Friday, April 20, 2012

RUPA-RUPANYA

Rupa-rupanya saya memiliki banyak juga catatan perjalanan ketika saya bertualang di beberapa daerah. Masih menyimpan segala macam bil dan resit sepanjang perjalanan itu. Ada perjalanan kerana tugasan rasmi sebagai penjawat awam yang tidak ada lagi pilihan orang lain yang ingin dihantar, dan ada yang pergi saja-saja kerana ingin menghabiskan duit ringgit yang tak berapa sangat nak ada. Cuma saya pergi sebagai orang biasa - tetapi kerana kononnya saya ini penulis, maka saja judulkan perjalanan saya tersebut sebagai pelancong sastera.

Apabila berada di luar negara (atau di dalam negara sekali pun) ada banyak hal-hal yang menarik sepanjang perjalanan tersebut. Saya ingin mengulangi kembali dari Phom Peh ke Saigon dan dari Saigon ke Phom Peh. Atau diam-diam menyusup ke Laos dan juga menetap beberapa hari di Hanoi. Tetapi apabila saya membaca kembali catatan-catatan pelancongan saya, saya lebih seronok lagi untuk menulis tentang apa yang saya temui di dalam negara saya.

Apabila keluar dari daerah peribadi memasuki daerah rakyat jelata - betapa segala bebanan masalah dan keserabutan itu pun kita tinggalkan. Kita kembali muda remaja dan sesekali menjadi kanak-kanak sekolah rendah.

Rupa-rupanya dah masuk penghujung April - dan untuk tahun 2012 saya mensasarkan untuk menerbitkan 6 buah buku. Sehingga penghujung April ini, saya telah terbitkan 3 buku; jadi saya masih ada lagi 8 bulan untuk tiga buku yang lain. Tetapi insyaAllah dapat dilaksanakan dalam tempoh tersebut. Dan rupa-rupanya juga dalam komputer dan timbunan fail saya ada banyak tulisan dan catatan yang perlu dihalusi lagi. Moga-moga Allah swt memberikan saya kekuatan dan kesihatan untuk terus menjadi tukang catat yang tiada sepertinya.

No comments: