Monday, February 16, 2009

Patin Masak Tempoyak

Semalam saya ke Jengka 5. Memandu masuk ke tol Chenor dan melihat ke kiri kanan jalan yang berubah. Saya tinggal di Kuantan lapan tahun lepas (sempat 4 kali pindah rumah – bukan lari malam kerana tak bayar sewa. Tetapi mencari tempat yang terdekat untuk pergi kerja.) ketika memandu balik, saya meneruskan perjalanan sengaja melewati Bandar Temerloh (yang tertulis Bandar Ikan Patin). Hospital baru yang tersergam. Melepasi sungai Pahang yang pernah saya berakit dari Sungai Jelai sehingga ke Pekan selama lapan hari tujuh malam lapan tahun lalu. Rakan serakit saya Marsli NO, Cikgu Zakaria Adam dan Abdul Aziz Sulaiman. Teringat saya bagaimana ribut yang memusar rakit kami di Kuala Semantan, ular yang turun dari tebing sungai, kala jengking yang besarnya luar biasa. Petir membelah langit. Hujan turun mencurah. Azan dilaungkan dari rakit yang lain. Haru biru sekali. Sampai ke tapak perkhemahan, beg pakaian kami dipenuhi air hujan. Dan malam itu, kami tidur di atas hamparan surat khabar dengan unggun api di tepi.

Kenangan itu hilang apabila isteri menunjukkan gerai ikan patin. Dan saya hentikan kereta membiarkan isteri saya memilih patin yang disukainya. Saya tak makan ikan sungai sebelum berpindah ke Pahang, dan setelah tujuh tahun menetap di Kuantan menjadikan kami peminat patin masak tempoyak. Masakan kawan saya, allahyarham Fauzi Talib (al-fatihah untuknya) menjadikan kami peminat patin. Setelah berpindah ke KL, setiap kali ke Kuantan, Fauzi akan sediakan patin untuk kami. Dan semalam isteri saya menggulai patin masak tempoyak.

4 comments:

Sham al-Johori said...

Syeikh,
Ikan patin masakan isteri tu adalah petanda dan ujian terhadap kesetiaan cinta dan rindu. Ingatlah, tanpa isteri tu sudah lama tuan sepi diulit mimpi tiduran. Yalah, tak kan nak peluk bantal busuk lagi?
hehehe

Rahimidin Z said...

Sham,
isteriku kekasih awal dan akhir!

Shasha said...

wah sedap tu makan patin masak tempoyak, lebih-lebih ada cik puan di sisi....

Rahimidin Z said...

kakchik,
alhamdulillah.