Tuesday, June 30, 2009

Kau menangis?

Cintamu persis apa, wahai pangeran?
seperti fiksi yang tidak berkesudahan
penghujungnya –sedang kuda tungganganmu
lepas bebas ke gunung jauh, dan
kau tertinggal di desa sepi tanpa
air mata.

Kuda kencana bersayap emas itu terbang
lesap ke dalam awan membelah udara
yang tertinggal untukmu hanya ringkikan
dan debu-debu terjal dari tapak
kakinya.

Kau menangis, pangeran?

Monday, June 29, 2009

Koleksi Saya

Koleksi lukisan saya bulan Jun, ada empat buah. Dua buah cat air karya pelukis Amirudin Ariffin, sebuah cat minyak pelukis Rafie A. Rahman dan sebuah cat minyak Muhd Fauzul Yusri.











Amirudin Arifin
Kuala Besar, cat air
19x28cm
2009
















Amirudin Arrifin
Pantai Mek Mas, cat air
28x37cm
2009













Rafie A. Rahman
Malacca River, cat minyak
90x98cm
2009














Muhd. Fauzul Yusri
Pamah – Lembah Hijau, cat minyak dan bahan campuran
107x122cm
2001

Menunggu

Saya sepatutnya ke Kuantan pada awal subuh Sabtu dua hari lepas. Tetapi terpaksa tangguh kerana kena jadi bapa yang baik untuk hadir ke sekolah anak mengambil buku rekod akademik mereka.Tiiga anak saya bersekolah di sekolah yang sama, dan saya menghabiskan masa hampir tiga jam berbaris menanti di setiap kelas anak saya. Paling malas dan mengantuk di kelas yang terakhir, apabila seorang bapa yang menunggu dan membaca The Star menepuk meja dengan kuatnya. Dia menyampah sebagaimana saya juga. Setiap seorang ibu yang berdepan dengan cikgu akan mengambil masa 15 ke 20 minit, sedangkan di belakang mereka ada ibu-ibu yang membawa bayi menangis dan meraung, tetapi percakapan dan dialog berlangsung terus. Dialognya biasa. Anaknya dibuli. Bagaimana perkembangan mata pelajarannya anak. Tak kan perkembangan anak sendiri tak tahu kot? Kalau tak buat kerja kat rumah, malas, tak payah susah-susah tanya itu ini kat cikgu. Anak sendiri, tak cikgu yang lebih tahu? Saya tak tanya apa-apa, paling lama saya mengambil masa 3 hingga 5 minit , sebelum keluar dari kelas. Cuma kat guru kelas Adib, saya pesankan supaya dirotan sahaja kalau dia buat perangainya. Lama menunggu rupa-rupa amat membosankan.

Uncle, saya cantik tak?

Tengah hari semalam, saya bergegas membuka pintu pagar kerana mengejar zohor untuk masuk ke garaj. Tiba-tiba saya disapa, “Uncle, saya cantik tak?” Saya mengangkat muka. “Cantik!” kata saya. “Ada apa ni? Nak pi makan kenduri kat mana?” soal saya. “Kat Ampang. Uncle tak terpikat tengok saya?”. Saya tak jawab, membiarkan anak jiran saya yang sebaya dengan anak sulung saya itu berlalu. Saya bergegas undur kereta dan masuk ke dalam rumah. Selepas solat zohor saya beritahu isteri saya. Isteri saya tak terkejut. “Dah biasa lompat pagar sekolah!.”

Friday, June 26, 2009

Tak Hadir

Saya menerima panggilan telefon daripada seorang kawan lama. “Mana kau pergi masa Malam Puisi Utusan tak ada, malam HSKU pun tak ada?” Saya jawab, aku sibuk. “Majlis baca puisi pun dah tak nak datang. Berhentilah kau jadi penyair.” Saya gelak dan saya jawab. “Aku jadi penyair tak disuruh oleh sesiapa. Dalam sastera Melayu aku lebih besar daripada sekalian penyanyi yang dijemput untuk menyanyi pada kedua-dua malam itu. Dan tak ada dalam sejarah Malaysia, penyair dijemput untuk baca sajak di majlis nyanyian. Jadi aku tak perlu hadir. Aku dok kat rumah baca Yassin lagi baiklah.

Kenyataan Seniman

Petang semalam kami mesyuarat PENA, dan kami makan malam dibelanja oleh Amiruddin Ali (Ketua 1 PPJ) yang baru dapat hadiah 10,000 dari ITNM. Selesai makan, Dato Baha Zain (Presiden dan mentor kami) menimbulkan tentang seniman yang menentang PPSMI. Hanya sasterawan dan budayawan nampaknya yang menentang. Orang filem, penyanyi, pemuzik dan seniman yang berkarya atau menyanyi,, buat filem dalam bahasa Melayu yang mengaut kekayaan daripada bidangnya tak pernah menentang. Saya jawab dalam hati, ‘memang mereka tak pernah berfikir tentang itu.’ Atau mungkin selepas ini filem Malaysia wajar diterbitkan dalam bahasa Inggeris dan semua penyanyi Malaysia yang tak reti menyanyi pun akan menerbitkan lagu-lagu mereka dalam bahasa Inggeris. Ketika itu syabas saya yang paling tinggi atas kejayaan PPSMI.

Thursday, June 25, 2009

Guru Saya

Kelmarin dulu saya menghadiri majlis Astaka Minda – Senaskhah Skrip Sebuah Lukisan: Cetusan Kreatif Othman Hj. Zainuddin. Zakaria Ariffin membentangkan kertasnya Othman Haji Zainuddin : Dramatis Yang Produktif. Sepatutnya sudah lama tokoh-tokoh sebegini dihargai sumbangan mereka. Othman dan Zakaria kedua-duanya guru saya. Mereka berdua pernah membimbing Bengkel Penulisan Skrip Drama Pentas di Puncak Inn, Frazer Hill pada 6 hingga 9 Oktober 1990. Semasa saya di tingkatan 4, teks SPM saya Drama Tiga Zaman yang diselenggarakan Zakaria Ariffin. Dan apa saya dilantik sebagai Penggubal dan Ahli Jawatankuasa Kamus Kesenian: Drama dan Teater (MABBIM) bersama Zakaria Ariffin, A. Wahab Hamzah dan Prof. Dr. Rahmah Bujang, saya terkejut sungguh.

Beli Lukisan Lagi?

Kalau Uwei telefon saya tentulah pasal lukisan. Walaupun saya pernah menulis tentang filem, kami jarang bercakap pasal filem. Filem adalah bidangnya sebagaimana puisi menjadi bidang saya. Dia bercerita baru beli dua lukisan. Dan petang kelmarin dulu, ketika hari hampir senja selepas minum petang, Uwei membeli dua lukisan cat air pelukis Amirudin Ariffin. Saya sebenarnya dah terbeli sebelum dia beli.

Pada Suatu Hari…

Seorang calon sarjana mencari Rahimidin Zahari. Dan orang yang ditanyai itu adalah saya sendiri. Sebelum saya menjawab, dia bercerita panjang lebar yang dia amat mengenali penyair yang bercakap tunduk memandang ke bawah itu. Pernah minum semeja. Pernah melihat dia membaca mantera di pentas. Saya jadi hairan. Apabila beliau bertanya nama saya, saya sebut Rahim sahaja. Tetapi katanya, dia tak ada no telefon penyair tersebut dan amat penting untuk menghubunginya kerana harus selesaikan penulisan tesis sarjananya itu. Dia minta no telefon daripada saya. Saya katakan saya tak pernah kenal Rahimidin Zahari. Saya katakan, khabar-khabar angin yang saya dengar dia telah kembali ke kampung halamannya, dan tak ingin menemui sesiapa.

Hadiah Hari Bapa

Empat orang anak saya memberikan hadiah yang berbeza sempena Hari Bapa. Arief memberikan no 37 daripada 42 orang di kelasnya. Adib bangga dengan no 20, Hafiz yang selalunya diam memberikan no 1 dan Atiqah membawa pulang no 7. Mata pelajaran yang keputusannya agak rendah dan membimbangkan ibu mereka ialah sains dan matematik. Bapa tentulah biasa saja dan tak pernah bimbang apa-apa. Itu anak-anak saya yang bersekolah di ibu kota Kuala Lumpur. Tak taulah dengan anak-anak di Kuala Betis, Kelantan dan di Ulu Tembeling Pahang. Terima kasih yang tak terucapkan untuk Menteri Pelajaran yang amat disayangi. Teruskanlah mewajibkan lulus BI untuk SPM nanti!

Friday, June 19, 2009

Terbitan Terbaru – Bertakhta Di Atasnya

Malam tadi Dr. Victor Pogadaev menyerahkan buku puisi terjemahannya terbaru dalam bahasa Russia yang dalam bahasa Melayunya berjudul “Bertakhta Di Atasnya”. Terdapat tiga buah puisi saya di dalamnya yang berjudul ‘Sajak Batu’, ‘Biduk’ dan ‘Sekepal Tanah’. Penyair-penyair lain yang terdapat puisinya dalam kumpulan puisi ini – SN Usman Awang, SN A. Samad Said, SN Muhammad Haji Salleh, A. Latiff Mohidin, Kassim Ahmad, Kemala, Sutung Umar RS, Siti Zainon Ismail, Hashim Yaacob, Ibrahim Ghaffar, A. Aziz Deraman, Marsli NO, Adi Badiozaman Tuah, Irwan Abu Bakar, Hasimah harun, Khalid Salleh, Awang Abdullah, Baha Zain, A. Ghafar Ibrahim, Ahmad Razali, Raja Ahmad Aminullah, Dinsman, Zurinah Hassan, dan Ahmad Shukri Abdullah. Manakala dari Indonesianya, Chairil Anwar, Taufiq Ismail, Tariganu, Diah Hadaning dan Evi Idawati.

Thursday, June 18, 2009

Sungai Cetek

Kubiarkan sungai cetek itu mengalir ke ulu (bukan ke kuala)
di atas meja makan kami malam itu. Aku memerhatikan
sampah berapungan, dan patutlah ikan-ikan telah mati.

“Mi, kau buat apa di meja makan tak bercakap sepatah kata
selama tiga jam?” kedengaran suara dari angin lalu.

Perlukah aku menjawabnya? Aku jawablah juga walaupun aku
bukanlah pemikir budaya (buaya?) sebagaimana yang kau sindirkan
: “aku pemancing tenggiri dan terubuk di Laut Sulu, bukan
penjala belanak di muara sungai cetek.”



















(Nota: Sebelum ke Laut Sulu, aku singgah di KK, jumpa Tun Sakaran)