Perempuan, Isteri….Puisi, dan Lukisan
Selepas waktu pejabat satu petang, saya berkunjung ke pejabat sahabat saya, Uwei Haji Saari. Wah terkejut saya. Koleksi lukisan, arca, buku, cd/dvdnya luar biasa banyak.
“Lukisan aku itu baru 1/3. 2/3 lagi kat lain.”
Rupanya Uwei banyak memiliki masterpiece karya pelukis dan arcawan ternama. Saya fikir banyak koleksinya lebih baik dari BSLN. Kami turun minum.
“Siapa yang pernah tengok koleksi abang?”
“Kalangan pelakon hanya Eman dan Wak. Lain-lain aku tak pernah bawa.”
“O.”
“Celaka kau Din. Malam tadi aku baca buku kau. Siapa Liza dalam sajak kau, Din?”
“Isteri saya bang.”
Selepas solat maghrib di pejabatnya, saya mohon pulang. Uwei hadiahkan sebuah karya cetak oleh Zuli.
Memori Seorang Guru
Sewaktu memandu dari Batu Muda ke Hospital Kuala Lumpur, saya hairan apabila isteri saya terisak.
“Apa halnya ni?”
“Kawan awak, Ustaz Azizi kenapa dia buat Midun dan Sakinah macam tu. Saya juga cikgu…tak pernah jumpa cikgu yang macam tu..”
Saya tergelak.
“Jangan samakan realiti kehidupan sebenar dengan karya sastera. Ustaz Azizi Haji Abdullah tu novelis, sasterawan. Ceritanya telah berjaya dan menyentuh hati awak..”
“I, juga cikgu yang…tak pernah buat pelajar I macam tu..”
“Itu baru separuh baca, dah menangis. Nak habiskan satu novel tu, you akan menangis berkali-kali lagi.”
Ha.Ha. Saya menerima beberapa sms, yang lebih kurang maksudnya, “apakah kau dalam proses beristeri dua?” Itu hanya catatan yang tak ada kena mengena dengan diri saya. Cuma anekdot yang berlaku di sekitar saya. Saya hanya ada seorang isteri, tetapi memiliki dua nama panggilan.
Suatu petang beberapa hari lepas, kami minum di Kedai Makan Raju, Jalan Cantek dekat PJ. Ketika kami (saya dan Sutung Umar RS) sampai, Datuk A. Kadir Jasin sedang membawa respon di dalam blognya. Dia menyatakan ramai yang berkunjung ke blognya yang tidak tahu berbahasa Melayu dengan baik, bahkan bahasa Inggeris mereka sebenarnya lebih baik. Kami disertakan oleh Malek Munip (bekas pensyarah Sejarah UM dan bekas MP). Percakapannya panjang dari ekonomi, politik tanah air yang meruncing, lukisan, sastera dan longkang di tepi kami yang mulai memberikan bau tak enaknya. Saya tak banyak bertanya, dan hanya ingin menjadi pendengar.