Monday, April 19, 2010

aku menangis

dari sedulang kurma
yang dihulur ikhwan
tangan hitamku
telah memilih
sebiji yang buruk
berkulat oleh debu
dan serbuk hitam

aku menelannya juga
kerana itulah
pilihan yang dipilih
oleh tanganku sendiri
yang aku percaya ia berawal
dengan gerak hatiku

kukunyah dengan tangis

dengan seteguk zam-zam
mohon dibasuh
seluruh kehitaman
yang memekup
hatiku yang hitam

kuhinakan diriku
dalam mencari
maqam ihsan
di puncak reda-Mu

aku menangis
aku menangis
tak siapa yang tahu;
hanya Dia
Yang Maha Tahu.

Rahimidin Zahari
18 April 2010
Dar Maliki

4 comments:

Sham al-Johori said...

Syeikh,
Jangan ditangisi diri
kerana di dalam diri ada
seketul daging
dekat tapi jauh
dalam kembara imani.

benuasuluk said...

menangislah syeikh; jangan diturut kata pak aji tu, hehe

Hasmora said...

menangislah wahai diri hamba
semoga mampu membasuh karat dosa
dari hati hitammu itu..

hasmora
kota belud

(-,-)

ada jodoh pertemuan kalu, PPN4 nanti.. insyaAllah..
Assalamualaikum

Rahimidin Z said...

Haji Sham,
Tuan Suluk,
Ustaz Pak Lah,
menangis dale sajak je.