Wednesday, December 14, 2011

HADIAH SAKO 3

Menghadiri majlis pengumuman dan penyampaian Hadiah Sako 3 - Bagi Novel Nasional.Saya dijemput oleh ITNM untuk menyampaikan puisi, dan kena duduk sebelah ustaz yang baca doa di baris paling depan sebelah kiri pentas. Awal-awal lagi orang PNM kata dia tunggu saya dari semalam, kerana nak test suara. Saya bukan penyanyi pop. Dan seperti saya sebut kepada Sdr. Anuar Manshor, saya tak akan hadir kalau PNM yang jemput. Apabila Sdr. Syed Munawar yang jadi pengacara menjemput saya ke pentas- dengan beberapa tambahan gelaran: sasterawan, penulis prolifik dan budayawan, saya terpinga seketika. Mujur dia tak sebut saya ini bekas dalang wayang kulit dan segala macam yang lain.

KEMERDEKAAN
Episod Lilin dan Mutiara
buat Pak Sako

kemerdekaan
adalah bunga berkembang
dari tititisan darah
ia membiak
pada keluk rajah
berjantung pisang
peta geografi
yang cukup cantik

tuan wartawan dan sasterawan
wira sebelum sebelum perang
nasionalis karismatik
yang menyucuk
mata penjajah
dengan sebatang pena
hingga berdarah

majistret dan ADO
bukanlah pilihanmu
kautinggalkan jawatan
dan kaupilih Tumpat
yang asing di hujung
rel kereta api
yang berdebur oleh
angin laut China

di depanmu
lilin yang mencair
petanda usia
akan berakhir

pada kelip api
di sumbu yang terpadam
yang tinggal
kata berkias dan
teluk ingatan
yang panjang

sejak semula
kau tidak memilih
kemewahan dan kuasa
kau penentang
yang merintis
jalan masa depan

kalau pun anugerah
tidak memilihmu
zaman selamanya
tetap mengenang
-Putera Gunung Tahan
dan Anak Mat Lela Gila

mutiara tetap mutiara
meski terpendam
di perut tiram
jauh pada dasar
lautan.

Tahniah untuk SN Dato Dr. Anwar Ridhwan, Haji Rahman Haji Yusof (sahabat lama saya di Kuantan), Khaidir Ahmad (daripada percakapannya baru saya tahu yang beliau anak saudara kepada Pak Sako. Saya pernah membaca bukunya tentang Penan), Ali Jusoh dan Aminah Mokhtar.

2 comments:

Mawar said...

Sdr RZ
bagus puisinya. mengapa, ada pengalaman pahit dengan PNM? saya juga...:-(

Rahimidin Z said...

Dr. Hajah M,
terima kasih. PNM tempat simpan buku, dan tak kenal penulis!