Friday, May 31, 2013

Jalan Ke Rumahku


Jalan Ke Rumahku

lorong kecil
di rimbun dusun
kiri dan kanannya;
tiada lagi
manggis dan cengkih
dibedal angin mosun

Friday, March 22, 2013

tak kenal

"apa acara terdekat di istana budaya?" tanya pak bambang.
"konsert nusantara?" jawab saya.
"apa isinya?"
"menemukan artis indonesia bersama artis malaysia. "
"siapa dari indonesia?"
"rossa..."
"siapa itu? ngak kenal saya..."
"endang s. taurina dan elly kassim."
"ooo..elly kassim itu saya kenal."
oh, pak bambang editor senior tempo tidak kenal dengan rossa. samalah dengan sutung umar rs yang tidak kenal siti.

saya pun tidak sempat menonton konsert tersebut. saya di kuala kangsar dari 5 hingga 8 mac. sempat memandu sendirian ke taiping, gunung semanggul, padang serai sehingga parit buntar. melihat-lihat sawah yang terbentang, bendera dan poster parti politik yang menabiri sepanjang perjalanan.

hanya 16 mac lalu, sahabat saya dr. haji sham memaklumkan jamal d. rahman juga ada ikut serta rombongan wartawan indonesia ke acara tersebut. dia pun jumpa sekejap kerana menitipkan tesis phdnya yang kebetulan jamal d. rahman salah seoarng penyair yang dikajinya.

Thursday, March 21, 2013

pak bambang bujono

hujung februari lepas, saya menerima panggilan, tetapi tak sempat jawab. kemudian sms masuk, memaklumkan: "saya bambang, ada di balai seni visual. salam". saya pun ke sana. rupa-rupanya dia sedang meneliti satu persatu pameran 60 tahun latiff mohidin. petang sebelumnya saya sudah menemuinya di sana. rupanya ada banyak hal yang ingin ditanyakan  beliau. bambang bujono editor senior tempo. pernah juga di horison. mewakili goenawan mohamad yang diundang ke majlis pelancaran buku terjemahan faust oleh latiff mohidin di one world hotel, damansara. tetapi mas gon tak  dapat datang kerana menghadiri festival cap goh meh di kalimantan. diwakilkannya kepada pak bambang. beliau sangat detail meneliti satu persatu lukisan, menyoal dan menghujah saya. saya memperjelas seadanya. "dan tentunya lebih baik, bapak ajukan kepada pak latiff petang nanti." saya menyelamatkan diri.

saya membawanya ke pejabat saya. menghadiahkan beberapa majalah pentas dan beberapa buku. saya memandu ke arkib negara dan dari sana kami ke one world hotel.  pelancaran buku faust pun berlangsung dengan pelancaran oleh dato dr. anwar ridhwan. dan petang itu, pak bambang menghadiahkan sebuah buku yang beliau menjadi editornya "seni rupa indonesia -esei dan kritikan." dengan catatan "bung rahimidin, moga senang membacanya."

Tuesday, March 19, 2013

belajar untuk menjadi tidak kurang ajar


teringat borak buku dengan zaen kasturi di kl sentral beberapa hari lepas. sutung umar rs yang hadir, turut memberikan pendapat - yang menyentuh tentang kesenimanan. wartawan sekadar wartawan berbeza dengan wartawan yang seniman. nazmi dan hafizah dari bh ada bersama pada petang itu. dan mereka antara sisa-sisa wartawan yang tidak hanya terlibat dalam dunia lapor melapor sahaja kerana kebetulan mereka berdua menghasilkan karya kreatif. kalau dahulu, wartawan bukan sahaja wartawan, tetapi mereka juga sasterawan - kajai, pak sako, a. samad ismail, a. samad said, zahari affandi, dan ramai lagi. sutung juga menyentuh tentang kehadiran seniman itu harus berbeza. bukan kerana ingin berbeza, tetapi wajar berbeza. perbezaan itulah yang akan  memberikan kelainan idea, kelainan persepsi dalam menanggapi sesuatu perkara.

kelainan sudut pandang itu merupakan perkara lumrah dalam kalangan seniman.bahkan sepatutunya terjadi dalam bidang apa pun.  tetapi hanya orang yang kurang ajar sahaja yang memberikan tafsiran sesukanya terhadap sesuatu yang tidak perlu pun disensasikan. dalam banyak hal, kita berasakan kurang ajar itu perlu, dan dalam hal yang lain, bersederhanaan  dan mengambil sikap berdiam diri itu lebih baaik. bahkan lebih menampakkan kita sedikit bijak, dan tidaklah mempamerkan sikap dan tingkah laku kanak-kanak di bawah umur. bolehkah belajar untuk menjadi tidak kurang ajar? boleh kepada yang ingin berubah. dan sangat tidak boleh kerana memang dilahirkan dengan kurang ajar. apatah lagi sejak datuk nenek lagi memang sudah kurang ajarnya.

menjadi seniman tidak perlu memihak kepada sesiapa. tak usah seronok mengambil pendapat dan pandangan peribadi orang lain. pandangan sendiri lebih afdal untuk dihujahkan. dan seniman sejati, saya percaya dia bukan penentang kepada sesuatu agenda kebaikan,  tetapi seutas benang halus yang mengikat tali kemanusiaan dan kehalusan jiwa bangsanya.

Sunday, February 24, 2013

Syarahan

Semalam saya mengikuti dua syarahan. Syarahan pertama siri Syarahan Ismail Zain di Auditorium BSLN (sengaja tak tulis BSVN) yang disampaikan oleh SN Dato Dr. Anwar Ridhwan. Judul syarahannya "Elemen Visual dan Sebuah Masyarakat yang Bergolak: Renungan Seni dan Sosial Sejak Tahun1957" dari jam 11 pagi sampai 1 tengah hari. Sebuah syarahan yang sangat penting  bagaimana SN tersebut  melihat rekaan kulit majalah dan jurnal Melayu yang penting sejak tahun 1957 dengan pencapaian seni visual, serta isu-isu masyarakat yang melatarbelakangi penerbitan majalah/jurnal tersebut pada zamannya. Saya hadir, dan duduk di belakang. Melunjurkan kaki ke depan dan cuba memendek badan supaya tidak nampak dalam kalangan hadiran. Apabila acara berakhir, tiba-tiba saya dijemput naik ke pentas oleh pengerusi syarahan, Sdr. Badrulhisham Mohd. Tahir untuk menyampaikan cenderamata dari BSLN kepada SN Dato' Dr. Anwar Ridhwan. Ketika melangkah keluar, kolekter ternama Tuan Phakarudin Sulaiman menghulurkan kalender meja 2013 yang semua lakaran potret di dalamnya oleh pelukis Amron Omar.

Saya sepatutnya meninggalkan majlis lebih awal kerana ada 6 miss call daripada Wan Mat Said dan MA Jawahir yang menunggu di kedai buku Alam Raya. Mereka tentunya ingin mengajak makan tengah hari. Tetapi tidak wajar pula  untuk saya  mengelak ajakan Sdr. Badrul, saya pun  duduk semeja dengan Dato' Anwar,  Sdr. Mohd. Yusoff Osman, seorang pensyarah Aswara dan dua orang pensyarah dari Uitm Melaka. Dr. Victor Pogadaev melintas di situ, dan memetik foto kami. Dia dipersilakan makan tengah hari. Dan seperti biasa Dr. Victor memberikan beberapa komen. Dia datang untuk melihat pameran 60 tahun Latiff Mohidin. Dia kepingin jumpa Latiff, dan pada hari perasmian tidak dapat datang kerana ada kuliah. Dia komen tentang, tiadanya pameran koleksi tetap yang sepatutnya dipamerkan sepanjang tahun. Bila pengunjung dari luar negara  datang ingin melihat karya Ibrahim Hussein dan Syed Ahmad Jamal, tetapi karya mereka tidak dipamerkan kepada umum.

Singgah sekejap ke PNM dengan Dr. Victor kerana ingin melihat jualan buku jalanan. Kami sampai, tetapi dah banyak yang bungkus buku dan berangkat pulang. Dr. Victor komen pasal parking kereta bertingkat dan dia parking keretanya di luar pagar PNM. Saya memandu dalam panas terik dan Jalan Tun Razak yang sesak melepasi bulatan Pahang dan membelok ke Alam Raya di Jalan Pekeliling. Beli tiga buah buku, dan balik ke rumah.

Malamnya ke Dewan Jumaah UTM Jalan Semarak mengikuti Syarahan Malam Sabtu oleh YM Tan Sri Syed Naquib al-Attas. Bila memberi salam kepada Prof. Wan Mohd. Nor dan Prof. Muhd. Zaini Uthman. Prof. Wan dah kali kedua menegur kodroi saya, yang katanya dia juga ada. Masuk ke dalam, dilambai oleh Ustaz Mohd Zain Abd. Rahman untuk duduk di kerusi kosong di sebelahnya.

Saturday, February 23, 2013

pertanyaan

Saya terima sms: "Saya baru sempat baca cerpen abang Remy dalam TI.Raziq Efendi tu seperti diri abang Remy. Betul kan? Dan cerita dalam cerpen tu realiti kan?" Saya jawab: "Anak dah lima, tak akan ada orang nak berkenan lagi." Dia jawab: "Hahaha!!! Sure sebab Nurliza tu lah abang Remy demam sebulan hari tu kan. Kantoi!!!" Saya jawab lagi: "Mana ada dik. Cerpen jer tu. Dah tua-tua, buruk lagi paras rupa, tak berharta, sapa la nak rabun mata nak berkenan.Hahaha.". Dia balas lagi: "Itu kelakar dan langsung tak jujur. Hahaha." Saya jawab lagi: "Cerpen tu sebelum di-emel kepada editor, Akak yang baca dan edit dulu tau." Dia, "Percaya, percaya, sangat percaya.Hahaha".

Friday, February 22, 2013

pameran latiff mohidin

semalam saya menapak dalam renyai petang ke BSLN (memang sengaja tidak tulis BSVN) bersama sahabat saya, pelukis Raduan Norudin. Naik pun dari tangga belakang. Kawan-kawan pelukis dah ramai, sama ada yang saya kenal dan tak kenal. Dr. Saleeh Rahamad, Presiden PENA pun ada, dia sms sampai lebih awal daripada saya. Kemey Suarez pereka buku Wayang Kulit saya juga sampai awal. Bahnu Acan, sahabat saya juga telefon. Zuli lagilah. Dia memang suka telefon. Malam-malam pun dia suka telefon. Uwei tak telefon, hari ni, tapi saya pasti dia datang. Hujan pun pula melebat. Sempat lepak sekejap dengan pelukis dan seniman lain Suzelee Ibrahim, Aris Aziz, Amirudin Arifin, Sani Sudin,Din Korea dan ramai lagi.

pelukis Fauzul Yusri, sebelum bergerak balik menghampiri saya dan  bersalam. Saya pernah ke studionya di shah alam beberapa tahun lepas dengan Uwei. selepas hujan petang yang amat lebat dan lebat, semakin menipis, kami berkejar ke kereta Kemey. minum sekejap di cafe istana budaya dengan  Ise dan Ujang - dua artis Malaysia yang bertaraf antara bangsa. bahkan Ise, kalau dalam aircond pun dia berpeluh kerana selalu hidup di negara tyang bersalji. Dua artis ini lebih terkena dari beberapa roker yang sedang minum di cafe Ib dan baru lepas buat sidang akhbar konsert mereka.