Tuesday, September 28, 2010

KUMBANG NYIUR KUMBANG BERTANDUK,
MAKAN UMBUT SAMPAI KE PUCUK;
ORANG BENGKENG SUKA MERAJUK,
DATANG SI BEBAL HENDAK MEMUJUK

Saya antara penulis yang jarang menghampakan permintaan orang. Nak temuramah melalui emel, melalui sms - biasanya saya layan. Tolong terbitkan karya, buatkan editing dan terbitkan manuskrip yang tersangkut dengan janji bayaran yang tidak saya terima. Itu pun hal yang biasa. Menemubual saya untuk tesis MA dan dijanjikan untuk diberikan salinan naskhahnya, tetapi setelah majlis konvo, sms dan emel saya tidak dijawab pun. Tak mengapakah, mahal nak fotocopi dan menjilidnya kulit keras. Teringat arwah SN S Othman Kelantan yang sering bercerita kepada saya, dia diganggu oleh student PhD hampir setiap malam kerana menulis tesisnya, apabila tesis siap dimintalah salinannya. Jawap si calon PhD itu 'Maaf, tebal dan mahal nak jilid dan fotostat.' Menelefon untuk menulis tesis tentang karya saya, tetapi sebut nama saya pun salah dan buku saya tidak pernah sebuah pun dibaca. Minta profile saya dan syarikat saya. MasyaAllah, mana saya ada syarikat! Dan ada banyak rentetan peristiwa dalam hidup ini, yang semua itu menjadi asam garam yang harus saya lalui.

Saya mula menyiarkan karya sewaktu berusia 16 tahun. Memang saya tidak dikenal sebagai penyair pun, walaupun ada 8 tesis BA, 6 tesis MA dan 2 tesis PhD yang mengkaji puisi-puisi saya. Saya telah lama belajar untuk tidak membanggakan diri, bahkan saya semakin menganggap saya hanya debu angin yang melekat seketika di daun-daun sebelum embun dan hujan turun menghilangkannya.

Apabila buku-buku yang saya sayang dipinjamkan, tanpa dipulangkan itu pun saya tak berasakan apa-apa. Sealmari buku saya pernah dibaca anai-anai dan beberapa koleksi lukisan kesayangan juga. Saya belajar dari memoir Ajip Rosidi, anggaplah itu semuanya seperti pinggan mangkuk yang kita beli di kedai, kapan sumbing dan pecahnya terpulanglah pada waktu.

Dalam arus waktu yang tersisa ini tentunya memohon kemaafan atas segala kekhilafan yang sengaja mahupun tidak disengaja itulah yang lebih afdal. Memohon kehalalan makan dan minum daripada teman-teman jauh dan dekat, itulah yang lebih menginsafkan. Dan sekiranya ada hutang piutang, sedikit mahupun banyak yang terlupakan; khabarkanlah supaya urusan dunia ini dapat diselesaikan di alam yang fana ini. Selebihnya perjalanan hidup ini harus diteruskan sehingga ke titik akhir.

Teritip di tepi kota,
Mari dikayuh sampan pengail;
Imam khatib lagi berdosa,
Bertambah pula kita yang jahil.

6 comments:

edolah said...

tuan syeikh...
menjadi org berilmu yang mulia memang byk likuannya... moga kita setitis drp segala yg bernama hujan dan lautan-Nya

Norziati Mohd Rosman said...

Moga kebaikan itu Tuhan balas dengan nikmat syurga. Moga Tuab Sheikh tenang-tenang sahaja

ekspresi said...

saudaraku rahimidin zahari,
agak tersentuh membaca entri ini. dalam beberapa keadaan kita ada persamaan, dan tentunya ada perbedaan. inilah kembara hidup kita, masam manis masin pahit, dan warna2 yang memberi makna, pengertian, pengajaran untuk kita lebih bersedia dan berwaspada.

Rahimidin Z said...

Tuan Edolah,
ambo tak dok ilmu, kalu ada pun sekitar 5 sen je.

Rahimidin Z said...

Norziati,
Sedang belajar untuk menjadi orang baik!

Rahimidin Z said...

Arif,
iya...asam garam kehidupan.