Wednesday, February 12, 2014

MINGGU PENULIS REMAJA (MPR)



Kali terakhir saya menjadi pembimbing untuk MPR pada tahun 2008 bersama Sdr. Saifullizan Yahya. Manakala pendampingnya Dr. Shamsudin Othman dan Nasriah Abdul Salam. Manakala karyawan tamunya Baha Zain dan Allahyarham Azizi Haji Abdullah. Sebelumnya pernah membimbing bersama Dr. Faisal Tehrani. Sebelum-sebelumnya lagi sebagai pendamping atau dijemput sebagai bekas MPR. MPR 2008 meninggalkan suka dan duka yang sangat dalam kepada saya sebagai guru mereka. Hari terakhir dipecahkan kepada 4 kumpulan, dengan setiap orang membawa mereka  dengan LRT ke beberapa lokasi untuk melihat masyarakat dan kehidupan Kuala Lumpur.

Saya sangat gembira, kerana beberapa orang daripada MPR 2008 memberikan hasilnya. Saya sebak apabila Rasyidah Othman berjaya menerbitkan dua kumpulan puisi "Perempuan Yang Patah Hati" dan "Toska". Kedua-dua buku puisinya, saya memberikan katamula. 

Dan semalam   saya melihat iklan buku baru ITBM yang berjudul "Debu di Mataku" oleh Wardah Puteh, saya terus memandu ke sana untuk membeli buku tersebut. Saya gembira kerana ini antara produk MPR yang membuahkan hasil selepas enam tahun program tersebut. Saya tidaklah  terkejut apabila nama saya tercatat di dalam prakatanya. Dan inilah antara dua orang yang berani menghantar sms kepada saya selepas program tersebut. Selebihnya hilang di dalam kabut dan awan.

Sebelumnya pun ramai yang hilang. Manakala yang berjaya menerbitkan karyanya di akhbar, dan majalah atau pun buku yang "buat-buat" tidak mengenali diri saya pun tidaklah kurang ramainya. Yang menyindir saya di fb dan mencerca saya di twitter juga. Saya tidak kerugian dan kehilangan apa-apa. Kalau saya pernah melakukan salah dan silap, maafkan saya hari hujung rambut sampai ke hujung kaki. Dan kalau anda yang mulia dan terpelajar pernah tersilap dengan saya, saya dengan hati setulusnya  memaafkan anda yang tinggi ilmu dan budi bahasanya. Anggaplah saya tidak pernah pun memberikan setitik ilmu pun kepada anda.

Saya masih menunggu beberapa nama, yang sesekali saya ternampak karyanya. Yang seorang lepasan guru dari IPG Kuala Lipis, khabarnya  sudah pulang mengajar di Johor, tetapi tak lagi  temui lagi karyanya. Sesekali saya terpandang sajak  seorang peserta saya yang sedang melanjutkan pelajarannya dalam bidang perubatan di India. Dan saya menunggu buku puisi perseorangan daripadanya. Atau yang terlanjur ke sasar (kalaulah ada), kembalilah kepada kalimah Tauhid - bahawa Allah swt itu satu.  Atau yang di bawah umur ketika itu, dan kini telah berumur matang, jadilah orang yang kenal diri dan kejadiannya.



Friday, December 6, 2013

Limited Edition


"Tiepolo's Hound" merupakan kumpulan puisi beserta dengan lukisan karya Derek Walcott -penerima Hadiah Nobel yang berasal dari Kepulauan Trinidad-Tobago. Kumpulan puisi ini hanya dicetak sebanyak 100 naskhah sahaja. Sepuluh naskhah dari no 1 hingga 10 menjadi simpanan peribadi penyairnya, manakala yang lain-lainnya dijual kepada umum. Naskhah yang dipaparkan di sini merupakan naskhah ke 22 daripada 100 tersebut.

Tuesday, December 3, 2013

Menerima Anugerah Penghargaan MASTERA 2013


Apabila dipilih untuk menerima Anugerah Penghargaan MASTERA 2013 mewakili negara Malaysia di Jakarta pada 24 Oktober 2013 yang lalu, disampaikan oleh Prof. Ir. Wiendu Nuryanti, saya menerimanya dengan sangat rendah diri. Terima kasih kepada kepimpinan Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Dr. Awang Sariyan, Datuk Abang Salehudin Abang Shokeran serta para panel - Dr. Hashim Ismail, Dr. Norhayati Abdul Rahman, Dr. Jelani Harun dan Dr. Kamariah Kamarudin yang telah memilih saya. Apalah sangat sumbangan saya untuk sastera tanah air berbanding dengan sumbangan para sahabat saya yang lain. Cuma saya sangat percaya, kali ini rezeki itu telah Allah swt tuliskan untuk saya, dan insyaAllah di tahun-tahun yang mendatang untuk teman-teman sasterawan saya yang lain pula. Dengan anugerah itu, saya harus maju ke hadapan, menghasilkan karya demi karya. Pastinya tidakcukup dengan karya yang sedia tertulis sebelum ini, dan harus diteruskan dengan karya-karya yang lain. Moga Allah swt sentiasa memberikan kesihatan fizik dan kecergasan akal untuk saya terus menulis. Kepada seluruh keluarga, sahabat-sahabat saya di PENA, kawan-kawan yang jauh, mahu pun dekat yang rakamkan ucapan terima kasih yang sangat dalam. Segala budi dan jasa tuan puan hanya Allah swt yang dapat membalasnya.

Sunday, September 15, 2013

Titik

mencari
titik mula
tetapi
yang engkau
temui
hanya
titik akhir

semuanya
akan
berakhir
pada satu
titik.

Saturday, September 14, 2013

Engkau yang dekat

tiada aku di sini
berjalan dan berlari
dari hari ke hari
dari tahun ke tahun
tanpa reda
dan izin-Mu jua

yang tertulis
tidak terbaca
yang terbaca
hanya yang
zahir dan nyata

Engkau
yang dekat
tidak teraba

Engkau
yang rapat
tidak tersentuh

nestapaku
meratap
dalam
isak dan sendu.

Friday, September 13, 2013

Anak Kecil Main Api

Saya memandu ke pejabat pagi ini. Beberapa hari ini radio saya yang rosak sekian lama, telah kembali berbunyi. Tiba-tiba berkumandang lagu 'Anak Kecil Main Api'. Saya pun mendengarnya, lama sungguh saya tidak mendengar lirik ciptaan Tan Sri Nordin Kardi ini. Saya mendengar sehingga habis. Dan tiba-tiba-tiba saya sangat sebak.

Anak kecil main api
Terbakar hatinya yang sepi
Air mata darah bercampur keringat
Bumi dipijak milik orang
Nenek moyang kaya-raya
Tergadai seluruh harta benda
Akibat sengketa di antara kita
Cinta lenyap di arus zaman
Indahnya bumi kita
Warisan berkurun lamanya
Hasil mengalir ke tangan yang lain
Kita kan merintih sendiri

Jangan buang waktu lagi
Majulah raih sebuah mimpi
Hapuskan sengketa
Teruskan usaha
Kita kan gagah di nusantara
Kita kan gagah di nusantara
Kita kan gagah di nusantara
Kita kan gagah di pentas dunia

Thursday, September 12, 2013

Ujian

Ujian selalunya datang dalam pelbagai bentuk. Musibah yang tanpa terduga. Tingkah-laku dan perangai anak-anak. Segala itu sebagai tanda sayangnya Allah swt kepada kita, hamba-Nya. Dia akan menguji kita. Rutin yang nampak dekat dengan-Nya, tetapi kita sebenarnya amat jauh. Jarang bersujud malam. Maka, segeralah kita insaf untuk bersujud malam. Berbicara dengan-Nya dengan penuh tawaduk dan kerendahan diri sebagai hamba-Nya. Kalau tidak, kita akan sentiasa leka dengan kehidupan seharian yang melalai. Bahawa dunia ini hanya persinggahan sementara, kita akan menuju ke negeri Abadi yang sangat jauh dan kekal selamanya.

Aku hamba-Mu yang sangat hina, daif, lemah, leka dan tidak berupaya. Ampunkan segala salah dan dosa kami ya Allah!