Monday, September 22, 2008

Ingin Kutembak

Ingin kutembak
seekor anjing hitam itu
yang menyalak-nyalak
di negeri hatiku:
rupanya sudah bertahun-tahun
ia menyalak dan melengking
sehinggakan para malaikat pun
menyisih jauh.

Ingin kutembak
seekor anjing hitam itu
yang menyalak-nyalak
di negeri hatiku
yang menutup jernih
air muka
dan menerbitkan
aroma hina dan dosa.

Ingin kutembak
seekor anjing hitam itu
dengan lantera cahaya
menerangi gelapnya
rumah jiwaku.

19 Sept 2008
19 Ramadan 1429

di negeri tersalib

rupa dan wajah
sama seiras
hanya muslimku
yang membezakan
masjid dan gereja.

kerana muslim
kuberhati-hati
dengan makan
dan minumku;
yang mengalirkan darah
dan menumbuhkan
dagingku.

di negeri yang tersalib
aku membaca kesunyian
pada peluit kapal
yang singgah
dan pergi lagi.

aku pun seperti
kapal-kapal itu
singgah,
tanpa pasti
apakah kaki ini akan
kembali lagi.

cuma aku pasti
para malaikat
ada bersamaku.

Fort Santiago
27 Mei 2006

Laguna: Satu Tengah hari

Jose Rizal
nama besar
yang mematerikan revolusi
dalam usia muda,
sayangnya mahkamah tentera
menghukummu mati.

Dengan semangat
dan jiwa
kubaca tentangmu
seperti sepuluh tahun
yang lalu di Luneta
kini selamat bertemu kembali
di kotamu sendiri.

Laguna
seperti juga kampungku
nangka dan langsat
merimbun hijau
dan di muzium kecil
aku disapa mesra,
“Are you Filipino?”
“No, I’m Malaysian,
Muslim!”

Kukenangkan
Rizal yang Melayu
‘Noli Me Tangere’, dan
‘El Filibustarimo’;
dengan semangat
dan jiwa raga
juga tak akan
kulupakan air mata!

Laguna
28 Mei 2006

8 comments:

benuasuluk said...

Salam,
sajak ingin kutembak, kalau di dalam koleksi saya sudah masuk dalam fragmen puisi yang mungkin terkuburkan.

Shah said...

salam
puisi ni disiarkan kat majalah mana?
tuan ada tak cadangan untuk novel-novel yang sesuai untuk ditatap pembaca muda sekarang
novel luar negara pun boleh :)

masa kat port dickson hari tu ada sebut banyak tapi saya dah lupa.. ingat Troy je.. huhu

Sham al-Johori said...

salam marfirah.
syadu menatap 2 sajak yang mengesankan. susah-susah kita tembak aja 'si dia' tu dengan busar panah arjuna berharum narwastu. hehehe

Rahimidin Z said...

benua suluk
salam,memang semua kita akan masuk kubur.

shahkang,
yang kedua, keluar kat Dewan Sastera yang lain belum hantar
Nak pandai bacalah novel2 hebat. Bacalah Orhan Pamok, Naguib Mahfuz..

sham,
tak takut tertembak diri sendiri?

roslan jomel said...

Salam abe Rahimidin.

Puisi Ingin Kutembak, sangat keras kemahuannya dan paling mulia tiupan mesejnya.

Membaca puisi sebegitu, benar-benar mengajak pembaca menyoal kekotoran kalbu sendiri.

Dan saya, ingin turut serta untuk menembak anjing hitam yang bersarang dalam kehidupan dalaman seseorang manusia itu.

Apakah mampu?

Shah said...

ya insyaAllah semester depan nak mengkaji novel Lorong Midaq karya Naguib :)
terima kasih atas nasihat

Rahimidin Z said...

Lan,
Saya tulis setelah membaca hadis yang maksudnya: Malaikat tak akan masuk ke dalam rumah yang ada anjing di dalamnya. dan ternyatakan untuk membunuh anjing nafsu di dalam diri itu memerlukan kesungguhan.
InsyaAllah kita mampu.

Shahkang,
tahniah dan selamat mencuba. InsyaAllah anda akan menjaya menemeui keindahannya.

dariana said...

jangan letupkan anjing itu
seperti wanita mongolia
di persada rimba negara

ada baiknya kauracuni ia
dengan zikir si lara
merintih dengan doa.