Thursday, July 11, 2013

Selepas Fansuri bacalah Ratib Kalbu

Foto: ITBM


Arakian selepas Syeikh Hamzah Fansuri, penyair dan sufi besar alam Nusantara sebagaimana termaklum umum, maka hendaklah para salik membaca akan  puisi terpanjang di Malaysia yang berjudul Ratib Kalbu oleh penyair Sutung Umar Rs ini. Jumlah 499 halaman dengan dibahagikan kepada 59 bahagian, ternyata lebih panjang ketimbang Al-Amin oleh SN A. Samad Said sebelum ini. Pendek atau panjang, bukanlah menjadi ukuran kepada nilai dan mutu karya, kerana ada pun karya berjela panjangnya,  tetapi ada karya yang tidak memberikan kesan makna apa-apa. Dalam kontek dunia kesusasteraan Malaysia - yang muda remaja, goyah, rapuh dan pop ini sangat sukar untuk menerima karya yang serius.

Saya percaya Ratib Kalbu akan menjadi karya panjang yang meninggalkan kesan dan makna-makna yang pembaca dan pengkritik yang mempunyai sanad kesufiannya melihat dengan mata kalbu. Ratib Kalbu saya percaya ditulis  dengan kecerahan kalbu, dan pembaca akan boleh memetik kelazatan dari baris dan rangkapnya. Kesan yang paling besar kepada pembaca yang menelusurinya  akan  dapat berasakan buah kelazatannya. Sama ada kemanisan, kemasinan  atau kepahitannya.

Membaca Ratib Kalbu seolah-olah sedang  membaca sebuah bentangan jiwa yang terapung di langit menuju kepada pencarian Tuhan Rabbul Jalil yang Hakiki. Sutung Umar Rs menulis seadanya tentang getar dalaman dan keluhuran jiwanya. Lintasan dan runtunan kalbunya ditumpahkan dengan penuh sedar dan insaf. Walaupun  Sutung Umar Rs  tidak pernah melebelkan dirinya sebagai penyair Islami atau lebih jauhnya sebagai Sang Sufi dengan menepuk-nepuk dada, tetapi Sutung dengan sebuah puisi panjang ini telah memberikan sebuah tamsilan dan ibarat. Tamsilan dan ibarat itu halus dibuka untuk ditatap dan dibaka dengan mata kalbu dan kecerahan basirah.

Pada saya, Ratib Kalbu perlu dibaca oleh semua orang yang pernah memperlajari kitab Hikam umpamanya, kerana Sutung Umar Rs menulis puisi untuk kita berfikir dan berkongsi perasaan ketulusannya. Nampaknya beliau  telah menulis puisi panjangnya ini dengan jiwa raganya. Dan saya yakin, selepas puisi-puisi Fansuri, maka Ratib Kalbu adalah batu tanda penting kepada sejarah puisi moden Malaysia hari ini. Selamat membacanya sempena Ramadan al-Mubarak ini.

4 comments:

Sham al-Johori said...

Assalam syeikh,
Ana sudah membacanya. Insya-Allah 'Ratib Kalbu' akan menjadi sejarah penting dalam perkembangan kesuasteraan Islam di Malaysia. Tahniah juga kepada enta yang menjadi penyuntingnya.
Amin dan selamat mengimarahkan ramadhan el-mubarak.

Tetamu Istimewa said...

Salam Ramadan. Saya belum berpeluang untuk memilikinya lagi. Insya-Allah akan mencarinya nanti.

Rahimidin Z said...

Haji Sham, suka hati ajilah...

Rahimidin Z said...

Tetamu Istimewa, salam Ramadan jua dariapada saya. Kalau ada kesempatan bacalah buku puisi tersebut!