Tuesday, December 6, 2011

DARI LUAR

Bercakap, menulis dan melukis dari luar tak sama dengan bercakap, menulis dan melukis dari dalam. Dari luar kita mendengar kata-kata yang macam hebat. Kita juga membaca tulisan yang macam hebat. Dan kita juga menatap lukisan (visual?) yang macam hebat.Kehebatan yang kita rasakan hebat itu, mungkin hebatnya pada diri kita sendiri, tetapi tidak sedikit pun hebatnya kepada orang yang mendengar, membaca dan memandangnya.

Kadang-kadang hanya kata-kata retorika, dan kerana murid-murid kita yang tak bertelur menghebatkan kita, maka hebatlah kita di mata murid-murid kita. Maka yang jenis ini, teringat saya kata-kata seorang penyair dan pelukis, "kesian dia!" Kesian ini berada dalam banyak kategori. Kesian dia kerana dia tidak faham tentang apa yang dibuatnya, tetapi teorinya melebihi apa yang terhasil. Yang terhasil, seperti kita tidak ingin mendengar, membaca dan menatapnya. "Dia tak tahu tentang apa yang ingin disampaikannya, dia tak kenal pun akan dirinya.." komenter seorang kawan yang lain.

Perbincangan menjadi semakin sukar. Saya menjenguk-jenguk dari luar. Saya tidak berhasrat untuk masuk ke dalam. Mujurlah kerana saya tidak berguru kepada buku yang sebuah dua itu!

No comments: