Saturday, May 7, 2011

MAJLIS BACA PUISI

Sebagaimana penyair menulis puisi, begitulah dianjurkan majlis Baca Puisi. PENA pemegang rekod menganjurkan Malam Puisi Pena sejak lebih 12 tahun yang lalu, dan masih berteruskan sehingga ke hari ini. Acara tersebut dimulakan oleh Sutung Umar RS, bahkan dibawa juga ke beberapa negeri seperti Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, dan Pulau Pinang. Di Pahang acara tersebut berlangsung hampir tiga tahun, kemudian terhenti apabila saya berpindah keluar.

Antara siri baca puisi yang terkenal seperti Malam Puisi Tanah Air yang anjurkan oleh Teater Elit dan diterajui oleh Sutung dan Dinsman. Kemudian Malam Puisi Angkasapuri dan Malam Puisi Perdana di Putrajaya - setahu saya kedua-duanya juga dimulakan oleh Sutung. Kedua-duanya pernah melibatkan Perdana Menteri ketika itu, Tun Mahathir. Dan sekarang kedua-duanya telah tidak diteruskan lagi.

Sewaktu Deklamasi Puisi Angkasapuri yang pertama, saya ditanya oleh wartawan, apa perasaan anda kerana akan beraksi di depan PM. Saya jawab, saya tak ada perasaan. Ditanya lagi, apakah puisi memerlukan artis. Saya jawab tidak! Bawalah penyair dan deklamator yang baik macam AGI, Khalid Salleh, Marsli NO, Marzuki Ali, Puzi Hadi dan lain-lainnya. Saya soal balik wartawan tersebut, "ada majlis malam bintang yang menjemput penyair menyanyi?". Atasannya kurang senang dengan jawapan saya tersebut.

Sebab itu saya tidak pernah teruja dengan segala macam baca puisi yang menampilkan artis. Saya sebutkan kepada Encik Khair Ngadirun, Pengarah Urusan ITNM - saya baca puisi di Laman Santai, Istana Budaya sebelum ini sebab ITNM yang jemput, kalau penganjur yang satu lagi nescaya saya akan minta maaf untuk tidak dapat hadir. Sebab? Suka sangat bercakap kononnya mermartabatkan puisi, walhal sebenarnya tidak.

Saya amat tidak gemar, bila dijemput ke pentas di depan mike, maka si pembaca akan sebutkan, "ini puisi yang saya tuliskan beberapa minit yang lepas" atau "puisi ini saya cipta dalam penerbangan balik dari UK ke KLIA". Ah, sudahlah! Tak payah nak bermanis muka kononnya mermartabatkan puisi. Kalau makan martabak bolehlah.

Terlalu memudahkan puisi, sehingga puisi tiada nilai dan ertinya lagi.

2 comments:

edolah said...

sheikh,
ada satu lagi acara baca puisi yg mantap dan meyakinkan suatu masa dulu.."Baca Puisi Bulanan DBKL"... menampilkan hos-hos penyair yg hebat. sbbnya berada di tangan penyair hebat, arwah Aziz HM..malangnya acara ini turut berkubur bersama arwah!

Rahimidin Z said...

Betul, lupa catatkan. Saya pernah diundang juga acara itu.