Friday, July 29, 2011

Media Alternatif
Saya gembira apabila ada sekolompok orang muda sedang giat berbincang dan merancang untuk menerbitkan media alternatif. Gerakan ini penting dilaksanakan sekiranya kita ingin lihat sastera kita maju ke hadapan. Sekiranya ada teman-teman yang tidak menyokong atau memandang sinis terhadap usaha ini, maka orang tersebut termasuk dalam golongan pengkhianat terhadap pertumbuhan dan masa depan kesusasteraan Melayu.

Media alternatif sebegini sentiasa wujud, tetapi jarang bertahan. A. Latiff Mohidin pernah mengusahakan penerbitan "TELUR" sewaktu beliau menjadi Karyawan Tamu di Universiti Sains Malaysia. Saya bersama penyair Abdulaziz HM pernah menerbitkan "GU" dan Marsli NO pula pernah menerbitkan "P.S" untuk beberapa tahun lamanya. Kemudian S.M. Zakir menerbitkan "AKAR", sebuah majalah yang cukup berani, tetapi sayangnya disebabkan masalah pengedaran yang tidak mampu dilaksanakan, maka "AKAR" hanya bertahan untuk tiga keluaran.

Tetapi "HORISON" yang diasaskan oleh Moechtar Lubis, HB Jassin, Taufiq Ismail dan beberapa teman mereka yang lain di Indonesia masih bernafas sehingga ke hari ini. HORISON tidak diterbitkan oleh kerajaan atau dikerjakan oleh editor yang berjawatan pegawai kerajaan. Tetapi majalah itu menjadi penanda aras kepada perkembangan sastera moden di Indonesia.

Selamat memulakan langkah untuk membina legasi baru. Selamat membina masa depan yang tersendiri dan acuan pemikiran sendiri. Bukannya dalam kotak hitam kecil dan kita mengurung diri kita di dalamnya. Selamat menjadi editor yang sentiasa terbuka dengan wawasan yang tajam dan dalam.

Thursday, July 14, 2011

IOWA

Satu malam, kami minum di Ani Sup Utara berdekatan dengan Danau Kota. Seorang kawan baik saya (juga seorang selebriti) yang pernah menuntut di US dan pernah tinggal di sana selama 15 tahun, tiba-tiba bertanya saya untuk mencalon nama saya ke Iowa.
"Dah sampai masa kau ke sana."
"Tak payah la bang. Semakin berumur, saya semakin suka tinggal dalam negara saya. Kalau pilihan saya, saya akan balik kampung. Pokok gaharu saya sedang tumbuh..."
"Kau nak pergi atau tak nak? Kat sana tu, kawan-kawan aku."
"Tak nak. Lima tahun lepas saya ditawarkan untuk pertukaran penulis ke Korea selama setahun. Itu pun saya tolak."
"Tak mengapalah kalau kau tak nak."
"Bang, kalau ada kos yang seminggu saya nak!"

Wednesday, July 13, 2011

Selepas 6 Bulan 2011

Selepas 6 bulan tahun 2011, barulah sempat menerbitkan dua buku puisi perseorangan saya yang tertangguh, "Rawana" (Nusa Buku: 2011) dan "Perahu Fansuri" (Sindiket Soljah: 2011). Buku-buku saya (selain yang pernah diterbitkan oleh DBP) memang tidak terdapat di pasaran terbuka.
Selain itu, telah terbit kumpulan cerpen dalam bahasa Russia dengan judul "Darah Melayu"(Moscow Publihing House:2011) yang terdapat enam buah cerpen di dalamnya, iaitu Sesudah Perang (Anwar Ridhwan), Merah (Rahman Haji Yusof), Darah Melayu (Irwan Abu Bakar), Korban (Abdul Rahman CM), Pak Da Megat Wan Setapa Mek Mah Tuk Bagih (saya) dan Di Atas Bumi di Atas Langit (Danarto). Buku ini diterjemah dan diselanggarakan oleh Dr. Victor Pogadaev.
Dalam proses percetakan dan akan terbitkan dalam waktu yang terdekat kumpulan puisi yang berjudul "Puisi Orang Bertujuh" (PENA: 2011) yang terdiri daripada Mohamad Saleeh Rahamad, Amirudin Ali, Shamsudin Othman, Rosli Bakir, Jasni Mat Lani, Sheikh Mansor dan saya.
Sebuah kumpulan puisi lain yang dalam proses penerbitan akan menampilkan puisi-puisi penyair Abdulhadi Muhamad, Azmi Yusoff, Rosli K. Matari dan saya.
InsyaAllah, kalau berkesempatan masa, akan menyusur tiga buku saya untuk tahun 2011 ini, "Rebab Berbisik" (drama), "Dari Bucu Pentas" (esei) dan "Air Mata Dalang" (cerpen- judulnya mungkin berubah.)

Wednesday, July 6, 2011

Yang Saya Tak Suka

Kelemahan dalam persembahan makyung nampaknya sering berulang-ulang. Kita menonton makyung untuk melihat nilai estetika dan autentik yang terdapat di dalamnya atau kerana ingin ketawa pecah perut? Beberapa kelemahan dalam persembahan makyung yang seringkali diulang-ulang eloklah saya sebutkan di sini:
a. Menampilkan watak pondan yang melampau-lampau. Penyelidikan saya tidak menemukan bahawa scene atau adegan pondan merupakan kewajiban dalam persembahan makyung. Kecualilah yang mengarahkan persembahan tersebut, tidak tahu sebenarnya tentang makyung, meski pun dia memberikan dakwa-dakwi bahawa dia mewarisi makyung selama 7 keturunan dan makyungnya adalah dari jurai makyung Raja-raja Pattani.
b. Lawak Slapstik yang ditampilkan dalam makyung hari ini, sebenarnya bukan itu yang harus diangkat di dalam makyung. Lawak dalam makyung untuk berfikir dan merenung, bukan sekadar lawak bodoh.
c. Ketawa pecah perut dan kelucuan kerana aksi peran - bukanlah kerana peran itu cerdik, tetapi kerana bodohnya peran yang ditampilkan. Peran Tua dalam makyung mempunyai kedudukan yang tinggi - sebagai pengasuh raja, penasihat, bomoh, perdana menteri, pemangku raja, bahkan sebagai orang yang menabalkan raja. Tetapi peran hari ini membodohkan dirinya setaraf kepala lutut sendiri. Perlu ingat peran bukannya badut!
d. Kostum dalam persembahan makyung yang meriah dan penuh warna, bukanlah tradisi makyung yang asal. Hal ini terjadi sekitar 70-an ke hari ini. Sekiranya ada kajian budak-budak u yang mengkaji kostum dalam makyung selepas zaman itu, maka kajian itu hanya melihat realiti hari ini. Dan ini merupakan kajian yang paling tidak berguna sama sekali. Tak kan pakai bunga bertali sampai penuh kepala dan tak nampak muka Raja?
e. Makyung kehilangan kehalusan ucap tetap bagi setiap peran dan watak. Ucap tetap merupakan elemen yang paling penting untuk menggambarkan keindahan dan betapa tersusunnya lafaz ucap oleh watak. Tak kan makyung dalam persembaban makyung ada ucapan "ok.ok." Kalau makyung jenis itu, memang k.o.
f. Haram dalam tradisi makyung, watak Rajanya menyisip keris di sebelah kanan. Keris wajib disisipkan di sebelah kiri.
g. Haram dalam tradisi makyung adegan peluk-peluk. Kalau nak peluk-peluk dan nak cium tangan, buat drama swastalah. Biarlah makyung kekal sebagai makyung.

Ada banyak lagi...lain kali sahajalah. (Itu pun kalau rajin.)