Friday, September 12, 2008

Puasa Tapi Tak Solat
Solat Tapi Tak Tutup Aurat

Apabila Ramadan datang, maka ramailah yang sibuk dengan juadah untuk berbuka, tempahan kuih hari raya, baju raya dan macam-macam raya. Tukang jahit sehingga terpaksa angkat tangan, dah tak terima tempahan dah. Saya sebutkan kepada anak-anak saya, berbukalah dengan apa yang ada, kerana itulah rezeki kamu. Pakailah mana-mana baju yang yang telah sedia ada kerana itulah yang mampu bapamu sediakan.

Hampir setiap hari saya dan isteri pesankan kepada anak-anak, puasa harus diseiringkan dengan solat. Solat itu tiang yang paling utuh, di manakah ingin dipakukan dinding dan dipasangkan bumbung kalau tanpa tiang. Tapi itulah nampaknya yang sedang terjadi. Orang boleh berpuasa, tetapi solatnya tidak. Begitulah saya sering melihat orang solat, tetapi selepas solat dibukanya aurat.

Semalam saya diundang ke majis berbuka puasa. Ini hari pertama saya berbuka di luar. Saya paling malas berbuka di luar, kecualilah dijemput oleh teman rapat. Kalau tidak biasanya saya mohon maaf. Semalam, selepas berbuka, ketika saya keburu solat Maghrib, masih ramai yang bersidai selepas makan. Bila saya kembali, iya masih seperti itu. Memang nampaknya ramai orang yang menghabiskan masanya untuk berlapar tanpa solat.

RM40, RM50, RM60, RM70 sehingga RM150 untuk satu kepala. Sedangkan kalau di rumah, saya pasti tak sampai RM10. Jadi selebih dari itu tentulah makan syaitan. Dan jadilah orang puasa yang sesisia.

Maaflah iya semua sempena Ramadan ini. Kalau belum lagi rajin bersolat, silalah mulakan untuk Ramadan kali ini. Bersolat dengan tekun tanpa menyisihkan satu waktu pun. Manalah tahu inilah Ramadan kita yang terakhir?

Selamat Berpulang Pahlawan

Ramadan dilembabkan
oleh sejuk dan dingin cuaca
hujan petang sehampir reda
dan rumput-rumput basah
antara pijakan kasut serta capal.

Selamat berangkat
wahai pahlawan
sudah terpisah roh
dengan jasad
apabila Yang Maha Kuasa
memanggilmu pulang
tak akan sesaat lambatnya
dari jeriji waktu
yang telah ditetapkan.

Engkaulah pahlawan
tetap hidup
di jiwa para pejuang
yang kenal
erti perjuangan.

Semuanya tunduk
pasrah dengan doa
dan al-fatihah,
kecualilah
si buta sejarah
yang sesat
di hujung jalan.

Pengunjung berjejal
memberikan penghormatan,
seratus tahun akan datang
mungkin tak akan lahir
seorang a. samad ismail.

Rahimidin Zahari
Petaling Jaya
4 September 2008
11.30 Malam

3 comments:

Shah said...

salam
saya setuju bangat pendapat tuan tu
bayar makan kt tempat mahal2 bukan ada faedah pun, kenyangnya sama
saya lagi la buka puasa tak boleh makan nasi..keh2..bayar makan kt kedai memang rugi sangat la

untunglah tuan ada isteri yang solehah :)

insyaAllah saya cuba novel guru tu..

Rahimidin Z said...

shahkang,
salam ramadan.
selamat membaca.

dariana said...

puasa
tapi tak sembahyang
@
tak tutp aurat!
satu komentar yang klise
mereka punya otak
tapi tak 'akal
alias otak hewan.

2. bagiku paksamad yang kukenal selepas SRPku lewat novelnya itu
hanyalah satu burung yang gigih terbang walau satu sayapnya patah!
dia telahpun kembali ke sarang milik Tuhannya.