Monday, November 15, 2010

PERKAMPUNGAN PENULIS MUDA SEKOLAH MENENGAH NEGERI PAHANG

1
Saya ke Maran dengan SM Zakir. Bertolak jam 7.30 pagi pada 10 November 2010 dari rumah. Saya yang memandu. Ada Perkampungan Penulis Muda Sekolah Menengah Negeri Pahang 2010. Memandu santai. Singgah R&R Temerloh. Minum pagi, nasi lemak. Ada patin masak tempoyak. Awal sangat. Ikan pekasam goreng.
2
Perkampungannya di Sekolah Menengah Maran. Tema: "Seronoknya Menulis". Fasilitator sepenuh masa Marsli NO dan Hasanudin Mat Isa. Saya dan SM Zakir diperkenalkan. Bila dijemput bercakap 5 minit dan ada sesi soal jawab, ada satu soalan sahaja yang saya terima terima. "Bagaimana menghayati puisi?"
3
Peserta dipecahkan kepada 3 kumpulan; Marsli, Zakir dan saya. Kumpulan yang terakhir diserahkan kepada 'bomoh' untuk mengubati penyakitnya. Kumpulan Marsli tulis puisi, kumpulan Zakir tulis cerpen dan kumpulan saya - ha, ha budak-budak yang tidak tahu kenapa mereka hadir ke perkampungan tersebut. Tak tulis puisi dan tak tulis cerepn. Mereka menggelarkan diri mereka kumpulan 50-50. Barulah saya tahu maksud 'bomoh' yang dibisik oleh Ramli Yahya, Ketua Unit Kokurikulum di PPD Maran.
4
Rata-ratanya pelajar yang berada di kumpulan saya baru selesai PMR. Apa saya nak ajar mereka? Akhirnya saya minta salah seorang keluar bilik dan ambilkan 19 helai daun untuk saya. Saya bagikan setiap sehelai daun kepada setiap orang. Dan kami tulis puisi "Seperti Daun" bersama-sama pelajar tersebut:

umpama daun
lembut hijau kehidupan
dari tunas bayi
mempucuk remaja
menuju dewasa

bagaikan daun
dipuput angin damai
kehidupan
dilembap basah
hujan malam

seperti daun daun
kehidupan
ciptaan Tuhan
akan menuju tua
dan akan
menemui-Nya jua.

5
Sepatutnya kami terus balik petang itu. Tetapi kerana malamnya ada Ucap Utama oleh Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri, Encik Yahya Zainal Abidin, dan pelajar-pelajar kami akan membuat persembahan, maka kami pun tunggu. Kumpulan Marsli menyampaikan puisi, kumpulan Zakir melakonkan cerpen dan kumpulan saya menyanyikan lagu "Seperti Daun". Selepas minum dengan Cikgu Zakaria Adam di Bandar Maran, jam 11.45 malam kami membelok ke Lebuh Raya Pantai Timu balik KL. Sampai KL jam 1.30 pagi.

2 comments:

Rusdi Abd Rahman said...

Tuan Rahimidin,
1. Pertamanya, sudah lama tidak mencatat sesuatu dalam blog tuan ini tapi sering berkunjung lalu membaca..., apa khabar Tuan?
2. Membaca entri kali ini terdetik dalam hati seperti mahu undang juga ke Johor atau Melaka. Sekadar makluman, pihak DBPWS secara konsisten setiap tahun sejak tahun 2002 ada program Perkampungan Penulis Muda Pelajar Sekolah Menengah kerjasama dengan Jabatan Pelajaran Negeri, tahun 2011 maka genap 10 tahun program ini. Setiap 2 tahun dikumpulkan karya terbaik untuk antologi secara biasa-biasa @ kecil-kecilan.
Terima kasih.

Rahimidin Z said...

Tuan RAR,
1.terima kasih mengunjungi. Alhamdulillah. InsyaAllah akan ke Soeul, Korea pada 1 hingga 7 Disember nanti bersama penyair Marsli NO.
2.InsyaAllah. 18-24 Dis. ada MPR DBP di PD, tapi kali ini saya tak dapat hadir tarikh tersebut ke Miri 16-19. 19 Dis ada launch buku saya di Kino KLCC.