TEATER MELAYU
Malam tadi saya menonton Muzikal Lat Kampung Boy secara tak sengaja. Sebelum malam tadi, teater terakhir yang saya tonton Someone Who'll Watch Over Me karya Frank McGuinness di The Actors Studio@Lot 10 arahan Joe Hasham. Kami sebenarnya diserahkan skrip ini supaya memberi penilaian kerana kononnya teater tersebut bertentangan dengan akidah Islam, bahkan menghina Islam kerana di dalam sel tahanan itu hanya ada sebuah Al-Quran dan sebuah Injil. Saya menulis laporan dengan menyokong teater tersebut supaya dipentaskan. Saya memberikan alasan Waiting For Godot karya Samuel Becket yang lebih daripada itu pun dipentaskan berkali-kali di Malaysia oleh mahasiswa universiti pula.
Saya dianggap tidak faham dengan skrip tersebut. Tetapi saya tahu, saya lebih faham daripada orang yang menilai saya sebagai tidak faham. Mereka tidak pernah tahu major saya dalam bidang teater, dan salah satu subjek wajib saya adalah Sejarah Teater Barat. Kerana saya yang mencadangkan supaya skrip itu diluluskan untuk pementasan, maka saya hadir untuk menontonnya. Dan ternyata, skrip dan lakonannya amat mengesankan. Tetapi itu teater Inggeris, bukannya teater Melayu.
Saya sering menunggu untuk menonton Teater Melayu yang serius, tetapi sayangnya perkembangan teater mutakhir kita, tidak lagi melahirkan bakat baru yang menjanjikan dalam dunia teater Melayu. Satu waktu yang lain beberapa tahun lepas, saya minum di cafe Istana Budaya, dan saya mendengar Pak Kalam Hamidi menyalahkan generasi Dinsman, Hatta Azad Khan dan Johan Jaffar yang menyebabkan teater Melayu kehilangan khalayak. Begitu juga Malina Manja (Bidin Subari) juga kurang menyenangi kelahiran generasi Dinsman yang mereka anggap telah mengurangkan khalayak kepada teater Melayu.
Saya menilai dan membaca kembali teater Melayu dari zaman Shaharom Hussain, Kalam Hamidi, Kala Dewata, Syed Alwi, Usman Awang, Noordin Hassan, Dinsman, Hatta Azad Khan, Johan Jaaffar, Zakaria Ariffin, Abdul Aziz HM, Hashim Yasin, Anuar Nor Arai, Khalid Salleh, Mana Sikana, Marzuki Ali, dan Wan Ahmad Ismail. Saya gagal menemukan karya-karya besar dan serius yang ditulis dan dipentaskan selepas tahun 2000 kecuali Keris oleh Syed Alwi dan Menunggu Kata dari Tuhan oleh Dinsman. Barangkali itulah nasib teater Melayu.
Ku Seman berkali-kali menulis di kolum Getar Seni, tentang tidak senangnya beliau kepada pelbagai jenis muzikal. Untuk sesetengah muzikal, saya sebenarnya mengambil sikap saya sama, bahkan saya lebih daripada itu. Ada muzikal yang dipentaskan di Istana Budaya, yang bukan sahaja meloyakan saya, tetapi telah sampai ke tahap memuntahkan. Saya jarang bergelak ketawa apabila menonton teater. Saya ingin mendengar dan merenung setiap patah kata yang diucapkan oleh pelakonnya sebagaimana pentingnya setiap patah perkataan dalam skrip drama Noordin Hassan.
Malam tadi pun saya tidak tergelak sedikit pun, kerana saya penonton teater, bukan hadir untuk berhibur melepaskan duka nestapa. Saya dilatih untuk menonton dan menghayati teater serius. Kalau untuk berhibur, memang saya perlukan persembahan badut atau lawak bodoh pun tidak mengapa. Ketika itu saya akan ketawa semahunya. Teater Melayu hari ini diteruskan oleh beberapa kerat yang bergiat. Tetapi sayangnya, mereka tiada karya, mereka semata-mata sebagai aktivis dan seronok untuk menjadi pengarah teater.
Zakaria Ariffin sudah lebih 10 tahun tidak mengarah teater. Hatta Azad Khan pun kalau tidak silap saya arahan terakhirnya Tanah Air Api Angin? Hanya Dinsman yang kembali dengan Tamu Dari Medan Perang dan Menunggu Kata dari Tuhan. Johan Jaaffar memiliki Asiah Samiah yang belum dipentaskan, dan Syed Alwi meninggalkan sebuah karya besar yang wajar dipentaskan Melaka Menjelma selepas Keris.
Selebihnya saya memang menunggu untuk menonton teater serius daripada buah akal pemikiran generasi muda teater Malaysia. Tetapi kalau tidak ada, barangkali itulah nasib teater Melayu. Dan rintihan Ku Seman itu wajar sama sekali.
4 comments:
Saya sependapat sedemikian. Terlalu banyak muzikal menjengkelkan. Saya kepingin menonton teater yang benar-benar teater (yang kini hanya 'sesuai' di persembahkan di stor atau ruang teater yang kecil)
Sdr. Norziati , jemputlah menonton Rebab Berbisik pada 8 hingga 11 April di Lambang Sari, Istana Budaya.
Adinda,
"berdosa" besar mereka yang menyalahkan generasi Dinsman, Hatta Azad Khan dan Johan Jaffar yang kata mereka menyebabkan teater Melayu kehilangan khalayak. Cis!
Suka! Cabaran ni!
Post a Comment