Friday, May 6, 2011

SAYA PENYAIR?

Sewaktu Wawancara Sofa Putih, Syed Munawar menyoal, lebih kurang soalannya, "sdr. di posisi mana sebenarnya - sebagai penulis, editor, penyair, puppet master...? Saya penyair! Penyair kepada diri saya dan keluarga saya. Tetapi, mungkin bukan penyair penting Malaysia. Itu juga tidak penting, kerana ia melibatkan soal persepsi. Orang boleh memberikan pelbagai tanggapan. Walaupun tidak mungkin tanggapan itu tepat dan benar 100 peratus.

Apabila sahabat Rusia saya, Dr. Victor Pogadaev akan menterjemahkan cerpen saya ke bahasa Russia, saya terus izinkan. Dia pernah menterjemahkan dan menerbitkan kumpulan puisi saya di Moscow Zamok Iz Peska (Istana Pasir) dan beberapa puisi saya turut disiarkan di dalam beberapa kumpulan puisi lain dan majalah sastera di sana. Kesudian Victor memperkenalkan karya saya ke dalam bahasanya, bagi saya satu penghormatran yang tinggi. Apabila beliau meminta saya untuk menyunting Bunga Rampai Mawar Emas yang diterjemahkan beliau, saya tidak teragak-agak juga untuk membantu beliau. Buku itu kemudiannya diterbitkan oleh ITNM.

Victor kemudian meminta no telefon seorang penulis untuk dihubungi kerana ada karyanya yang ingin diterjemahkan ke dalam bahasa Russia, saya tidak teragak-agak untuk memberikan nombornya. Beberapa hari kemudian Victor memaklumkan kepada saya, cerpen penulis tersebut terpaksa digugurkan kerana ada banyak syarat dengan segala macam perjanjian dan jumlah royalti. Sedangkan buku yang dirancangkan itu diuruskan oleh Victor sendiri, tanpa sebarang keuntungan dirinya, bahkan kos cetakpun dibantu oleh beberapa temannya (juga teman saya) di Kuala Lumpur.

Sebab itu, saya jarang berkecil hati atau marah kepada mana-mana penerbit yang tidak memetik karya saya ke dalam buku terbitan mereka. Walaupun saya berasa diri saya penyair, belum tentu semua penyelenggara buku yang menganggap diri saya ini penyair. Setiap penyelenggaraan atau sarjana mempunyai pandangan atau sentimental yang tersendiri terhadap buku yang mereka susun dan karya siapa yang ingin mereka pilih. Kerja menyalahkan orang lain tanpa menilik diri sendiri ini tidak berapa elok sangat.

Saya tak menangis dan tak salahkan sesiapa kalau karya saya tidak dipilih untuk diterbitkan. Seorang bekas pelajar saya sedang menterjemahkan buku saya Sekepal Tanah ke bahasa Inggeris. Saya belum ada penerbit, mungkin saya cetak di belakang rumah dan bahagikan kepada kawan-kawan terdekat sebagai cenderamata hari ulang tahun kelahiran.

Saya berasakan diri saya sudah penyair. Tetapi penyair lain atau khalayak sastera mungkin tidak menganggap saya sebagai penyair. Tetapi apabila ada lima tesis sarjana tentang puisi-puisi saya, maka saya penyairlah kot? Selepas tesis PhD. sahabat saya Hj. Shamsudin Othman selesai, maka dialah yang akan menjadi pakar tentang puisi saya. Apa-apa tentang puisi saya, nanti tanyalah kepada beliau. Beliau akan menjadi pakar tentang puisi saya.

Semalam saya keluar dari dunia sastera saya dan memasuki dunia seni yang lain. Tiga jam bersama Uwei Haji Saari, Faizal Sidik, Imam dan Jay Piyadasa. Ada banyak hal tentang seni dan tentang Melayu. Dan kemudiannya, pengalaman berdialog dua jam tentang seni dengan dua orang kurator muda Lim Ai Woei dan Tan Hui Koon pula memberikan persepsi yang lain lagi. Ah, seni Malaysia!

4 comments:

Sham al-Johori said...

Salam Tuan Syeikh,
Dari kejauhan memang sukar melihat kerana itulah hukum Allah. Tetapi bila didekati yang disangka kaca itulah permata. Dan permata bila berada di dalam lumpur; ia tetap permata dan tidak akan menjadi kaca.

dan diri ambo ni adalah kaca yang menanti berderai ...

Rahimidin Z said...

Ji, tak kan dah kaca kaca yang nak berderai?

edolah said...

..."kaca botol atau baiduri?"..(spt lirik arwah Loloq)

Rahimidin Z said...

Loloq?