Ke Madrasah Diniah Ahmadiah
Dijanjikan oleh seorang teman untuk menemui seorang ulama di Hulu Langat sejak lama, tetapi belum ada kesepakatan antara kami. Selepas berbuka malam tadi saya menelefonnya, dan dia lantas memberitahu akan ke sana. Saya akan mengambilnya di Ampang Jaya untuk ke Batu 10 Hulu Langit. Kami pun berangkat ke sana dari Ampang meredahi malam. Dan al-Fadhil Tuan Guru Ustaz Zakaria Awang, Mudir Madrasah Diniah Ahmadiah sedang menunggu kami. Dibawanya kami ke kawasan pondok, asrama dan dewan kuliah. Dari madrasah tersebut kami dibawa ke Kg. Simpang Balak untuk menunjukkan satu lagi madrasahnya yang dikhususkan untuk melatih para tahfiz yang sedang dalam pembinaan. Pagar batu, bangunan utama dan asrama sedang dalam proses pembinaan dengan keluasan tanah seluas 2 ekar. Sehingga kini telah RM1 juta digunakan untuk membangunkan madrasah tersebut di atas tanah wakaf.
Ustaz Zakaria Awang al-Ahmadiah berasal dari Besut, Terengganu. Menerima pendidikan agamanya di Pondok Terusan, Pasir Tumbuh di bawah didikan Tuan Guru Haji Abu Aziz dan Tuan Guru Haji Mustafa. Seterusnya ke Pondok Gaal Pasir Puteh dan Pondok Amir di bawah Tuan Guru Haji Hussin. Dalam masa yang sama beliau berulang ke Bukit Abal dan menerima ijazah amalan tarekat Ahmadiah di bawah asuhan Tuan Guru Haji Daud Bukit Abal.
Sejak 19 tahun yang lalu beliau memulakan sekolah pondoknya di Simpang Balak dengan menyewa tanah di situ, di samping memberikan kuliah mingguan dan bulanannya di AU4 Keramat, Taman Permata, Surau DBKL dan di pelbagai tempat di KL dan Selangor. Beliau juga mengumpulkan dana untuk membina beberapa masjid di Kemboja dan di Selatan Thailand.
Beliau mengajak kami minum, dan kesempatan itu saya gunakan untuk bertanya banyak hal tentang pendidikan agama yang dipeloporinya. Sebelum pulang, al-fadhil menghadiahkan kami buku kecil "Doa Satih" atau dikenali juga sebagai "Senjata Fakir" yang diterimanya daripada Baba Mid Celigi, Pasir Puteh serta amalan zikir "Ya Qawiy Ya Matiin".
"Kalau kelapangan jemputlah datang setiap Rabu malam Khamis kami mengadakan majlis zikir Tarekat Ahmadiah di madrasah kami." Pelawa beliau kepada saya.
No comments:
Post a Comment