Friday, April 15, 2011

PENULIS SKRIP, PENGARAH DAN PELAKON

Di Malaysia, penulis skrip merupakan mahkluk Allah yang paling tidak penting. Tiada nilai komersil berbanding dengan pengarah dan pelakon. Begitu juga antara pengarah dengan pelakon, pelakon yang bertaraf selebriti yang kurang cerdik lebih bernombor wahid berbanding dengan pengarah yang agak cerdik. Tetapi kadang-kadang pelakon yang kurang cerdik itu jugalah ingin menjadi pengarah. Memandangkan dunia teater atau apa sahaja dunia seni di Malaysia tidak memerlukan lesen dan pengiktirafan seperti ingin menjadi seorang doktor perubatan dan lesen kepeguamanan, maka selamat datang kepada sesiapa sahaja yang ingin jadi pengarah. Anda boleh!

Ketiga-tiga entiti manusia - penulis skrip, pengarah dan pelakon mempunyai view yang sama sekali berbeza. Penulis skrip memuntahkan skripnya, dan tanpa skrip tentu tak akan terhasil naskhah pentas yang ingin dipanggungkan. Sekiranya penulis skrip ayng mengarah, paling tidak - tentu dia tahu apa yang ingin dihantarnya kepada khalayak. Sama ada khalayak faham atau tidak, itu hal yang lain lagi. Sebab itulah, apabila saya menulis tanpa disuruh oleh sesiapa, saya akan menulis dari hati saya. Dan apabila saya dipaksa menulis (lebih menisnya arahan dari masa ke semasa), saya akan menulis tentang kebodohan saya.

Di Malaysia, saya ulangi lagi - penulis skrip adalah tidak penting. Anda lihat sahaja dalam mana-mana pementasan teater, nama penulis skrip acap kali ditiadakan. Bahkan nama selebriti yang bertaraf sampah akan lebih besar dari nama pengarah pementasan itu sendiri. Iya, kerana nama pengarah tidak laku untuk dijual kepada khalayak ketimbang nama selebriti sampah. Dan inilah sebenarnya barah yang memusnahkan teater Melayu. Dinsman pernah menyebutkan, banyak kumpulan tater amatur di seluruh tanah air mengambil karyanya, mementaskan dan tanpa memaklumkan kepada beliau. Apalagi untuk dibayar sedikit imbuhan saguhati.

Penulis skrip teater tidak pernah penting berbanding dengan orang Barat menghargai para dramawannya. Shakespear, Anton Chekov, Samuel Beckett, Harold Pinter dan lain-lain pengarah dan pelakon yang pernah melakonkan karya mereka sudah lama dilupakan. Tetapi skrip karya mereka terus hidup dan dipentaskan.

Saya secara peribadi melihat dan menilai kembali Rebab Berbisik dari kaca mata saya yang kononnya sebagai penulis skrip dan pengarah. Walaupun barangkali itulah kerja pengarahan saya yang pertma dan terakhir di IB. Kerana saya sesusungguhnya tidak pernah berminat untuk mementaskan karya di tempat saya bertugas sebagai Pengurus Panggung.

Dari jejambat atas Lambang Sari,atau dari sudut kanan saya menonton RB setiap kali pementasan berlangsung dari 8-11 April. Dari awal sehingga akhir. Ramai yang merah mata dan sebak. Riuh rendah hilai dan gelak ketawa. Cuma saya tidak pernah menangis dan tidak pernah ketawa sepanjang pementasan RB berlangsung. Dan saya ingin merenungi kembali segala kekurangan dan kelemahan dalam pementasan tersebut. Saya jarang syok sendiri dalam kerja-kerja seni saya.

Sebagai pengarah, walaupun terdapat sebahagian penonton terkesan dengan Rosnan Rahman, tetapi Rosnan masih perlu berkreasi - ketuaan Paksu belum cukup untuk menghantar makna jiwa Paksu yang sebenarnya. Rosnan belum mengenal Paksu. Sekiranya beliau mengenal dan keluar masuk dari dalam jiwa Paksu, maka dia benar-benar akan menjelma menjadi Paksu yang Paksu. Saya masih melihat Paksu sebagai Rosnan.

Dan saya membayangkan nyanyian dan gesekan rebab Pak Ibrahim yang meruntun seluruh jiwa dan kalbu khayalak, tetapi Rosnan belum sempurna untuk memberikan keluruhan jiwanya kepada gesekan Pak Ibrahim Senik. Dia hadir dalam nostalgianya yang selapis, bukan membuka lapisan demi lapisan. Dia keletihan kerana memaksa dirinya untuk menanggung beban sebagai Paksu. Paksu itu sendiri watak sinikal yang menyindir dan mencerca segalanya yang kemarahan penulis naskhahnya. Paksu macam kenal penulis naskhah RB, dan kadang-kadang dia langsung tidak mengenalinya. Dia terbias dan terbabas.

Rintihan Paksu, adalah air mata dan ratapan untuk keseluruhan dunia kesenian dan keseniman di Malaysia. Makyung dan Paksu hanya tidak lebih sebagai kain sarung untuk membungkus dan melindungi tokak dan kudis. Tetapi nampaknya, hantaran itu terselindung di sebalik sarung, kerana khalayak lebih teruja kepada slapstik, bukan merenungi patah demi patah ucap yang dilontarkan oleh Paksu. Paksu hanya alat dan bahantara kepada penulis skrip dan pengarah berkongsi masalah.

Malam terakhir, babak Mimi - itulah malam persembahan yang paling lemah dan buruk. Lemah kerana pemain teruja dengan usikan penonton. Pemain asyik dengan khalayak, bukan asyik dengan naskhah. Dan ini merupakan kecatatan yang besar pada seorang pelakon pentas. Saya tidak ingin menganggkat pondan - kerana pondan tak pernah dibawa ke pentas. Cukuplah para pondan itu berada di dalam dunia mereka dan kelompoknya. Saya tidak menghina mereka, tetapi kalau itu yang dianggap berjaya oleh khalayak, maka berdosalah saya kali ini kerana telah terlanjur memindahkan dunia yang bukan dunia saya.

Saya percaya menjadi pondan itu pedih - kerana itu bukan pilihan tetapi keterpaksaan. Dan Mimi seharusnya menjadi pondan yang sombong dan bernilai mahal, dan bukannya pondan murahan yang memberikan reaksi yang selapis. Sekiranya Mimi lebih sombong dan menjual mahal, saya percaya dia akan lebih bertenaga dan terserlah kehebatannya yang sebenarnya sebagai pelakon pentas.

Kenapa ustaz Azri begitu biadap dengan Paksu? Paksu itu ayahnya sendiri? Walaupun tekad dan ternyata dia berterus terang, tetapi wajar begitukah bahasa manis seorang anak dengan ayah? Hal itu saya pulangkan kepada khalayak. Kadang-kadang orang telah menutup pemikirannya dalam tempurung dan kembali menjadi katak. Lainlah pula dengan liberalisme dan pluraslisme. Selebihnya, si pondan Mimi itulah penanggung pusaka dan wasiat Paksu. Tetapi kenapa pula Paksu dimatikan oleh penulis skripnya? Kenapa Paksu tidak dibiarkan hidup dan Mimi sempat balik ke Tumpat dan memohon ampun dan maaf kepada Paksu?

Sebuah naskhah hanya akan tinggal sebagai naskhah, tanpa pelakon dan pengarah yang membawanya ke pentas.

6 comments:

Hasmora said...

kena tengok jugok sekali, tok sero nok wat mari saboh ko :)

MARSLI N.O said...

Sdr RZ: Tahniah atas pementasannya. Sayang, saya terhalang oleh sesuatu, walau sudah berada di sana.

MARSLI N.O

Pegawai Khalwat said...

Bang, pendapat saya, Rosnan akan jadi lebih masak lakonannya jika terus dilakonkan berterusan. Sebabnya lakonan juga memerlukan latihan yang berterusan untuk menjadi lebih baik.

InsyaAllah, dia boleh. Saya faham benar rasa hati pengarah macam abang (dan juga rasa penulis skrip).

Rahimidin Z said...

Hasmora, bukan kena tengok..ini wajib tengok.

Rahimidin Z said...

Sdr. Marsli NO,
sahabat saya - terima kasih.

Rahimidin Z said...

Sdr. Yusuf,
Rosnan dah istiharkan kat fb tahun 2001 merupakan terakhir dia berlakon dalam RB...