Friday, January 23, 2009

Sebaris Batang Pisang

Sebaris batang pisang melompat-lompat dan bercakap-cakap di hadapanku. Kalau di kampungku, bila musim tengkujuh begini amat sukar untuk mendapatkan rumput kerana semuanya ditenggelami air. Dan gantinya tentulah batang pisang yang rebah dipukul angin, dan ayahpun akan memberikan kelewang, sebagai tanda untuk anaknya mencincang batang pisang tersebut. Untuk apa? Untuk makanan lembu-lembu ternakan kami yang kelaparan. Berbeza dengan zaman Singapura, apabila pulau itu diserang todak, memanda memerintahkan rakyatnya berkubukan betis. Mujurlah ada Hang Nadim, tetapi budak cerdik itu dibunuh awal! Tinggallah budak yang bodoh-bodoh sehingga ke hari ini. Selayak batang pisang yang dicincang untuk makanan lembu orang-orang kampung kami.

Gagak dan Merpati

Gagak dan merpati, keduanya spesis burung. Yang berbezanya, gagak dengan wajah hitam legam, suka yang busuk-busuk dan pengotor. Manakala merpati dengan imej putih bersih. Jinaknya kadang-kadang boleh memagut makanan di tapak tangan. Tetapi awas dengan jinak-jinak merpati! Antara gagak dan merpati mana yang kau suka? Kau suka jadi gagak yek?

Dewi Kejahatan

Kawan saya bercerita mengenai dewi kejahatan yang berwajah cantik. Dewi kejahatan seperti sesumpah yang bertukar rupa dan warna mengikut musim dan perubahan cuaca. Saya ditakdirkan Tuhan berkenalan dengan dewi kejahatan yang ditakuti oleh semua orang. Dia memporak-perandakan negeri dan kampung halaman. Bolehkah dewi kejahatan yang bercabang-cabang lidahnya, mengkhianati dewa kebaikan yang satu lidahnya? Kita nantikan siapakah yang menang dalam pertandingan seru tersebut! Saya berkira-kira bagaimanakah ingin menyelesaikan cerita. Kalau dewi kejahatan yang terbunuh, mungkin semua orang puas, tetapi habislah kisah. Kalau dewa kebaikan yang terbunuh, tak syok juga kerana hero mati. Tapi hero pun wajib mati juga kan?

Thursday, January 22, 2009

Kartika dan Affandi.

Malam kelmarin saya menghadiri pelancaran pameran solo Kartika di RA Fine Art. Ramai yang hadir. Melimpah sampai ke luar. Pameran dirasmikan oleh Duta Besar Indoensia. Baguslah zaman ekonomi lembap, pameran seni terus berjalan dan pengunjung – kolekter, pelukis, dan wartawan penuh pepak. Melihat garis dan warna yang dipalitkan oleh Kartika, sebenarnya tidak banyak berbeza dengan lukisan yang dihasilkan oleh Affandi, bapanya. Yang berbeza Affandi itu lelaki dan Kartika ditakdirkan perempuan. Cuma saya terfikir, kadang-kadang kehebatan bapa sebagai maestro akan menyebabkan anak menjadi hebat, walaupun karyanya tidak lebih hebat daripada karya bapa. Eh, betul ke ni?

Sepotong Lidah

Kawan saya menerima sampul surat yang berisi sepotong lidah di dalamnya. Masih baru. Panas dan berdarah. Darah merah memenuhi muka sampul. Kawan saya mengambil sepotong lidah itu dan meletakkan di atas dua tapak tangannya. Lidah itu menggeliat-geliat ingin bercakap. Darah mula membasah memenuhi dua tapak tangan kawan saya. “Siapakah yang memisahkan kau dari rongga mulut tuanmu?” tanya kawan saya. Sepotong lidah hanya menjawab, “Aku berdosa. Aku berdosa. Aku berdosa.” Selepas tiga kali, lidah terus bisu. Darah pun mengering dan membeku. Kawan tersebut menemui saya, bertanyakan apakah yang harus diperlakukan dengan sepotong lidah tersebut? “Lidah itu untukmu, dan kalau kau tak perlukan, hantarkan saja ke tanah perkuburan.”

Senator

Abang Tar (Mat Sotar) nama yang saya bahasakan kepadanya. Dia OKU yang tak nampak. Tapi hatinya cerah. Dia bukan jiran dekat saya, tetapi masih dalam jemaah dan 40 buah rumah sebagaimana tercatat dalam Hadis Nabi (SAW). Sakit demam, kenduri kendara, Abang Tar biasanya sampai awal. Dia mengimami solat, atau mengetuai bacaan doa, lafaznya perlahan tetapi jelas. Dia hanya belajar di pengajian pondok tidak jauh dari kampung kami. Dia tak pernah lihat wajah saya, tetapi kalau saya menegurnya di jalanan, dia tahu “Adik Rahim, anaknya Pak Haji Zahari.” Dia ramah dan kenal semua qariah di kampung kami. Saya tak pernah tanya bagaimana dia boleh mengecam kami, dari cara bercakap, cara bernafas atau bau tubuh. Hanya Pak Tar yang tahu. Kalaulah Pak Lah memerlukan senator dari kampung kami, dialah yang akan saya cadangkan. Dia lebih muda dari ayah saya, tak nyanyuk, tak bawa tongkat walaupun matanya tak nampak. Tak kisahlah walaupun dia bukan lulusan dalam bidang ekonomi dari luar negara. Tapi Pak Tar tak pandai mengampu dan tak mengkhianati bahasa ibundanya. Pak Tar ok, walaupun dia tidak sekacak bintang filem hitam putih.

Bunga Tahi Ayam

Bunga tahi ayam masih asli dan berbau. Walaupun baunya kurang enak kalau ingin digandingkan dengan bau bunga mawar, bunga melati, kenanga dan lain-lain jenis bunga yang harum. Tentunya lebih baik menjadi bunga tahi ayam daripada menjadi bunga plastik.

Dugong, Piguin dan Tempayan Budu

Dugong, piguin dan tempayan budu, apakah persamaannya? Dugong ada di pesisir Malaysia, pernah beberapa ekor tersadai dan mati. Piguin tak ada kena mengena dengan Malaysia kerana jenis burung dari kutub. Anak-anak saya suka tengok kartun Pigu pagi-pagi Sabtu. Tempayan Budu hanya ada di Kelantan. Budu, dimakruhkan oleh ramai ustaz fekah di kampung saya. Tetapi semasa belajar, salah seorang ustaz saya yang PhDnya dari Arab Saudi memberitahu budu itu ‘mendahului hukum’. “Bagaimana kalau budu dimasukkan ikan bakar, diperah dengan asam limau? Enakkan? Apakah selepas makan nasi dengan budu, enta mabuk? Budu selepas dibasuh, apakah tangan enta berbau?” soal ustaz saya yang berasal dari Perlis dan bukan Kelantanis itu. “Enta balik kampung, enta bagi tau, budu tak makruh!” Tapi ini cerita lain, kalau dugong, piguin dan tempayan budu dikiaskan kepada perempuan, gadis, anak dara atau bini memanda sekalipun, dia perempuan yang tak eloklah. Tak cantik dan tak ada potongan.

Mentadak

Sudu sudu, senu emak mu tidor lagu mana?” Itu antara pertanyaan dan nyanyian masa kecil saya yang diajarkan oleh Nenek Jah, apabila sudu senu atau mentadak mentadu masuk ke rumah kami. Mentadak nama saintifiknya tenodera aridifolia dipanggil sudu senu di kampung kami. Mentadak akan mengikut apa yang kita cakapkan, seolah-olah faham atau memang sifat mentadak sedemikian. Semasa saya kecil, saya selalu bertanya kepada diri sendiri, bagaimana ya, kalaulah mentadak itu bertukar menjadi manusia? Manusia yang jenis apa ya? “Sudu sudu senu, emak mu tidor lagu mana?”

Wednesday, January 21, 2009

Jangan Berbohong!

Satu hari saya ke sebuah haper market di pinggir Kuala Lumpur. Saya berbaris bersama tiga daripada lima orang anak saya untuk membuat bayaran di kaunter. “Encik dah ada kad kredit? Kalau tak ada, bolehlah singgah di meja kami sekejap. Berikan ic untuk difotokopi dan encik akan memperolehi 2% setiap kali membeli di sini.” Senyumnya manis meleret sampai ke telinga. “Tak apalah, saya tak ada kerja. Nanti tak boleh bayar pulak tiap-tiap bulan ke dalam bank awak.” Muka serius, tak lawak sikit pun. Beberapa langkah sahaja, anak saya, angah tersenyum. “Tak baik, Papa bohong!. Papa penulis kan?” Saya tarik tangannya keluar cepat-cepat dan memandu balik ke rumah. Saya tak bercakap sepatah kata pun.

Pembunuh

Sebagaimana diceritakan oleh seorang kawan: “Setiap kali dia bermasalah, dia akan sms atau telefon nak jumpa aku. Ada hari yang aku menyampah, aku tak jawab telefonnya,aku tak angkat pun telefon. Aku, membiarkan miss callnya berpuluh-puluh kali. Padan muka dia, biar dia rasa bagaimana dia selalu membohongi aku. “Abang siapkan, katalog ini, nanti saya bayar abang RM5,000.” Beberapa hari kemudian, “Abang tolong buat editing tulisan ni, dan saya bayar abang RM1000.” Beberapa minggu kemudian, dia datang lagi. “Tolonglah ini antara hidup dan mati, abang tolong siap….” Semuanya aku tolong buatkan. Aku tak pernah meletak harga berapa yang harus dia bayar terhadap semua hasil kerjaku. Dan aku tak pernah menerima bayaran sebagaimana yang dia janjikan. Besok dia nak jumpa lagi, dan tahulah aku bagaimana untuk mengajarnya. Aku sudah siapkan racun rumput untuknya. Apabila dia ke kamar kecil, racun itu akan aku letak ke dalam mangkuk sup kambing yang disukainya. Kalau ada sesiapa yang kematian saudara maranya, bolehlah menghubungi aku, pembunuh yang baik hati.”

Tuesday, January 20, 2009

Hukuman

Kerja yang paling mudah adalah menjatuh hukuman. Hanya melalui khabar angin yang didengari, dan kita pun menciptakan kisah baru dan dengan menambahkan watak-watak serta memberinya plot. Tetapi klimaknya di mana ya? Organisasi tidak pernah bersalah. Olak oleng politik yang menentukan. Memanda keling, tentulah dengan kekelingannya. Memanda yang petah lidahnya juga tak pernah faham, Asyik takutkan bini. Aku dititah menyiapkan watikah. Watikah kutulis,pada hari ketiga, dikembalikan. “Terlalu filosofikal, sukar mengundang khalayak kalau dipentaskan!”. Saya pun diam, tentu tak dibaca apa yang kutulis. Cikgu Noordin Hassan pun tahu. “Mana Setangginya?” Setanggi kusimpan di dalam hati.

Monday, January 19, 2009

Jelek

Seorang sahabat jauh saya yang telah bergelar datuk. Sejak di sekolah menengah saya mengikutinya. Dia gemar sekali beretorika. Bahkan 24 jam dalam hidupnya penuh dengan retorik. Maklumlah dia pelakon dan penulis skrip pentas. Kawan-kawan sebaya saya amat memujakannya. Hebat. Luar biasa pemikirannya. Tapi, anehnya saya tidak. Satu petang saya minum di Jalan Chantek, seorang kawan saya yang bergelar datuk juga memberi komen tentang kawannya itu. Katanya, “ah, dia itu kalau dalam bahasa Jawa halusnya, jelek!” Dan saya betul-betul faham.

Macam Pandai

Dia berdiri di podium memulakan percakapannya. Dan dia bercakap macam pandai sangat sehingga saya berada di alam nyata atau alam kayangan. Saya berterbangan di ruang udara bercakap-cakap dengan Ibsen, Chekov, dan Pinter. Wajahnya hampir padam di podium. Dia macam pandai, tetapi saya tak tahu apakah dia tahu bahawa dirinya tak tahu tentang apa yang dicakapkannya itu. Kesiannya saya pada dia kerana tidak pernah menganggap orang yang di hadapannya tidak tahu apa-apa yang diucapnya. Saya percaya dia tak tahu, bahawa di ruang itu ramai yang lebih tahu daripada dirinya sendiri.

Friday, January 16, 2009

Mentankedarah

Beberapa tahun lepas saya, Sutung Umar Rs dan Amin Sweeney minum di cafĂ© house sebuah hotel di Kuala Lumpur. Lalu Amin bercerita sewaktu di Kelantan beliau amat rapat dengan seorang dalang wayang kulit yang terkenal ketika itu. Satu hari Amin telah bertamu ke rumah dalang tersebut. Kerana terlalu menghormati Amin dan tidak ingin menggunakan ayat biasa mempersilakan minum, maka kata dalang tersebut, “Cik Amin, silalah mentankedarah!” Mentankedarah, wahbatu, bedal, pelahap dalam loghat Kelantan adalah merujuk kepada makan. Tetapi semua itu memberikan konotasi makna yang berbeza.

Kenal dan Tak Kenal

Satu hari yang lain, saya, U-wei dan Sutung minum petang di sebuah restoran di Bangsar. Tiba-tiba seorang ulamak yang tenar dan sering memberikan fatwanya bersama keluarga masuk ke restoran yang sama. Saya memberitahu Sutung tentang kehadiran ulamak tersebut, dan tentunya Sutung mengajak saya untuk menjumpa dengan tokoh tersebut. Sutung menemuinya dan saya tidak pergi pun. Beberapa detik kemudiannya, SN Datuk Noordin Hassan singgah di restoran yang sama. Dia yang akan menyambut ulangtahunnya yang ke 80 pada 18 Jan. itu amat gembira sekali menemui kami. “Bapa Cikgu 40 tahun saja, Cikgu dah hampir 80. Lamanya waktu yang diberikan pada Cikgu,” ucap Cikgu Noordin dengan lembut dan perlahan. Kami bersalam dan berpelukan.

Hadiah Persaraan

Di hari yang lain, saya, Sutung, Hanizah Junoh dan Yati (saya tak tahu nama penuhnya) bertamu ke dusun indah di tepi Sungai Langat milik Datin Azanin Ahmad, koreografer dan penari ternama. Minum petang dan percakapan panjang dengan dunia seni dan tiadanya lagi tempat dan ruang untuk berbicara dalam bidang itu. Dalam perjalanan balik ke KL yang sesak mengambil masa 2 jam lebih itu, saya teringat seorang kawan baik saya, seorang ustaz. “Ana nak minta satu sempena persaraan ana dengan enta.” Bunyi permintaannya macam tak ada orang lain yang boleh tunaikan. “Apa yang syeikh inginkan?” tanya saya. “Boleh tak enta dapatkan cd persembahan dramatari Puteri Saadong yang dipersembahkan oleh Azanin? Itulah dramatari yang indah sekali” ulas Ustaz, kawan saya. Terdiam saya dibuatnya, kerana ketika itu saya belum kenal dengan Datin Azanin.

Wednesday, January 14, 2009

Dilanggar atau melanggar

Tak ada orang yang waras yang berniat untuk melanggar orang lain. Kalau kita berhati-hati,tentunya akan ada lawan kita yang tidak berhati-hati. Dan tak ada sesiapa yang ingin dilanggar atau melanggar. Sabtu tengah hari, kereta saya dilanggar dari belakang, dan kemeklah kereta buatan Malaysia saya. Saya tak marah sepatah kata. Cuma isteri saya seperti terkejut. Yang melanggar tentunya pucat lesi, dan temannya memberitahu kereta itu dipinjam daripada kawannya. Saya juga diam. Akhirnya saya diminta mengekornya ke bengkel kereta di belakang Grand Season. Dibaiki dan dibayarnya harga kereta saya, dan dia lesap sewaktu saya dan isteri ke kedai makan. Seperti biasa, saya tak sempat bertanya namanya, cuma ada no telefonnya yang ditinggalkan pada tuan punya bengkel. Terbuanglah masa saya selama 3 jam lebih kerana menunggu. Sepatutnya saya ke Galeri Chandan bersama U-wei kerana ada art talk oleh Hasnul J. Saidon. U-wei sampai dan kami minum lagi. Kerana ada yang belum siap, saya minta U-wei pergi dahulu dan saya menyusur kemudian. Balik ke rumah, selepas solat Asar saya keluar semula untuk ke Galeri Chandan. Hari bodoh saya pun bermula apabila, tiga kali saya ke sasar menuju Jalan Duta tiba-tiba keluar semula di Jalan Kucing. Kali kedua keluar di Jalan Semantan dan kali ketiganya masuk pula ke Pencahala Link. Tempat itu bukanlah saya tak pernah pergi, saya pernah bahkan berkali-kali. Akhirnya saya balik ke rumah ikut MRR2 dan solat maghrib.

Kosong

Saya dijemputnya untuk minum pagi. Saya pun hadir. Dia bercakap tanpa hentinya. Semua orang lain tak pandai. Bodoh. Bebal. Tak guna satu sen pun. Dia bercerita bahawa dirinya amat bagus. Bagus sekali. Percakapannya pandai, pandai sekali sehingga saya terkebil-kebil diam. Saya tak menjawab sepatah kata. Saya hanya mendengar. Hanya tiba-tiba seorang kanak-kanak telah membaling pinggan dan pinggan itu mengenai kepala kawan saya. Tempurung kepalanya terputus dua. Saya terkejut amat. Ternampak saya di dalam tempurung kepalanya yang kosong. Dia rupanya tak ada otak. Yang ada hanya hampas budu dan hampas kelapa yang telah diperah santannya.

Wednesday, January 7, 2009

Arrogant

Kisah 1: Sahabat pertama saya menceritakan: “Aku telah dipindahkan dari tempat kerja lama ke tempat kerja baru dan terpaksalah melaporkan diri kepada bos baru.” “Biasalah tu,” kata saya. “Tak biasa. Ini luar biasa,” tambahnya lagi. “Apa yang tak biasanya,” tanya saya. “Kau tahu, bos baru aku tu pesan begini: I nak pesan satu je, you jangan dok cap jari kat dinding-dinging bangunan! Kau tak berasa arrogant ke, pesanannya tu?” .”Iya la, kan bos kau tu belajar kat luar negara. Ada PhD pula. Salah kau la tu, suka berkawan dengan orang-orang kiri kot?” saya mengacahnya. Dia diam.

Kisah 2: Seorang sahabat saya yang lain telah ditemui oleh seorang pensyarah universiti tempatan dan memintanya membuat MA. Kata pensyarah lulusan luar negara tersebut: “Buatlah MA, kenapa dok tunggu lama sangat?”. Kawan saya menjawab: “Siapa agaknya yang nak jadi penyelia tesis saya?” . “Eh, kenapanya, akak boleh selia you?”. Kawan saya bertanya semula, “Berapa buku yang dah akak tulis?”. Menurut kawan saya, pensyarah itu terus diam. Khabarnya dia telah bisu sehingga ke hari ini.

Kisah 3: Seorang sahabat saya yang gilanya menonton filem telah membuat kritikan filem di sebuah akhbar tabloid. Tulisannya tidak disenang oleh salah seorang pensyarah filem yang kononnya pernah mengajar beliau di sebuah kedai kopi. Tanya bekas pensyarah tersebut: “Berapa filem dah kau tonton, berani nak kutuk-kutuk filem kawan aku?” Dia jawab: “Tak la banyak sangat. Aku tonton dua buah filem setiap hari. Aku mula menonton filem sejak umur 18 tahun, sekarang umur aku dah 45 tahun. Ertinya 2x 365x 27 tahun, itulah jumlah filem yang pernah aku tonton.” Jawab kawan saya. “Tapi kau penonton biasa, tak belajar apa-apa pun tentang filem. Lainlah aku yang pernah buat filem. Aku ada authority nak bercakap pasal filem,” kata pensyarah itu. Kawan saya, si budak nakal itu bertanya lagi, “Apa filem yang kau buat? Animasi ‘Arnab Berlumba Dengan Kura-Kura” tu ke?. O..patutlah kau puji filem kawan kau tu bagus sangat, walaupun filemnya buruk.”

Tuesday, January 6, 2009

Tangga

‘Melepaskan batok di tangga’. Tetapi ada ramai cikgu sekolah yang bebal, termasuk penulis juga pun yang menuliskan ‘melepaskan batuk di tangga’. Masih gagal membezakan batok dengan batuk. Satu lagi kepala hotak dia la tu. Nak naik ke rumah mesti melalui tangga. Nak naik pangkat pun juga. Tangga penting, kalau tak ada tangga kena terjun ikut tingkap. Dan satu malam yang hujan gerimis aku duduk di tangga sebuah bungalow usang tinggalan British. Di dalamnya bersidanglah orang-orang yang sedang ‘melepaskan batok di tangga’.

Yuran sekolah anak nanti bayar selepas bulan Mac la ye!

Pesimisnya aku.

Aku pergilah jugalah temankan Dinsman dan Sutung. Tetapi ketika mereka berdua masuk, aku duduk di tangga. Sebab dah lama sangat aku pesimis dengan puak-puak feudal ni. Aku pun tahu yang Dinsman dan Sutung pun tak akan bercakap. Buat habis air liur. Nak mandat apa lagi hah? Mandat pekak badak! Memanda bangsat, tak pernah belajar Bahasa Melayu. Lebih British dari British. Sudahlah. Kalau dah rasa negeri ini engkau seorang yang punya buatlah sesuka hati engkau. Kau cium keris pun, lepas tu kau minta maaf. Betul-betul bangsat. Babi pun ada maruah. Sebab itu keharamannya disebutkan. Memang betul menunggu di kepala tangga lebih bermakna dari bersama para sarjana tralala tralili. Aku pun bercakaplah dengan calon PhD dari Pulau Belitung. Bila dia sebut nama penyelianya, aku diam sebab prof dia tu patut masuk ke kelas yang aku bagi. Aku bercakap sejam lebih juga, sehingga akhirnya aku tak sempat tanya nama dia, dan dia pun tak sempat tanya nama aku. Ala, macam novel Iwan Simatupang pulak la. Dia sedang menulis skripsi mengenai pengurusan pelancongan. Hah, penyelianya tu apa tau pasal pelancongan?