Tuesday, October 23, 2012

REBAB BERBISIK (2)

Auditorium DBKL - 29 September 2012 (Foto: JKKN?)

Selepas pementasan di Malay Heritage Centre, Singapore dari 19-22 September yang lalu, nampaknya Rebab Berbisik semakin 'kuat' bisikannya. Sewaktu mula-mula mementaskannya di Stor Teater pada tahun 2006 yang lalu, saya tidak pernah terfikir yang monodrama ini mempunyai jangka hayat yang begitu panjang. Sehingga ada teman-teman berseloroh, "engkau buat drama tu sebuah cukuplah, lepas tu tak payah lagi buat drama lain!" Saya fikir, apabila RB kembali semula ke Stor Teater pada 19 Oktober lalu, selepas menyambut ulangtahunnya yang ke 7, maka cukuplah RB dipentaskan sebanyak 23 kali. Saya sangat penat, dan ingin menulis apa yang ingin saya tulis.

RB di Stor kali ini merupakan pementasan tertutup untuk peserta yang mengikuti mesyuarat MASTERA (Majlis Sastera Asia Tenggara) yang dianggotai oleh Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapore. Kononnya persembahan khas ini adalah untuk rombongan dari Brunei, Indonesia dan Singapore, sekitar 40 orang semuanya. Tiada sebarang publisiti dibuat untuk pementasan kali ini. Bila saya bertanya Malissa Malek, pegawai yang bertanggungjawab menguruskan pementasan ini, jawabnya, "Bang, pementasan ini tertutup!" Wow! Rosnan Rahman, pelakon saya telah menjemput beberapa teman dan bosnya. Saya juga menjemput beberapa kawan, sekitar 4 orang.

Saya susah hati, bila Dato Norliza Rofli, Ketua Pengarah JKKN sudah sampai di depan Stor Teater, jam 8.10 malam. Show sepatutnya jam 8.30 malam. Kerana menunggu rombongan MASTERA, dan pementasan itu pun untuk mereka, dengan Kuala Lumpur yang hujan lebat, jalan sesak - maka pementasan itu pun bermula jam 9.00 malam. Sebelum pementasan ini pun, penganjur sebenarnya kurang berminat antara ingin dan tidak, dan saya pun tidaklah berminat kalau bukan kerana Dr. Hanafi Ibrahim dan Malissa Malek yang menguruskannya. Sekali macam jadi, dan sekali macam tak jadi. Sewaktu menerima panggilan untuk dikatakan jadi, saya di Frankfurt, Jerman.

Saya sangat terharu, selepas pementasan sahabat saya, Agus R. Sarjono (bekas Ketua Dewan Kesenian Jakarta) memeluk saya dan berbisik, "Rebab harus dibawa ke tiga kota di Indonesia, Jakarta, Bandung dan Jogja." Saya diam. Kawan saya, Setiausaha MASTERA Brunei, Haji Shuib  juga berbisik, "Ini harus dibawa ke Brunei!" Saya hanya tersenyum. Apa upaya saya, selain pertolongan teman-teman yang berasakan teater ini perlu dibawa keluar.

Dato' Norliza berkali-kali mengucapkan tahniah. Dan ini tambah mengharukan saya. Di fbnya beliau menulis: "Setelah sekian kalinya merancang hendak menyaksikan pementasan 'Rebab Berbisik;, alhamdulillah, malam tadi saya berjaya menyaksikan pementasan berkenaan di Stor Teater DBP. Memang hebat! Tahniah Rosnan Rahman! Tahniah Rahimidin, penulis skrip! Tahniah kumpulan pemuzik Istana Budaya dan semua yang terlibat!"

Bila buat teater, memang kita inginkan orang datang menonton, tapi kalau ada  orang tidak senang dengan orang ramai datang, saya tak faham dengan orang yang jenis ini! Eloklah dia berhenti kerja dan duduk di masjid, kerana dia dibayar gaji untuk memajukan sastera tanah air!

Saya berasakan diri saya tetap bukan orang teater!

2 comments:

Rositah Ibrahim said...

tak mahu menganggap diri sebagai orang teater, tidak mengapa. yg penting karyanya tetap baik. Tahniah!

Rahimidin Z said...

ha..ha...karya baik itu di mata sarjana..dan ukuran kebaikan di Malaysia apabila sejumlah sarjana(?) memberikan penilaian baik atau buruk....