Tuesday, January 26, 2010

Kudratku tertakluk
kepada kunfayakun-Mu


apakah yang engkau kejar,
selain kelelahan dalam perjalanan singkat
dipisahkan oleh rumput bumi
antara tapak kaki dengan sejuk
dan wangi-wangian bau tanah.

sebutir nafasmu yang saban malam
keluar mengembara
melepasi kabut saat tidur pulas,
siapakah yang meminjamkan?
engkau pun kembara
ke tanah-tanah yang jauh,
siang bergantian malam, terlupa
pernah terlanggar cakerawala
mujurlah siangnya
sempat kembali ke rongga dada
dan tentunya sebutir nafas itu
masih ada - sebagaimana
engkau masih bernyawa

jisim kerdil yang diramas cair
kering di tengah gurun pasir
pandangan-Mu yang menembusi jasad diriku

maya ini palsu
memukau dan menggodaku
aku debu piatu tak berumah tak berpintu
kudratku yang Engkau pinjamkan
tertakluk kepada kunfayakun-Mu.

4 comments:

Sham al-Johori said...

Pak Syeikh,
kembali dengan sajak menusuk amat bermakna bak kata 'ular menyusup akar tak hilang bisanya'.

roslan jomel said...

Puisi sdr Rahimidin Zahari tidak akan berkompromi dengan kualiti. Itulah yang saya belajar secara sembunyi-sembunyi dari kerja puisi sdr Rahimidin Zahari. Saya banyak berhutang kebijaksanaan dari penulisan puisi beliau.

Saya pernah membaca pandangan sdr Rahimidin Zahari tentang puisi dalam majalah Suara Bahru, bahawa puisi lebih indah disampaikan dengan pendekatan sederhana.

Sedemikian juga saya meyakini kata-kata Allahyarham penyair T Alias Taib, kesederhanaan berpuisi sebenarnya merupakan kekuatan puisi itu sendiri. Tidak perlu kata-kata hebat atau rumit.

Terima kasih sdr Rahimidin Zahari.

Rositah Ibrahim said...

Saya suka sajak ini- sebuah peringatan terhantar secara lembut.

Rahimidin Z said...

Haji Sham, Sdr. Roslan dan Cikgu Rositah terima kasih. Ini semua tidak lebih sebagai 'peringatan' demi 'peringatan' untuk diri saya.