KE TANJUNG PENAGA
Saya menyertai 3 orang pensyarah, Tuan Haji Shamsudin Othman (UPM), Ridzuan Harun (ASWARA) dan Ariff Mohamad (UPSI) ke Tanjung. Tanjung Penaga. Haji Sham, itu pertama kali memandu ke sana. Kami tentunya mempunyai kenangan yang berbeza. Ridzuan pernah menjadi peniaga Pasar Malam di sana. Ariff pernah belajar di Maktab Sri Pinang dan menemui titik cintanya di sana. Saya, pernah dua kali dalam jarak masa yang lama menjadi penghuni pulau ini.
Kami ke Tanjung kerana ingin menziarahi guru kami, Haji Azizi Haji Abdullah yang sedang menghadapi ujian Allah Subhanahuwataala di wad CICU, Hospital Besar, Pulau Pinang. Kami bertolak dari rumah PENA jam 10 malam dan singgah di Persimpangan Tanjung Malim untuk mengambil Ariff yang menunggu di sana. Sewaktu tingkatan empat novel Ustaz Azizi Seorang Tua di Kaki Gunung merupakan teks sastera saya. Kalau sesekali turun ke KL, Ustaz Azizi akan mengambil hotel, semata-mata kerana ingin menemui kami. Kami tergelak-gelak mendengar kelakar beliau. Dan dia merupakan calon Sasterawan Negara saya! Semoga Allah memakbulkan doa kami dengan mengembalikan kesihatan.
Selebihnya, sarapan pagi kami di Medan Selera dekat Jalan Hilir Pemancar, Gelugor - pelbagai masakan yang tak terpilihkan oleh kami. Melewati Masjid Gelugor dan mencari-cari rumahnya alharhum Haji Yusoff Rawa. Melewati rumah Syed Sheikh Al-Hadi yang telah bertukar fungsi. Saya menunjuknya, dan Ariff memetik kamera Sonynya. Kesasar singgah di Lorong Kulit di tepi Stadium Bandaraya. Mencari buku, dan kami menemui buku-buku agama yang diharamkan JAKIM terjual dalam bentuk fotostat. Akhirnya tertarik kepada aksi penjual rumput gunung berapi yang boleh menyembuhkan pelbagai penyakit.
Melangkahi tangga Chowrasta, antara jeruk pala dan jeruk salak. Itu semua tidak pernah memikat saya sejak dulu. Kedai buku lama di tingkat atasnya itulah yang kami tuju. Semua jurujualnya mengingati saya, cuma mereka tak mengetahui nama. Sayangnya, masa kami terlalu pendek. Saya membeli sepuluh buah buku - kesemuanya langka. Ridzuan, Shamsudin dan Ariff membimbit plastik hitam yang berisi buku lama yang belum ada dalam koleksi kami. Kalau masanya masih lama, saya percaya mereka bertiga akan beli lebih banyak buku lama.
Cucur udang mamak di Chowrasta menamatkan lapar tengah hari. Zohor dan Asar terjamak di Masjid Negeri. Kami kemudian menuju ke 731 Ayu Height di Bukit Jambul, menziarahi SN Prof. Emeritus Muhammad Haji Salleh. Ada banyak lontaran idea yang beliau kemukakan. Dan ada banyak pertanyaan dan perbincangan yang kami bincangkan. Yang diam, tak tanya apa-apa tentunya Ridzuan. Kalau beliau bertanya, tentulah bukan dirinya. Karipap, dan pisang goreng melancarkan percakapan kami.
Meninggalkan Bukit Jambul, kembali ke Gelugor. Hajat kami ingin menziarahi seorang lagi SN, Datuk Prof. Emeritus Shahnon Ahmad, tetapi hari sudah petang. Ariff, rupa-rupanya peminat Nasi Kandar Syarif dekat Gelugor, tetapi ketika kami sampai warungnya belum dibuka. Kami memutuskan, bertolak balik ke KL, SN Datuk Shahnon, akan kami ziarahi kemudian. Kami melepasi jambatan menuju ke KL.
Wednesday, May 18, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
5 comments:
puas dalam kembara yang singkat ini.
Amin.
catatan yang baik. kembara singkat yang berkesan. nanti kita g lagi. tempat lain pulak. dalam negara lebih jimat.
Haji Sham dan Ariff, melepasi umur 40 kita sebenarnya telah tua usia. Jadi, marilah kita ziarahi para senior kita di seluruh tanah air selagi Allah Subhanahuwataala meminjamkan kita nafas, fizik yang sihat dan kewangan yang mencukupi (tak pernah cukup?).
huaaaa.... nak pergi penang, nak pergi penang. :(. Tak apa. tak ada rezeki. :)
Teringin nak jumpa Sn Muhammad Haji Salleh dan jalan-jalan di pasar chowrasta, tengok buku tentunya :)
Ada ole-ole buku langka? :)
Yana,
buku langka ada, buku luka pun ada. Pilihlah nak mana satu!
Post a Comment