Sewaktu ke Tokyo pada 30 Jun hingga 6 Julai yang lalu, saya sangat berhasrat untuk mencari CD lagu yang dihasilkan oleh Hikari Oe. Tetapi, Tokyo sangat sibuk, dan saya pesankan kepada kawan saya untuk membelinya. Semalam saya menerima CD tersebut daripada Togari Yasuko. Hikari Oe yang lahir pada 13
Jun 1963 itu merupakan seorang komposer Jepun yang berpenyakit autisme. Anak kepada penerima
Hadiah Nobel dari Jepun, Kenzaburo Oe
dan Yukari Ikeuchi, adik kepada pengarah Juzo Itami.
Thursday, August 7, 2014
Hokusai
"Hokusai" ini buku kedua yang saya ada. Dipilih oleh Sandra Forty, terbitan TAJ Books International LLC 2013. Dihadiahkan oleh kawan saya dari Tokyo. "Hokusai" sangat nostalgia kerana karya-karyanya menjadi teks wajib kami sewaktu kuliah "Pengantar Seni Halus". Kami harus mengingatkan nama pelukis, judul karya, tahun dihasilkan dengan slide dipancarkan ke dinding dan kami menulis kertas jawapan. Menulislah kami. Dan saya tidaklah cemerlang. Sekadar dapat C+ sahaja. Tetapi bertahun-tahun selepas itu, Profesor saya itu memberikan talknya di BSLN. Saya sengaja sembunyi di kerusi paling belakang. Dia sebutkan, pekajar terbaiknya di dalam majlis itu, dengan merujuk kepada saya. Saya senyum, yang terbaik itu dapat C+.
Friday, July 25, 2014
Wayang Kulit Malaysia
bertemu Edo Ito Ayatsuri Ningyo
Pertama kali dalam sejarah
dunia wayang, Wayang Kulit Malaysia bertemu Edo Ito Ayatsuri Ningyo selama
empat hari di Tokyo International Book Fair yang berlangsung di The Big Sight,
Tokyo dari 2 hingga 5 Julai 2014. Ini merupakan sebuah eksperimen, dan
eksperimen ini telah memberikan titik awal yang sangat luar biasa. Dari
persembahan pertama sehinggalah kepada persembahan yang terakhir, penonton Jepun memenuhi pavillion Malaysia untuk
menyaksikan pertemuan dua budaya yang berbeza tersebut. Sangat unik kerana
kedua bangsa itu berbicara dalam Bahasa ibunda masing-masing, tetapi penonton
faham dengan apa yang sedang terjadi di hadapan mereka. Sangat mengujakan
apabila persembahan hari terakhir, dua puluh minit sebelum persembahan bermula,
para khalayak Jepun telah memenuhi kerusi di depan panggung Wayang Kulit
Malaysia. Apatah lagi sebuah bangsal simbolik cantik dengan daun beratapkan
nipah, hutan malar hijau, pohonan kelapa dan pantai yang memanjang bersih. Kita
seakan terlupa apakah itu sebuah pantai di Pantai Timur Semenanjung atau pun
pantai dan pulau-pulau di Sabah. Tetapi, dekonya jelas memindahkan pantai dan
alam hijau Malaysia di TIBF yang julung-julung kalinya Malaysia menjadi negara
tema.
Malaysia menampilkan
tradisi Wayang Kulit Kelantan selalunya memainkan cerita wayang yang dipetik
dari Hikayat
Seri Rama yang disadur dari epik Ramayana yang amat popular dalam
tradisi India itu. Persembahan cerita dalam Wayang Kulit Kelantan pula boleh dibahagikan kepada tiga kelompok
cerita, iaitu cerita pokok, cerita ranting dan cerita tanggam. Cerita pokok
ialah cerita yang dimainkan sebelum peristiwa memanah pohon lontar oleh Seri
Rama dan adikanya, Laksamana untuk
mendapatkan Siti Dewi. Manakala cerita-cerita selepas perkahwinan Seri Rama dan
Sita Dewi, yang melibatkan anak cucu Seri Rama diketegorikan sebagai cerita
ranting. Manakala cerita-cerita tanggam
pula, cerita yang disadurkan dari teks-teks luar. Di samping Wayang Kulit
Kelantan yang paling popular, terdapat tiga lagi jenis teater tradisi Wayang
Kulit di Malaysia, iaitu Wayang Gedek di Kedah, Wayang Melayu di Kelantan dan
Wayang Purwa di Johor.
Dalam Wayang Kulit
Kelantan, bahasa yang digunakan oleh dalang sepenuhnya menggunakan
loghat/dialek Kelantan dengan campuran mantera atau ucap tetap dengan
dipengaruhi oleh bahasa Siam dan juga Jawa. Manakala alat muziknya pula seperti
serunai, gendang ibu dan anak, geduk ibu dan anak, gedombak ibu dan anak, kesi
dan juga gong. Patung dalam Wayang
Kulit Kelantan untuk watak raja dan dewa-dewa hanya boleh mengerakkan sebelah
tangan sahaja dan mulutnya statik. Hanya watak-watak pengasuh seperti Wak Long,
Pak Dogol, Samad, Said dan Wak Yah sahaja yang boleh menggerakkan keduadua
belah tangan dan mulut juga digerakkan apabila watak-watak ini bercakap.
Dalang-dalang
terkenal seperti Awang Lah Mokrak, Dalang Ya’akob, Dalang Jambul Pasir Puteh,
Dalang Amat Semail Jelawat, Dalang Pak Su Karim Parindu Kota Bharu, dan Dalang
Sal Kubang Bunut. Selepas zaman itu,
Dalang Dollah Baju Merah dan Hamzah Awang Amat antara yang sangat
dikenali.
Manakala Tuk Dalang Roslan
Harun pula menjadikan dalang yang mewakili Negara Malaysia. Beliau dilahirkan
pada tahun 1971 di Jerantut, Pahang. Mendapat bimbingan pemuzik terkenal tanah
air dalam bidang tradisional. Pernah mengikuti pengajian muzik di UiTM Shah
Alam. Pernah mengikuti Program Asean Theaterical Artistic Invition dari
September 2006 hingga September 2007 di Dongguk University dan National Theater
of Korea.
Selain itu mempunyai pengalaman selama
15 tahun sebagai pemuzikk tradisional di
Istana Budaya dan merupakan pemuzik Orkestra Tradisional Malaysia. Berkemahiran
membuat alat muzik tradisional seperti rebab dan serunai. Pernah membuat
pelbagai persembahan di negara luar
seperti Amerika Syarikat, Perancis, Korea Selatan, Turki dan hampir semua
negara Asia yang lain. Mempelajari
pendalangan Wayang Kulit Kelantan daripada Che Seman, murid kepada Dalang
Sulaiman Isa, Temesu, Tumpat. Terbaharu
membuat persembahan Wayang Kulit sebagai dalang di Qatar, Bahrain dari 26
Februari hingga 3 Mac yang lalu.
Edo
Ito Ayatsuri Ningyo pula merupakan
teater patung tradisional Jepun. “Edo” adalah nama lama bagi Tokyo,
“ito” bermasksud benang atau tali, “ayatsuri” bermaksud manipulasi dan “ningyo”
pula bermaksud patung. Sebagaimana
namanya, patung dimanipulasikan dengan menggunakan benang. Ia dikatakan
muncul di Jepun pada abad ke-17 sebagai hiburan orang ramai. Di Tokyo, “Yukiza
(Youkiza)” telah ditubuhkan kumpulan
teater patung ini sejak tahun 1635, dan
pada zaman Edo, panggung tetap untuk teater patung ini telah didirikan di
kawasan hiburan di Tokyo, bersama-sama dengan panggung untuk teater Kabuki. Ia dikatakan hampir pupus
semasa kekeliruan dalam Pembaharuan Meji (Meiji Restoration), tetapi kemudian
dipulihkan kembali pada tahun 1900 dan diteruskan hingga ke hari ini.
Ciri khas “ito ayatsuri”
Jepun dengan penggunaan papan manipulasi
yang disebut “te-ita (“te” bermaksud
tangan dan “ita” bermaksud papan). (Dalam teater patung marionette
Eropah dan sebagainya, batang-batang yang digabungkan digunakan dan bukan
papan). Purata besar patungnya lebih kurang 60 cm dan belasan utas benang yang
diikatkan pada “te-ita” disambungkan pada bahagian-bahagian patung. Dengan
memanipulasikan (menggerakkan/menarik) benang tersebut, boleh mewujudkan
pergerakan atau perasaan halus pada patung. Dikatakan latihan selama beberapa
tahun diperlukan untuk dapat menggerakkan patung untuk hanya berjalan biasa
sahaja.Teater patung ini dsenaraikan sebagai “Khazanah Kebudayaan Rakyat Tak
Ketara Kebangsaan”dan juga “Khazanan Kebudayaan Tak Ketara Tokyo” .
Edo Ito Ayatsuri Ningyo
menampilkan dalang dan pembuat patung Shiokawa Kyoko yang sangat mahir. Dilahirkan di Tokyo pada tahun 1959. Merupakan lulusan
Maktab Rendah Universiti Wanita Sugino (Sugino Women’s University Junior
College), Jabatan Kesenian paada tahun 1979. Bergabung dengan kumpulan Teater
Patung Edo Ito Ayatsuri Ningyo “Youkiza” dari
tahun 1985 hingga 2006, dan terlibat dalam persembahan (permainan) dan
pembuatan patung. Bergiat sebagai pemain bebas pada masa kini. Selain dari
patung “Edo Ito Ayatsuri Ningyo”, beliau juga sedang berusaha menciptakan
pelbagai gaya manipulasi dengan menggunakan benang bagi patung yang perbagai
bentuk, dan juga kolabolasi di antara teater patung dan teater orang.
Karya-karya utamanya
seperti “Suizokukan Kyoshikyoku”(2012), “Siawase na Oji” (2012), “Raft no
Yabushirazu” (2013), dan “Hoshi no Kabuki” (2013). “Suizokukan Kyoshikyoku”
karya KOMRO Koji sebuah karya fiksyen yang mengambil contoh dari “Akuarium
Moguranpia” di Bandar Kuji, Iwate, timur laut Jepun yang telah dilanda dan
dihancurkan tsunami dalam Gempa Bumi
Besar Timur Jepun. Terlibat dalam persembahan patung yang menggambarkan
ikan-ikan yang telah terselamat dalam bencana tersebut. Gambaran hidupan laut
yang pelbagai dengan menggunakan tubuh sebenar pemain patung. “Shiawase na Oji”
karya Oscar Wild susunan kembali : KANNO Naoko penyelia (superviser) WADA
Yoshio Badan (orang), patung dan ruang pentas ditergabungkan dan menyajikan
sebuah ekspersi. “Raft no Yabushirazu” sebuah persembahan 32 goshitsu, dan
sirinya “Hoshi no Kabuki” karya IZUMI Kyoka, sebuah persembahan Warashi-an.
Terlibat dengan
memanipulasikan patung IZUMI Kyoka, iaitu watak penulis asal karya tersebut di
dalam kedua-dua persembahan. menggunakan patung yang memiliki struktur ciri
khas “Edo Ito Ayatsuri Ningyo” yang menggambarkan perasaan dalaman watak yang
halus.
Pertemuan Wayang Kulit
Malaysia dengan Edo Ito Ayatsuri Ningyo sangat menarik dan memikat. Cerita
bermula di Negeri Kuala Dua, Raden
Lakjuna meminta kebenaran daripada ayahandanya Maharaja Sri Rama untuk pergi ke
Negeri Jepun supaya dapat melihat dunia yang luas. Di Negeri Jepun, seorang
Puteri yang cantik, sedang menunggu hari untuk bertemu dengan kekasih
idamannya. Sebaik tiba di Jepun, Raden Lakjuna bertemu dengan Puteri Jepun dan
mereka berdua jatuh cinta pandang pertama.Tetapi tiba-tiba Raksasa yang juga
menaruh hati kepada Puteri Jepun muncul dan berlaku peperangan sengit di antara
mereka. Raden Lakjuna akhirnya dapat mengalahkan Raksasa dan disatukan dengan
Puteri Jepun. Mereka berdua berangkat kembali ke Negeri Kuala Dua.
Bayangkan keunikannya
kerana watak Raden Lakjuna di Wayang Kulit Malaysia yang berada di belakang,
manakala patung Puteri Jepun berada di luar kelir, di mana kedua-duanya
berdialog dalam bahasa ibundanya masing-masing.
Tahniah kepada Institut
Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) yang memulakan sebuah gabungan yang
menarik. Dan tentunya tahniah juga kepada Tuk Dalang Istana Budaya, Roslan
Harun dan para pemuziknya Mohd Nawi Jusoh, Che Fauzi Abdullah, Dahari Che Seman
dan Che Mat Jusoh dari Pusat Pengajian Seni USM.
Friday, May 23, 2014
Biring Sikunani
Menulis buku kanak-kanak bukanlah bidang saya. Tetapi setelah membaca catatan penyair dan aktivis teater kanak-kanak Ladin Nuawi terhadap buku kanak-kanak saya "Biring Sikunani", saya rasa saya ingin menulis sedozen buku kanak-kanak lagi. Ini buku kanak-kanak ketiga saya selepas "Wira Sekolah" yang diterbitkan pada tahun 1994 dan siri "336 Cerita Kanak-Kanak" terbitan Utusan. Kerana dunia kanak-kanak, bukanlah dunia saya, maka sudah tentu ada banyak kelemahan di dalam buku ini, apatah lagi saya tidak terdidik dalam bidang itu. Tetapi apabila anak saya yang di Tadika, Husna sangat suka dengan buku ini, saya anggap bukanlah kerana buku ini bagus, tetapi kerana bapanya yang tulis. Apatah lagi saya tidak belajar psikologi kanak-kanak kat universiti, maka sudah tentunya saya gagal untuk membina emosi dan plot dengan baik. Barangkali ini dosa awal saya untuk dunia sastera kanak-kanak di Malaysia. Silapnya buku ini pernah dibawa ke Bologna Book Fair di Italy. Dan silapnya juga, saya telah terlanjur dipanggil "Pupeteer Master" selepas selesai mengadakan persembahan wayang kulit di luar negara. Maafkanlah saya!
Dan ini pula petikan dari fb Ladin Nuawi:
Ambo nak tumpukan kepada buku Cerita Kekanak Biring Sikunani yang ambo tangani semasa Sesi Bersama Penulis ITBM, 30 April 2014 sempena Pesta Buku Antara Bangsa Kuala Lumpur 24.4-4.5.
Biring Sikunani Rahimidin Zahari cukup sebagai sebuah buku kekanak berusia 9 tahun ke bawah untuk dibaca bersama-sama keluarga. Ada cerita hendak disampaikan, binaan ayat yang boleh dilakonkan dan ilustrasi menarik.
Cerita rakyat kita selalu berbau negatif tetapi Rahimidin berjaya memurnikan kisah Pak Kaduk. Rahimidin tidak mengakhiri ceritanya dengan ‘ayam menang tetapi kampung tergadai’. Tetapi, membawa Pak Kaduk kembali ke kampung halaman malah mendapat ‘status’ di istana. 'Diharamkan’ sabung ayam!
Ambo sendiri tidak terfikir mainan plot dalam buku ini. Rahimidin telah menaji pengalaman sastera kekanak/remaja ambo. Aduh, betapa indahkan kalau cerita buku ini diolah menjadi sebuah drama pentas pendek kekanak. Apapun gaya bahasa buku ini cukup untuk dilakonkan dengan bacaan sementara tuan Anuar Manshor dan Mohd Khair datang ilham untuk pindahkan ke pentas. Hi hi hi ...
Tidak ketara perkataan atau ayat berbau negatif yang boleh ‘mencemari’ kemurnian kekanak. Ia memang sesuai sebab ia buku bergambar bukan novel kekanak yang boleh kita beratkan sedikit. Ilustrasi agak cukup untuk membantu lakonan gaya dan bacaan.
Tuesday, May 20, 2014
Romli Awang Batil
![]() |
| Foto: RZ |
Sewaktu menjadi mahasitua, kami pernah membawanya untuk membuat persembahan di Dewan Budaya USM bersama Che Mat Jusoh yang mempersembahkan Main Selampit. Setelah lama tidak menemuinya, saya akhirnya sampai ke rumahnya di Kg Pokok Sena, Chuping, Perlis. Rumahnya membelok ke kiri di Lorong Pokok Sena 3. Ketika sampai, orang kampung sedang makan pulut tanak dengan kopi o serta sirap sempena gotong royong masyarakat kampung membersihkan surau. Dan kami pun dijemput menjamah sama, walaupun saya sudah pun minum pagi di Grand Alora, Alor Setar.
Lebih sepuluh tahun dahulu, saya juga pernah sampai di sekitar ini, di rumah Pak Wan Khazim, seorang pelakon filem Melayu di Studio Jalan Ampas dan pemantun yang sangat terkenal bersama Prof. Muhammad Haji Salleh.
Lebih sepuluh tahun dahulu, saya juga pernah sampai di sekitar ini, di rumah Pak Wan Khazim, seorang pelakon filem Melayu di Studio Jalan Ampas dan pemantun yang sangat terkenal bersama Prof. Muhammad Haji Salleh.
Romli Mahmud dilahirkan pada 6 Julai 1955 di Kampung Pokok Sena, Chuping. Mulai belajar Awang Batil daripada arwah bapanya, Pak Mahmud Wahid sejak berumur 10 tahun. Menerima pendidikan sehingga Darjah Enam di Sek. Keb. Chuping. Pernah menjadi pemuzik asli di Penang Culture selama 4 tahun di Pulau Pinang pada tahun 1992. Pernah membuat persembahan Awang Batil di pelbagai tempat termasuk ke Switzeland (1996) dan ke Singapura (2001).
Antara cerita-cerita dalam persembahan Awang Batil seperti Mek Siti Galin, Awang Akar Larak, Awang Biawak, Awang Denoi. Awang Geliga Embun, Awang Parang Besar, Awang Malim Awang Leman, Awang Segan, Awang Penipu, Dua Beradik (Jabak dan Jabek), Malim Deman, Raja Dewa Lok, Raja Darah Putih, Raja Marakarma (Awang Betui), Raja Radin Mas (Pak Long Nujum), Raja Sultan Dewa (Awang Ada Duit Semua Jadi), Si Tokong Bogel (Batu Belah), Burung Kedidi, Anak Lang Pak Belang, cerita Angan-Angan, Abu Nawas dan Thap Thin Thong.
Keratan akhbar tentang kegiatannya, sijil-sijil pengiktifan untuknya berfrem cantik di dinding rumahnya. Buku tamu juga lengkap dengan nama, dan senarai kehadiran tamu. Beberapa salinan kajian/ tesis ditunjukkan kepada saya. Tiga jam di rumahnya, seolah-olah baru beberapa minit. Romli, seniman sejati yang terus mempertahankan tradisi lisan yang diwarisinya. Kalaulah ingin menobatkannya sebagai 'warisan orang hidup' maka beliau adalah pilihan yang paling tepat.
Sebelum saya meneruskan perjalanan ke wang Tepus, menemui pewaris Mek Mulong, Romli menggesekkan biolanya. Dan beliau menghadiahkan pantunya:
jangan koyak kembang cina,
bunga durian kembang pagi;
jangan tolak patik ni dengan hina,
kuik hari kemudian nak berguna lagi.
Monday, May 12, 2014
Saya Suka Foto Ini
![]() |
| Sdr. Fadli Alkiti, Sdr. Ku Seman dan al fadhil Ustaz Nazmi |
Saya lupa, siapakah yang merakamkannya. Yang saya pasti rakaman ini di rumah PENA, seusai DOM Khas bersama Sutung Umar Rs. Kebetulan pula saya yang mempengrusikan sesi ini. Tetapi paling pasti, saya sangat suka dengan foto ini kerana inilah kali pertama saya berfoto dengan tiga sosok penting yang sedang membina masa depan sastera tanah air. Sdr Fadli, Editor Dewan Sastera. Sdr Ku Seman Pengarang MM dan Nazmi Pengarang Sastera di BH.
Friday, May 9, 2014
Che Mah Merak Mas
| Potret: Tuan Will Tuan Mat |
Che Mah Merak Mas, salah seorang primadona Makyung Kelantan. Bekas isteri kepada Pak Su Pak Adik Cabang Empat, Tumpat. Bonda kepada Abd Wahab Othman, bekas pemuzik tradisional Istana Budaya. Sewaktu rakaman Makyung di Pura Tanjung Sabtu milik Tengku Ismail Tengku Su, kami sempat menziarahi Che Mah yang menetap di Ajil, Hulu Terengganu.
Subscribe to:
Posts (Atom)




