Pentingkah provokasi dalam dunia kesusasteraan kita? Ada orang suka membuat provokasi. Dan ada orang tidak menyukainya. Yang tidak menyukainya, menganggap provokasi akan menyebabkan ketertekanan yang tinggi, malu amat dan bermacam-macam istilah psikologi yang lain. Sebaliknya, ada juga yang 'mengupah' orang untuk membuat provokasi tentang dirinya. Atau paling tidak menjawab tulisan orang lain terhadap karya kita. Rupanya pengarannya tetap hidup selepas menghasilkan karyanya! Memaki-maki orang yang menulis tentang karyanya itu."Cermin dirilah, you belajar apa, dan nak tulis tentang i. I tau tentang apa yang i tulis. You tak apa?"
Memasuki dunia kesusasteraan atau dunia seni apa pun, kita tidak akan terlepas batang tengkuknya dengan soal yang remeh temeh. Ada dua hal, sama ada ingin terus berada di dalam dunia tersebut, atau berundur terus dengan mengucapkan selamat tinggal.
Kesusasteraan kita hampir tidak ada tulisan kritikan yang serius. Diskusi buku tidak lebih sekadar upacara memuj-muji hasil tulisan kawan-kawan. Dan kawan yang menerima pujian akan berkepak bahunya seperti 'merak buih'. Kita terlupa pujian sedemikian akan lupus begitu sahaja oleh arus zaman dan debu masa, kecualilah karya tersebut sebuah karya yang benar-benar membawa pemikiran besar dan bermakna untuk zamannya. Kalau sebuah karya bertaraf remaja, kita memberikan jenama baru sebagai sebuah karya dewasa - karya tersebut sehingga ke hari kiamat pun akan tetap tinggal remaja.
Dunia kritikan kita hampir mati dan terbunuh. Seminar pemikiran atau apa sahaja jenama yang diberikan tidak mampu mengangkat sesebuah karya tersebut menjadi besar dan terpandang di mata dunia. Kita bergerak dalam kepompong yang sempit. Membina dinding kaca dan jeriji besi. Masalah istilah kanak-kanak sekolah rendah antara puisi dan sajak pun masih belum dapat dirungkai. Pensajak atau penyair umpamanya?
Jeriji besi dan dinding kaca harus dipecahkan kalau sastera kita ingin membesar. Di Frankfurt Book Fair, German (7-11 Oktober yang lalu) ITNM telah mambawa berjudul-judul buku terjemahan kita. Berbanding dengan negara ASEAN yang lain yang membawa buku dalam bahasa ibunda yang asal, nampaknya kita jauh lebih ke depan. Negara jiran terdekat, tidak mempamerkan karya-karya besar negara mereka, kecuali buku-buku tentang budaya, kecuali sebuah buku puisi sahaja yang berada di rak.
Kita tidak ada ruang dan tempat untuk menampung tulisan yang berbentuk kritikan yang serius. Akhbar arus perdana kita, mahu pun yang bukan perdana lebih sesuai dibaca oleh masyarakat jembel. Ruangan dan tulisannya tidak mengajar kita untuk berfikir. Yang terpapar tiada lebih gosip murahan yang setaraf sampah. Bahkan wartawan yang menulis sastera di ruangan sastera akhbar perdana pun belum pandai menulis berita.
Ketika Zakariya Amataya, penerima SEA Write dari Kerajaan Thailand dipromosinya sebegitu rupa dengan membawanya ke serata daerah di Thailand dan karyanya diterbitkan dalam bentuk yang amat terhormat, kita belum mendengar apa-apa pun dari sempadan sebelah sini.
6 comments:
Salam.
Hanya satu soalan saya untuk sdr tentang perkara ini: Apakah sdr (dan rakan sefikiran sdr) sanggup menganjurkan majlis kritikan karya, tanpa tajaan sesiapa?
Jika sanggup, akan terpanggillah pengkritik untuk mengkritik secara jujur akan segala neka karya yang saya anggap sudah 'agak nazak' sasteranya.
Wassalam.
Salam Abang Rahimidin,
Kecewa dengan kritikan di Seminar Pemikiran Muhammad Haji Salleh.
Semuanya pujian belaka.Tidak ada kritikan yang kritikal.
Saya setuju dengan pendapat abang:tradisi kritikan kita sudah mati.
Salam,
Tuan Wan Nor Azriq,
orang kita tak boleh dikritik, marahnya meletup-letup... samada kemudiannya memalukan pengkritik, buat fitnah pada pengkritik atau nak saman pengkritik atau perkara-perkara seumpama itu. Tuan Lutfi ada menyebut sesuatu mengenai perkara ini di blognya:
http://muhammadlutfi.blogspot.com/2010/10/mengelak-polemik-dan-politikus-ilmu.html
Wassalam.
Dinda Wan Nor Azriq,
Saya mula mengambil sikap untuk tidak hadir di majlis ilmu yang pembentangnya tidak berilmu.
Masa depan dunia kritikan sastera berada di tangan generasi sdr. Terus menulis!
S.K,
pengkritik sejati biasanya menjadi musuh abadi. tetapi kita harus percaya bahawa sejarah tidak mungkin dibohongi. hanya para pengkhianat yang cuba membohongi sejarah.
Assalamualaikum.
Apakah dalam hal ini, kita boleh bersetuju dengan Tuan Haji Affandi Hasan yang saya kira paling kritis kritikannya khususnya terhadap Prof. Dr. Muhammad Haji Saleh.
Zahiruddin Zabidi
Post a Comment