Wednesday, April 16, 2014


Women in Art 2014

Foto: Studio Pohon Rendang
Menghadiri perasmian Women In Art 2014 di Artiseri, Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur. Hari hujan, dan jalan sesak. Pameran senjata di PWTC menambahkan lagi sesak tersebut kerana orang Kuala Lumpur meletakkan kenderaan mereka sesuka hatinya. Mana-mana ada ruang, tanpa mengira selekoh akan diletakan kenderaannya. Menghadiri majlis perasmian, seronok sebab dapat jumpa kawan-kawan yang lama kita tidak menemui mereka. Sepertilah setiap kali acara Malam Puisi PENA, ramai yang pergi kerana ingin berjumpa kawan-kawan.

Saya pernah mencatatkan lama dulu, bahkan di kolum saya dalam Majalah Pentas pun tentang pelancaran buku-buku Latiff Mohidin di Galeri Petronas yang tidak menggunakan bahasa Melayu, sedangkan mat salih yang hadir tidak lebih daripada tiga orang. Hal yang sama berlaku semalam, ucapan aluan, dan perasmian juga menggunakan bahasa Inggeris, walhal tiada seorang pun mat salih yang hadir. Hal ini menggambarkan betapa bahasa Melayu sangat rendah martabatnya, dan orang menjadi sangat malu untuk menuturkannya.

Tahniah kepada lima pelukis wanita yang mempamerkan karya mereka di sini - Amanda Zulkifli, Najihah Lee, Ngdawiyah Ismail, Zanubah Hamzah dan Fai Zakaria. Syabas yang sangat tinggi daripada saya kepada Najihah Lee dan Ngdawiyah Ismail yang memperkenalkan 'diri mereka' dalam bahasa Melayu untuk katalog yang diedarkan.

Saya berbisik kepada Sdr. Anuar Manshor (Ketua Jabatan Pemasaran dan Perhubungan Koporat ITBM) tentang masa depan bahasa Melayu. Sangat asing dan diremehkan oleh bangsa dan penuturnya. Tetapi, sebagai penulis yang menulis dalam bahasa Melayu, tentunya saya akan terus menulis tanpa mempedulikannya. Selagi ada yang memperlekehkan keupayaan bahasa Melayu, selagi itu akan ada yang terus berjuang untuk memartabatkannya.

No comments: