Thursday, November 29, 2012

menemui sahabat lama

Acep Zamzam Noor, ambo dan Agus Noor
Menemui sahabat lama, di tempat yang jauh ribuan batu secara tidak dirancang merupakan momen yang sangat menarik. Saya mulai mengenal Acep sejak tahun 1995 ketika sama-sama mewakili negara ke Second Asean Writers Conference di Hotel Hikko Garden, Manila dan Agus Noor  sewaktu Pertemuan Penulis Asia di Kuala Lumpur 2001. Apabila penulis bertemu penulis, tentu ayat pertamanya, 'apakah judul buku baru kamu?'

Sunday, November 18, 2012

tentang anugerah

Anugerah yang paling disyukuri, adalah  hidayah dan petunjuk dari Allah SWT supaya kita sentiasa berada di jalan-Nya, jalan kebenaran dan bukannya jalan yang membawa kepada kesesatan. Syukur alhamdulillah, apabila diberikan nikmat kesihatan, anak-pinak yang berjaya, rumah tangga yang aman tenteram, rezeki yang melimpah dari usaha tekun dan  semuanya bersiklus di atas paksi kehidupan dengan izin-Nya jua.

Apabila, sunti saya mengucapkan hari ulangtahun perkahwinan yang ke 18, maka telah 18 tahunlah kami melayari bahtera rumah tangga. Dan tentunya saya bukanlah muda lagi, dan anak-anak telah pun bertambah sasa sosoknya. Saya pun merenung tentang anugerah rumah tangga dan anak-pinak yang sedang membesar di hadapan mata. Betapa terlalu banyak, masa saya tersisih daripada mereka kerana mengejar kehidupan dunia yang sementara.

Friday, November 16, 2012

manusia

Foto:?
Saya
mencari saya
dan memang
saya ada
antara
sekian ramai
manusia

Monday, November 12, 2012

University of Frankfurt

Foto: Sakri Abdullah
Ke University of Frankfuft atau Goethe-University Frankfurt am Main  dan sempat hadiahkan kumpulan puisi  (dwibahasa) Rawana (Pustaka Nusa: 2011) kepada Prof. Dr. Arndt Graf, Chairman Southeast Asian Studies universiti tersebut. Sangat luar biasa kerana di universiti ini, Bahasa Melayu/Indonesia sangat mendapat tempat. Selain Prof. Graft, terdapat Prof. Dr. Bernd Nothofer dan Prof. Dr. E.U. Kratz yang sangat fasih berbahasa Melayu/Indonesia. Tambah terkejut kerana berkenalan dengan Prof. Dr. Sandra Khor Manickam (Junior Profesor - history of Malaysia) yang  berasal dari Damansara, tetapi BA di Singapore, MA di US dan PhD di AUS. Selamat mengajar sejarah Malaysia!

Friday, November 9, 2012

Foto

Foto: (?)
Saya sangat suka dengan foto ini. Ada banyak cerita, yang tidak terceritakan. Kalau tidak silap saya, foto ini  dirakamkan sebelum Borak Buku bersama  Ustaz Don di KL Sentral pada bulan februari yang lalu. Saya hanya singgah sekejap kerana akan ambil train untuk berangkat ke Seoul, Korea.

membaca

Foto: Anuar Manshor
Ini hanya sebuah lakonan
Saya tidak membaca pun
kerana rabun dekat.


Thursday, November 8, 2012

taksub

Dalam hidup saya, saya sangat meraikan perbezaan pendapat. Seperti selalu disebut oleh Sutung Umar RS, "api akan bertambah marak apabila dibakar dengan kayu yang bersilang". Maka sebab itulah saya tidak pernah terluka apabila karya saya dikritik dengan sedahsyat mana sekali pun. Realiti sebuah karya, tidak lebih hanya sebuah tuangan akal daripada pemikiran penulisnya. Bukan wahyu yang maha suci, hanya dari tuangan emosi saya sebagai penulis. Tetapi, ada penulis yang sangat tidak senang apabila ada penulis lain yang membicarakan karyanya, walaupun secara ilmiah, katakanlah!

Saya juga sangat menghormati prinsip dan pendirian orang lain. Saya jarang  campur tangan dengan masing-masing pilihan orang lain, tentang aliran apa yang ingin dianutinya. Juga, saya sangat jarang untuk terlibat dengan sebarang polimik. Saya membacanya dari jauh. Saya sangat suka kepada novel Emrita oleh Sionil F. Jose sehingga dua kali saya ke rumahnya di Makati, Manila pada tahun 1995 dan 2005. Tetapi aneh, saya tidak pun meminta beliau tandatangan pada buku yang saya beli.

Saya jarang taksub kepada orang lain. Tidak pernah saya membungkus kotak buku ke Jakarta untuk mendapatkan tandatangan penulis lain yang saya suka dan kagumi. Saya suka karya-karya Prameodya Ananta Teor, beberapa karya Putu Wijaya dan Budi Darma. Tetapi  kini, saya hanya membaca karya beberapa kawan saya dari sana, kerana saya fikir sastera daripada 'abang besar' ini juga sedang merudum seperti merudumnya karya di tanah air saya. Dengan Inggeris yang telor Kelate dan sangat broken, saya perasan  saya lebih baik dari penulis yang lahir di Boston itu.

Saya pernah sombong sewaktu mewakili diri saya ke Seoul, kerana seorang penyair dari negara tersebut yang baru pulang dari Iowa -  yang bercakap bahasa Inggeris berbunyi kejawen memandang saya dari atas ke bawah. Sehingga ke hari terakhir acara, sebelum saya  berangkat pulang ke Kuala Lumpur, saya tidak ingin tahu pun namanya. Rupanya ketika itu, dia menghampiri saya dan menghadiahkan sebuah bukunya!

Saya tidak pernah memaksa orang lain untuk menerima pandangan dan pendapat saya, kerana saya sendiri selalu yakin  tidak semua yang saya ungkapkan itu benar dan betul!