan universiti dalam negeri akan mencebih bibir apabila ada rakan-rakannya yang ingin meneruskan berkarya dengan menggunakan medium cat air. Apatah lagi seniman perupa yang terdidik dalam tradisi Barat, biasanya akanlah lebih-lebih lagi mencemuhnya, seolah-olah dia sendiri sebagai pelancong Barat yang singgah bersiar-siar di Kuala Lumpur.
Semasa hayatnya, Rahime Harun melalui A.P. Art Gallery miliknya bersama Pusat Kebudayaan Universiti Malaya pernah menganjurkan pameran Ide Dan Kreativiti Melayu pada 13-27 Disember 1997. Dalam katalog pemeran tersebut, Rahime Harun menulis: “Jumlah koleksi lukisan cat air dalam koleksi BSLN sehingga 1992 ialah 215 karya sahaja, sungguhpun tradisi catan cat air mempunyai keaktifan yang tinggi. Usaha untuk meningkat koleksi cat air telah diabaikan berbanding dengan media yang lain. Jika diperhitung dari rasio koleksi cat air, ia merupakan hanya 10 peratus dari jumlah koleksi BSLN. Koleksi pelukis cat air Melayu jelas amat sedikit dalam koleksi negara. Untuk pengetahuan umum, koleksi seni lukis oleh pelukis Melayu ialah 24 peratus daripada seluruhan koleksi BSLN, menurut kajian yang dilakukan pada tahun 1992.”
Tulisan Rahime Harun merujuk kepada kajian tahun 1992, sekarang sudah 2009 dan akan masuk 2010. Barangkali hal itu sudah berubah. Lukisan cat air Melayu barangkali telah banyak berubah dan jumlah peratus pelukis Melayu pun telah banyak bertambah. Moga-moga! Sayanglah kan, kalau pelukis cat air terbaik negara seperti Mansor Ghazalli, Mohd. Zain Idris, dan Mokhtar Ishak tak ada dalam koleksi negara. Seperti Abdullah Ariff, A.B. Ibrahim, dan A.J.Rahman, Mansor Ghazalli dan Mohd Zain Idris juga sudah kembali ke alam arwah. Yang tinggal hanya karya-karya mereka.
Pada akhir Julai 2007 saya berada di Alor Setar, Kedah beberapa hari kerana ditugaskan untuk menulis sebuah skrip pentas. Tentulah tempat utama saya ke Muzium Kedah. Lain yang saya cari, lain pula yang saya dapat. Saya menerima hadiah sebuah katalog pameran lukisan A.B. Ibrahim yang diadakan pada 5 Januari 1993. Menarik apabila hampir 100 buah karya A.B. Ibrahim seorang pelukis cat air Melayu yang bergantung hidup sepenuhnya pada lukisan karyanya berjaya dikumpulkan.
Ismail Hj Salleh telah menuliskan esei pendek tentang A.B. Ibrahim dalam katalog pameran itu. Walapun pendek tetapi banyak informasi yang perlu diketahui oleh peminat dan khalayak seni lukis Malaysia. Tulisnya: “Balai Seni Negara mempunyai 12 buah karyanya dan Balai Seni Negeri Kedah mempunyai 9 buah.” Tetapi apabila saya meneliti Inventori Himpunan Tetap Warisan Seni Tampak Negara 1958-2003 (tanpa tahun terbit) jumlah koleksi A.B. Ibrahim yang terdapat dalam koleksi Negara hanya empat buah sahaja dengan judul karya Kota Melaka (1952, cat minyak), Alam Benda (1953, cat minyak), Pemandangan (1940, cat air) dan Potrait Ibu Tua (1940, cat air). Lukisan Pemandangan kemudiannya diistiharkan sebagai Warisan Negara pada tahun 2009. Kalaulah benar tarikh 1940 terhasilnya Pemandangan dan Potrait Ibu Tua, A.B. Ibrahim menghasilkan dua karyanya yang menjadi koleksi negara ketika usianya baru 15 tahun. Ini mengambil kira tahun kelahirannya pada 1925.
Sejak memperolehi katalog pameran A.B. Ibrahim, saya cukup teruja untuk memiliki salah sebuah karyanya. Apabila melihat di internet, harga karya lukisannya telah mencecah RM6000 hasrat itu menjadi menurun. Beberapa foto yang menawarkan karyanya di internet juga memaparkan beberapa karya yang ditiru daripada gayanya. Dan menyebabkan saya membiarkan sahaja hasrat untuk mendapatkan karya beliau. Sehinggalah saya diberikan salinan warna 38 buah karya A.B. Ibarahim dan adiknya A.B. Hassan oleh pelukis Ahmad Marzuki Abu Hassan, sahabat saya. Marzuki memberikan saya no telefon Haji Alias Mohd. Samah tuan punya yang menyimpan karya-karya tersebut.
Saya segera menelefonnya ke Alor Setar. Haji Alias memberitahu dia telah menjualkan semuanya kepada BSLN dengan harga RM2,100 untuk sebuah dengan jumlah 60 buah. BSLN mengambil semua sekali dengan meja tempat A.B. Ibrahim melukis termasuk berus dan pellet yang pernah digunakan oleh pelukis itu. Melepaslah harapan saya untuk mendapatkan karya beliau. “Pak Cik masih ada sikit lagi, itu pun terselit di dalam almari lebihan daripada dibeli oleh BSLN.” Mendengar penjelasannya saya lega, pasti saya akan mendapat karyanya. Baguslah juga kerana BSLN telah mengambil tindakan yang tepat dengan memborong kesemua karya A.B. Ibrahim.
Saya menghubungi Uwei Haji Shaari memaklumkan hal itu. Dia inginkan dua buah karya A.B. Hassan, manakala karya A.B. Ibrahim sudah ada dalam koleksinya. Saya ke Alor Setar tiga bulan lepas, tetapi tak sempat mengunjungi ke rumah Cikgu Alias kerana acara yang amat padat. Malam terakhir di Alor Setar, saya dibawa oleh sahabat saya Wan Darus seorang kolektor ke rumahnya. Koleksinya bagus. Dan dia memiliki beberapa karya terbaik A.B. Ibrahim. Saya terpegun apabila beliau menunjukkan Potret Lelaki Bersemutar karya A.B. Ibrahim miliknya. Karya-karya dalam koleksinya itu pun dibeli daripada Cikgu Alias.
Selepas zaman Yong Mun Sen dan Abdullah Ariff, A.B. Ibrahim dan teman-temannya yang dikenali sebagai “Pelukis Tiga Serangkai” (A.B. Ibrahim, A.J. Rahman dan Saidin Yahaya) merupakan peneruskan kepada seni lukis cat air pada zamannya. Menarik apabila mereka bertiga berjaya membuka “Warna Art Studio” pada 1 April 1946 di Pekan Rabu, Alor Setar. Dua adik A.B. Ibrahim, iaitu A.B. Hassan (yang juga menggunakan nama A. Aziz atas sebab-sebab tertentu) dan A.B. Kechik mengikuti jejak langkah abangnya melukis dengan menggunakan medium yang sama.
Akhirnya Cikgu Alias Mohd. Samah menelefon Marzuki bahawa dia akan ke Putraja untuk menjual semua karya A.B Ibrahim dan A.B Hassan yang masih ada dalam simpanannya. Sebelum ke sana beliau singgah untuk menunjukkan karya-karya yang masih ada dalam simpanannya itu. Yang ada, dah tak sampai 30 buah. Dan sebahagiannya sudah bertompok dengan acid kerana sudah melewati 40 tahun. Saya telefon Uwei dan kami memilih dua buah seorang. Karya yang kami pilih akan disimpan dan kami akan telefon kemudian untuk pembayarannya nanti. Selepas menefon kembali Haji Alias, dia memahami masalah kami, dan bersetuju dengan harga yang diberikan. Dua minggu kemudian anaknya, menghantarkan lukisan tersebut.
Saya terpegun amat dengan rumah berlangsir merah di bawah redup pohonan kelapa. Sapuan cat air dibiarkan putih di dinding rumah yang terkena cahaya matahari. Begitu juga dengan batang kelapa yang dibiarkan dengan kertas putih yang asal. Di belakang rumah sepohon hijau yang merimbun meneduhkan pandangan. Tiga ekor ayam sedang mematuk-matuk mencari makan. Entahlah pula dengan lelaki berbaju merah yang mengandar jualan itu. Apalah dia sedang menuju ke halaman untuk menjualnya atau pun membawa pulang hasil dapatannya pada hari itu. Langit pula dicat biru kekukingan lembut, jernih dan indah. Di tangga depan yang tidak kelihatan, belum tentu tuan rumah akan membeli hasil jualan.
Saya percaya dalam waktu terdekat karya-karya lukisan cat air A.B Ibrahim, dan A.J. Rahman yang manis dan syahdu itu akan menjadi buruan kolektor yang serius dan yang benar-benar memahami erti seni. Nostalgia silam seolah-olah hidup di dalam sejumlah karya mereka. Tetapi Melayu sebenarnya mudah lupa. Dan ingatan Melayu pun semakin mereput dan musnah. Mengigau dan meracau-racau di siang hari. Yang tertinggal hanya setitik air mata. Selebihnya dipungah keluar hasil kekayaan negara dalam bidang apa sekali pun. Anak cucu? Usahkan ditanyakan. Biarlah mereka menjadi diri mereka.
5 comments:
As-salam.sy tertarik dgn post yang ini. Touching pun ada.sebabnya?saya merupakan anak saudara arwah A.B Ibrahim dan sy juga merupakan salah seorang anak kepada salah seorang adik a.b ibrahim yg encik sebutkan di atas..alhamdulilah, bakat seni melukis mengalir dalam darah saya..Sy menghargai penulisan anda dan saya juga terharu yang anda begitu meminati hasil karya keluarga kami.
asalamualaikum. sy pelajar psv dari ipg. dan sedang buat research tentang karya arwah ab ibrahim. klau boleh nak berkenalan dngn famili terdekat arwah atau sesiapa yg follow karya beliau untk mantapkan lagi research sy. sbb sy perlu buat peniruan agong salah satu karya beliau di ats kanvas. trima kasih:)
Sy masih bnyk koleksi pelukis ni.. Ketika itu pelukis hidup susah di kl.. Bapa sy penjual brg2 seni bnyk membantu beliau.. Dgn membeli hasil seni pelukis kita
Pelukis ab Hassan,kecik dan a. Rahman
Post a Comment