MEMBACA MUSUH?
Saya tidak pasti, sama ada saya mempunyai musuh atau pun tidak. Saya cuba mengelak untuk mencari musuh dan bermusuh dengan sesiapa. Hatta dengan merpati, semut dan labah-labah pun saya suka, lantaran Rasulullah SAW menyukai binatang tersebut yang pernah melindungi Baginda SAW.
Kalau dimusuhi atau tidak disukai mungkin itu hal yang lain lagi. Tujuh tahun lepas saya terlibat dengan program kerajaan dan saya hadir dengan kelulusan ketua jabatan saya melalui surat jemputan secara rasmi. Tetapi saya tidak lama menjadi ‘cikgu’ untuk program tersebut. Tak sampai dua tahun saya menarik diri. Dan kawan-kawan saya SM Zakir, Shamsudin Othman, dan Lutfi Ishak juga tidak lagi terlibat meskipun program tersebut masih berjalan sehingga kini.
Saya tidak tahu apa dosa saya sebenarnya, apabila ada dalam kalangan penganjur program tersebut mengunjungi negeri-negeri tempat saya hadir, bertanya apakah yang saya katakan tentang dirinya? MasyaAllah, siapakah dia yang ingin saya umpatkan? Sehinggalah saya ditanyai secara terus terang oleh seorang kawan yang bersimpati dan bersangka baik dengan saya dan menganggap segala tohmahan itu tidak benar. Dan saya, si mulut celupar – tetapi orang tidak rasa ingin marah padanya (kata Nur Zailani Nuzi). Kalau orang ingin marah pun tidak mengapa!
Bab kata mentor saya, Sutung Umar RS, “itu nama tiada dalam buku saya!”. Dan hairanlah saya, apabila berpapasan dengannya, tidak diangkat mukanya kepada saya. Dan saya, seperti kata Sutung dan Ridzuan Harun, Rahimidin itu sombongnya bukan alang kepalang! Saya boleh sahaja mengambil sikap untuk tidak bercakap dan anggap sahaja saya tidak pernah ada. Tetapi itu bukanlah saya yang sebenarnya.
Dan Sutung selalu sebutkan, “kalau ingin membunuh orang itu ada dua cara, yang pertama tembak sahaja ke kepalanya dengan pistol. Tetapi itu tidak baik, dan berdosa. Keduanya buat tak tahu sahajalah, lupakan dia, jangan pedulikan dia dan anggaplah dia tidak pernah ada. Dan nescaya dia akan ‘terbunuh’ dengan sendirinya!”
Malam tadi saya ke MPH Alpha Angle membeli sebuah buku penulis yang saya tidak suka dengan harga RM60. Saya ingin membaca orang ini yang selalu menipu saya dengan segala stalistik dan data-data. Yang saya tahu dia berbohong dengan nada yang penuh retorik. Dia baik pada watak yang mengampunya. Dan saya dia kenali, tetapi saya yang ingin menjauhkan diri daripadanya. Tetapi saya tidak memusuhinya, cuma saya tidak suka retoriknya.
Musuh saya yang paling utama tentulah syaitan. Yang ini hanya dengan kekuatan iman yang dianugerahkan Allah swt sahaja yang berjaya menewaskannya.
Thursday, March 3, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Sdr RZ: Selamat membaca luar dan dalam buku berharga RM 60.00 itu.
MARSLI N.O
Sdr. Marsli,
terima kasih. Sedang baca ni.
Post a Comment