Sunday, February 24, 2013

Syarahan

Semalam saya mengikuti dua syarahan. Syarahan pertama siri Syarahan Ismail Zain di Auditorium BSLN (sengaja tak tulis BSVN) yang disampaikan oleh SN Dato Dr. Anwar Ridhwan. Judul syarahannya "Elemen Visual dan Sebuah Masyarakat yang Bergolak: Renungan Seni dan Sosial Sejak Tahun1957" dari jam 11 pagi sampai 1 tengah hari. Sebuah syarahan yang sangat penting  bagaimana SN tersebut  melihat rekaan kulit majalah dan jurnal Melayu yang penting sejak tahun 1957 dengan pencapaian seni visual, serta isu-isu masyarakat yang melatarbelakangi penerbitan majalah/jurnal tersebut pada zamannya. Saya hadir, dan duduk di belakang. Melunjurkan kaki ke depan dan cuba memendek badan supaya tidak nampak dalam kalangan hadiran. Apabila acara berakhir, tiba-tiba saya dijemput naik ke pentas oleh pengerusi syarahan, Sdr. Badrulhisham Mohd. Tahir untuk menyampaikan cenderamata dari BSLN kepada SN Dato' Dr. Anwar Ridhwan. Ketika melangkah keluar, kolekter ternama Tuan Phakarudin Sulaiman menghulurkan kalender meja 2013 yang semua lakaran potret di dalamnya oleh pelukis Amron Omar.

Saya sepatutnya meninggalkan majlis lebih awal kerana ada 6 miss call daripada Wan Mat Said dan MA Jawahir yang menunggu di kedai buku Alam Raya. Mereka tentunya ingin mengajak makan tengah hari. Tetapi tidak wajar pula  untuk saya  mengelak ajakan Sdr. Badrul, saya pun  duduk semeja dengan Dato' Anwar,  Sdr. Mohd. Yusoff Osman, seorang pensyarah Aswara dan dua orang pensyarah dari Uitm Melaka. Dr. Victor Pogadaev melintas di situ, dan memetik foto kami. Dia dipersilakan makan tengah hari. Dan seperti biasa Dr. Victor memberikan beberapa komen. Dia datang untuk melihat pameran 60 tahun Latiff Mohidin. Dia kepingin jumpa Latiff, dan pada hari perasmian tidak dapat datang kerana ada kuliah. Dia komen tentang, tiadanya pameran koleksi tetap yang sepatutnya dipamerkan sepanjang tahun. Bila pengunjung dari luar negara  datang ingin melihat karya Ibrahim Hussein dan Syed Ahmad Jamal, tetapi karya mereka tidak dipamerkan kepada umum.

Singgah sekejap ke PNM dengan Dr. Victor kerana ingin melihat jualan buku jalanan. Kami sampai, tetapi dah banyak yang bungkus buku dan berangkat pulang. Dr. Victor komen pasal parking kereta bertingkat dan dia parking keretanya di luar pagar PNM. Saya memandu dalam panas terik dan Jalan Tun Razak yang sesak melepasi bulatan Pahang dan membelok ke Alam Raya di Jalan Pekeliling. Beli tiga buah buku, dan balik ke rumah.

Malamnya ke Dewan Jumaah UTM Jalan Semarak mengikuti Syarahan Malam Sabtu oleh YM Tan Sri Syed Naquib al-Attas. Bila memberi salam kepada Prof. Wan Mohd. Nor dan Prof. Muhd. Zaini Uthman. Prof. Wan dah kali kedua menegur kodroi saya, yang katanya dia juga ada. Masuk ke dalam, dilambai oleh Ustaz Mohd Zain Abd. Rahman untuk duduk di kerusi kosong di sebelahnya.

Saturday, February 23, 2013

pertanyaan

Saya terima sms: "Saya baru sempat baca cerpen abang Remy dalam TI.Raziq Efendi tu seperti diri abang Remy. Betul kan? Dan cerita dalam cerpen tu realiti kan?" Saya jawab: "Anak dah lima, tak akan ada orang nak berkenan lagi." Dia jawab: "Hahaha!!! Sure sebab Nurliza tu lah abang Remy demam sebulan hari tu kan. Kantoi!!!" Saya jawab lagi: "Mana ada dik. Cerpen jer tu. Dah tua-tua, buruk lagi paras rupa, tak berharta, sapa la nak rabun mata nak berkenan.Hahaha.". Dia balas lagi: "Itu kelakar dan langsung tak jujur. Hahaha." Saya jawab lagi: "Cerpen tu sebelum di-emel kepada editor, Akak yang baca dan edit dulu tau." Dia, "Percaya, percaya, sangat percaya.Hahaha".

Friday, February 22, 2013

pameran latiff mohidin

semalam saya menapak dalam renyai petang ke BSLN (memang sengaja tidak tulis BSVN) bersama sahabat saya, pelukis Raduan Norudin. Naik pun dari tangga belakang. Kawan-kawan pelukis dah ramai, sama ada yang saya kenal dan tak kenal. Dr. Saleeh Rahamad, Presiden PENA pun ada, dia sms sampai lebih awal daripada saya. Kemey Suarez pereka buku Wayang Kulit saya juga sampai awal. Bahnu Acan, sahabat saya juga telefon. Zuli lagilah. Dia memang suka telefon. Malam-malam pun dia suka telefon. Uwei tak telefon, hari ni, tapi saya pasti dia datang. Hujan pun pula melebat. Sempat lepak sekejap dengan pelukis dan seniman lain Suzelee Ibrahim, Aris Aziz, Amirudin Arifin, Sani Sudin,Din Korea dan ramai lagi.

pelukis Fauzul Yusri, sebelum bergerak balik menghampiri saya dan  bersalam. Saya pernah ke studionya di shah alam beberapa tahun lepas dengan Uwei. selepas hujan petang yang amat lebat dan lebat, semakin menipis, kami berkejar ke kereta Kemey. minum sekejap di cafe istana budaya dengan  Ise dan Ujang - dua artis Malaysia yang bertaraf antara bangsa. bahkan Ise, kalau dalam aircond pun dia berpeluh kerana selalu hidup di negara tyang bersalji. Dua artis ini lebih terkena dari beberapa roker yang sedang minum di cafe Ib dan baru lepas buat sidang akhbar konsert mereka.

Wednesday, February 20, 2013

temu janji

pagi ini ke Hospital Selayang ada temu janji yang diberikan doktor sebulan lepas untuk melakukan 'ultrasound'. jam 7.30 pagi saya dah sampai. sengaja ambil cuti dan sampai awal  kerana tempat letak kereta selalunya tidak mencukupi, dan ramai yang suka meletak kenderaan sesuka hatinya. saya dapat no panggilan 6006. pada 25 januari lepas setelah dibuat x-ray, 'urine test' dan 'blood test' saya bebas dari penyakit yang diagak-agakkan. kerana doktor tak puas hati,  maka saya disarankan untuk membuat 'ultrasound'. saya mengikut cadangan yang baik. dan ada juga  kawan saya yang tanya kenapa tidak ke hospital swasta? saya kata, sengaja tak nak pergi. saya pun ada medical card, tetapi saya sengaja ingin pergi ke hospital  kerajaan. pertamanya, saya pegawai kerajaan. keduanya, saya selalu bertanya kenapa bangsa lain yang ada 20 atau 30 medical card seorang , tetapi kenapa mereka suka pergi hospital kerajaan? senagai penulis saya merenung setiap muka yang menunggu dan menanti panggilan. ada kerut, ada keluh, pucat, hijau dan ada yang seperti ingin makan orang.

setelah menunggu, 45 minit saya dipanggil masuk. kerana bilik rawatan penuh, saya diminta masuk ke bilik menunggu khas. tidak sampai 3 minit, saya dipanggil masuk. seorang dr. perempuan yang tinggi lampai,  sangat murah dengan senyuman menyoal saya. dan saya menerangkan senario sakit saya dari awal. selesai 'ultrasound' dibuat, saya tidak mengalami sakit yang diagakkan pada saya. 27 mac, saya masih ada satu lagi temu janji.

Tuesday, February 19, 2013

Hadiah Buku

Saban bulan saya menerima hadiah buku. Hari ini saya menerima hadiah buku daripada salah seorang Kekanda saya yang tidak perlu saya sebutkan namanya di sini. Buku tersebut berdasarkan sebuah Syarahan Profesor yang diterbitkan oleh universiti tempat profesor tersebut bertugas. Bila buku syarahan tersebut menyentuh tentang makyung, main teri dan beberapa jenis teater tradisional Melayu - maka hal tersebut tentunya berkait sedikit dengan bidang yang saya suka. Walaupun saya bukanlah sarjana, apabila calon MA dan PhD. Tetapi buku ini mempamerkan kecacatan yang ketara apabila 'tok teri' disebut 'tok bomoh' dan nama salah sebuah fotonya diberikan penjelasan yang salah. Itu hanya sekali belek. Saya pasti ada banyak lagi kejanggalan dalam buku ini. Hal ini tidak sepatutnya dilakukan oleh profesor dalam pakar dalam teater moden dan tradisional Malaysia.

Monday, February 18, 2013

Tahu dan Tidak Tahu

Kalau ada orang kata berurusan dengan saya, susah - itu sebenarnya tidak benar. Saya melayan semua soalan, tanpa ada temujanji pun. Setelah berlakunya adegan tolak-menolak dan tidak ada siapa lagi yang sanggup untuk memberikan informasi, maka saya tahu, sayalah tudingan terakhir yang akan dihalakan. Dan saya akan menjawabnya mengikut apa  yang saya tahu, dan apa yang saya tidak tahu, saya katakan saya memang tidak tahu.

Saturday, February 16, 2013

Jelek

Saya tidak pernah menjadi wartawan surat khabar seperti kawan-kawan saya yang ramai itu. Tetapi saya mulai menulis di surat khabar sejak masih di sekolah menengah. Menulis tentang sastera, budaya dan teater. Bahkan suatu waktu saya menulis hampir dua atau tiga kali seminggu untuk dua akhbar arus perdana tanah air. Tetapi kini tidak lagi. Bahkan membaca surat khabar pun berasa macam malas sangat. Dalam surat khabar hari ini banyak sangat berita dan cerita yang hendak muntah apabila kita membacanya.

Katakanlah, kita menonton sebuah persembahan teater yang sangat jelek - tetapi wartawan separuh tiang dan suam-suam kuku ini menulis 'yah, sebuah persembahan yang fantastik!', 'hebat ya amat', 'luar biasa', 'inilah sebuah karya agung!'. Saya yang pergi menonton sama, apabila keluar panggung, terus muntah dan muntah di longkang tempat parking kereta.

Apabila 'Raja Lawak' Zakaria Ariffin dipentaskan kembali - ITBM dan PENA seolah-olah baru memulakan langkah pemula untuk kembali membawa teater serius supaya orang datang ke teater. Paling tidak, untuk sedikit berfikir dan merenung. Tetapi, zaman pop ini, agak sukar untuk mengajak orang muda berfikir serius. Orang muda sukakan teater yang jenis 'mee segera' juga. Kalau cerita cinta, maka zahirkan aksi beromen, air mata air hingusnya sekali, peluk cium dengan tidak memberikan nilai pemikiran apa-apa selain aksi-aksi lembu kerbau, atau ayam jantan mengejar ayam betina. Nampaknya, inilah jalan masa depan teater Kuala Lumpur hari ini.

Beberapa hari lepas, saya tersalah masuk ke sebuah Sidang Media untuk sebuah pementasan teater muzikal. Istilah yang saya juga selalunya  loya dan terus muntah-muntah seperti mengalahkan perempuan mengandung tujuh bulan. Ya, Tuhan! Aksi-aksi hodoh, dan lucah yang amat ditampilkan. Pondan dan bapok tua pun menunjukkan aksi-aksinya. Dua sahabat saya - kedua-duanya perempuan keluar dari ruang. Katanya seperti berbisik, "Aku loya dan nak muntah!" Dari pintu cermin luar, saya menjenjuk ke dalam, nampaklah si tua gayut yang 'rumah kata pergi, kubur kata mari' sedang bercakap memberikan penjelasan. Tak tau saya si gayut ini belajar teater di sekolah teater orang putih  yang mana. Kejelekan itu tidaklah perlu dizahirkan walaupun di belakangnya ada agenda politik. Saya menghampiri si pegawai projek dan dengan bisik suara yang sangat sopan dan penuh budi bahasa, "hang pi cakap kat pak cik tu, berulang pi balik  masjid lagi elok!" Dia senyum tawar kepada saya - "saya yang menurut perintah!". Ooo, saya lopongkan mulut.

Kalaulah begini perkembangan mutakhir teater kita, maka tidaklah salah kalau orang  mengambil keputusan untuk tidak lagi pergi menonton teater!