Tuesday, April 29, 2014

masa

masa depan 
yang rahsia
dan
masa silam
yang tertinggal
dalam kenangan

langit memutih
selengkung awan

Monday, April 28, 2014

Pelancaran Kritik

Foto: Shamsul Amin
Saya, bersama Ariff Mohamad, Ridzuan Harun dan Rebecca Ilham di majlis Pelancaran Jurnal Kritik di Perpustakaan Kuala Lumpur pada 26 April, jam 4 -6 petang. Menarik untuk sampai ke sini, saya berkejar dari PWTC dengan dihantar oleh seorang kawan dengan motornya. Kuala Lumpuui selepas hujan, jalan rayanya basah dan kenderaan bertalian. tetapi saya sampai masih tepat pada waktunya. Kebetulan tulisan kami, berada di dalam Kritik. Kritik dilancarkan, bukan oleh orang politik, artis ternama - tepai dilancarkan oleh Sasterawan SM Zakir. Moga-moga Kritik akan panajng hayatnya, dan menjadi wadah penting kepada keterbukaan dan perbincangan sihat untuk membangunkan kesusasteraan tanah air.

Jatuh Ke Laut Menjadi Pulau

Foto: Ladin Nuawi
"jatuh ke laut menjadi pulau" merupakan kumpulan puisi lengkap SN Prof. Emeritus Muhammad Hj Salleh sebanyak tiga jilid. Buku ini dilancarkan oleh Tan Sri Prof Dzuklifli Abd Razak, bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia pada 26 April di Pentas Utama PWTC. Tanda tangannya tertera pada Ijazah Sarjana Muda yang saya miliki. Seperti syarahannya di DBP pada 21 April yang lalu, Prof. Dzul ternyata seorang farmasis yang sangat kenal dan menyintai sastera. saya antara yang diundang untuk menyampaikan puisi  sasterawan negara tersebut bersama Hani Salwah dan Kopratasa - Sani Sudin dan Usop. terima kasih daun keladi kepada ITBM yang mengundang saya.

Mr Jack

Foto: Sakri Abdullah
Pada 25 April malam, menemani Tuan Sakri Abdullah, Ketua Jabatan Penerbitan ITBM ke majlis perasmian pameran foto oleh Don Eric Paris  "A Flower Does Not Talk" di Sutra Studio milik Ramli Ibrahim. Selain menemeui beberapa kenalan lama, saya diperkenalkan dengan  Mr Jack (Yeh-Chin Kuei) Director Culture Division , Taipei Economic and Cultural Office in Malaysia.  Kami berbincang  untuk menerbitkan kerjasama puisi antara Malaysia-Taiwan. Sebelum ini Mr. Jack yang mencetuskan penerbitan Kumpulan Cerpen Malaysia-Taiwan, dan telah pun dilancarkan di sana.

Sofa Putih.

Foto: Ladin Nuawi
Tahun ini merupakan ketiga saya di Sofa Putih ITBM. Kali pertama bersama Rosnan Rahman tentang buku Makyung The Mistikal Heritage of Malaysia (2011), kali kedua tentang Penulis Muda (2012) dan kali ini tentang hubungan sastera Indonesia-Malaysia, kebetulan saya salah seorang penyusun antologi cerpen yang dibincangkan tersebut. Pada tahun 2013, saya diundang untuk sesi Bersama Penulis yang mejanya bersebelahan dengan Sofa Putih. Buku ini pernah dilancarkan oleh Duta Besar Malaysia ke Indonesia sempena Pesta Buku Indonesia 2013 yang lalu di Stadium Senayan, Jakarta. Dan kali ini dilancarkan oleh Marsekal TNI (Purn) Herman Praytino, Duta Besar Luar Biasa dan Berkuasa Penuh Republik Indonesia ke Malaysia di Pentas Utama PWTC pada 24 April yang lalu.

Thursday, April 24, 2014

Pertemuan dengan Rombongan NAC

Malam tadi berlangsungnya pertemuan santai sebahagian AJK PENA (Persatuan Penulis National Malaysia) dengan rombongan NAC (National Arts  Council) dari Singapore di Tupai-Tupai Restoren yang berada sangat dekat dengan Rumah PENA.  PENA diketuai oleh Presidennya - Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan diikut serta oleh Timbalan Presiden - Amiruddin Ali, SU Agong - SM Zakir , Timbalan Su Agong - Dr Shamsudin Othman, Bendahari, 6 Jawatan Kuasa - Dr. Hanafi Ibrahim, Saifullizan Yahaya, Lutfi Ishak, Azalan Hussain, Zaiful Wagiran, dan Haryani Harun, Pengerusi Tetap - Dr. Ibrahim Ghaffar dan Pemeriksa Kira-kira - Rasanubari Asmaramah. NAC diwakili oleh Mr Khor, Miss May Tan dan Miss Firda Maisara. Manakala Cikgu Ramli Jusoh, penyair  yang menetap di Sabah, tetapi berasal dari Terengganu ikut sama menjadi tetamu PENA.

Moga-moga pertemuan ini akan membuahkan hasilnya untuk membangunkan kesusasteraan dan penerbitan buku antara ke dua-dua negara.

MPR 1987

Sahabat lama saya, Tn Haji Mohammad Zamri Mat Yusoff PK HEM SMK Kuala Tembeling, Jerantut, Pahang. Kami sama-sama mengikuti program MPR 1987 (Minggu Penulis Remaja). Sangat agak lama kami tidak bersua muka. Ketika menghantar anak saya ke UiTM Jengka tahun lepas, dari Jengka kami terus balik ke Kelantan melalui Jerantut langsung ke Kuala Lipis. Ketika sampai ke Kg Batu Embun, saya memberhentikan kereta untuk menghubunginya melalui no lama yang saya ada. Nadanya sangat jelas, bahawa nombor telefon itu sudah tidak digunakan lagi. Saya terus memandu pulang ke kampung halaman.

Tiba-tiba semalam ada "miss call" pada skrin telefon saya. Kemudiannya ada kiriman sms memaklumkan beliau akan ke BSLN membawa pelajar-pelajarnya. Selepas selesai lawatan di BSLN, 39 orang pelajar itu dibawanya untuk  makan tengah hari di cafe IB. Dengan sedikit waktu yang tersisa, saya memberikan taklimat ringkas untuk para pelajar tersebut. Paling mengejutkan saya, sahabat saya ini  mendeklamasikan beberapa baris puisi saya "Batu-Batu di Laman" kepada para pelajarnya di dalam Panggung Sari , Istana Budaya. Sajak saya itu memenangi Hadiah Pertama untuk  Peraduan Menulis Cerpen dan Puisi Remaja 1986. Zamri memenangi Tempat Kedua untuk cerpennya, di belakang Alina Idris yang menuliskan cerpennya "Subang Zamrud Bertatah Belian". Rupa-rupanya persahabatan kami sudah 27 tahun. Saya tagkan sama foto ini kepada MPR 1987 yang menjadi sahabat saya  di fb - Haji Shamsudin Othman, Zulkifli Mohd Top, Sharudin Omar Hashim, Norani Che Li, dan Alina Idris. 

Wednesday, April 23, 2014

Masalalu adalah Kenangan

Foto: Maroof Seman Rs (?)
Kalau tidak silap saya, rakaman foto makan malam  bersama SN Datuk A. Samad Said ini terjadi di rumah Allahyarham Abdulaziz HM. Saya lupa tahun bila foto ini dirakamkan. Tetapi agak saya, pada tahun 1994 memandangkan Sdr. Djazlam Zainal berada di dalamnya. Foto yang sangat nostalgik sekali. Umur saya ketika ini sekitar 25 tahun

Wednesday, April 16, 2014


Women in Art 2014

Foto: Studio Pohon Rendang
Menghadiri perasmian Women In Art 2014 di Artiseri, Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur. Hari hujan, dan jalan sesak. Pameran senjata di PWTC menambahkan lagi sesak tersebut kerana orang Kuala Lumpur meletakkan kenderaan mereka sesuka hatinya. Mana-mana ada ruang, tanpa mengira selekoh akan diletakan kenderaannya. Menghadiri majlis perasmian, seronok sebab dapat jumpa kawan-kawan yang lama kita tidak menemui mereka. Sepertilah setiap kali acara Malam Puisi PENA, ramai yang pergi kerana ingin berjumpa kawan-kawan.

Saya pernah mencatatkan lama dulu, bahkan di kolum saya dalam Majalah Pentas pun tentang pelancaran buku-buku Latiff Mohidin di Galeri Petronas yang tidak menggunakan bahasa Melayu, sedangkan mat salih yang hadir tidak lebih daripada tiga orang. Hal yang sama berlaku semalam, ucapan aluan, dan perasmian juga menggunakan bahasa Inggeris, walhal tiada seorang pun mat salih yang hadir. Hal ini menggambarkan betapa bahasa Melayu sangat rendah martabatnya, dan orang menjadi sangat malu untuk menuturkannya.

Tahniah kepada lima pelukis wanita yang mempamerkan karya mereka di sini - Amanda Zulkifli, Najihah Lee, Ngdawiyah Ismail, Zanubah Hamzah dan Fai Zakaria. Syabas yang sangat tinggi daripada saya kepada Najihah Lee dan Ngdawiyah Ismail yang memperkenalkan 'diri mereka' dalam bahasa Melayu untuk katalog yang diedarkan.

Saya berbisik kepada Sdr. Anuar Manshor (Ketua Jabatan Pemasaran dan Perhubungan Koporat ITBM) tentang masa depan bahasa Melayu. Sangat asing dan diremehkan oleh bangsa dan penuturnya. Tetapi, sebagai penulis yang menulis dalam bahasa Melayu, tentunya saya akan terus menulis tanpa mempedulikannya. Selagi ada yang memperlekehkan keupayaan bahasa Melayu, selagi itu akan ada yang terus berjuang untuk memartabatkannya.