Media Alternatif
Saya gembira apabila ada sekolompok orang muda sedang giat berbincang dan merancang untuk menerbitkan media alternatif. Gerakan ini penting dilaksanakan sekiranya kita ingin lihat sastera kita maju ke hadapan. Sekiranya ada teman-teman yang tidak menyokong atau memandang sinis terhadap usaha ini, maka orang tersebut termasuk dalam golongan pengkhianat terhadap pertumbuhan dan masa depan kesusasteraan Melayu.
Media alternatif sebegini sentiasa wujud, tetapi jarang bertahan. A. Latiff Mohidin pernah mengusahakan penerbitan "TELUR" sewaktu beliau menjadi Karyawan Tamu di Universiti Sains Malaysia. Saya bersama penyair Abdulaziz HM pernah menerbitkan "GU" dan Marsli NO pula pernah menerbitkan "P.S" untuk beberapa tahun lamanya. Kemudian S.M. Zakir menerbitkan "AKAR", sebuah majalah yang cukup berani, tetapi sayangnya disebabkan masalah pengedaran yang tidak mampu dilaksanakan, maka "AKAR" hanya bertahan untuk tiga keluaran.
Tetapi "HORISON" yang diasaskan oleh Moechtar Lubis, HB Jassin, Taufiq Ismail dan beberapa teman mereka yang lain di Indonesia masih bernafas sehingga ke hari ini. HORISON tidak diterbitkan oleh kerajaan atau dikerjakan oleh editor yang berjawatan pegawai kerajaan. Tetapi majalah itu menjadi penanda aras kepada perkembangan sastera moden di Indonesia.
Selamat memulakan langkah untuk membina legasi baru. Selamat membina masa depan yang tersendiri dan acuan pemikiran sendiri. Bukannya dalam kotak hitam kecil dan kita mengurung diri kita di dalamnya. Selamat menjadi editor yang sentiasa terbuka dengan wawasan yang tajam dan dalam.
Friday, July 29, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment