Monday, July 14, 2008

USMAN AWANG [12 Julai 1929-29 November 2001 ]
Rahimidin Zahari

Seperti Chairil Anwar, Usman Awang juga telah meninggal. Yang ditinggalkan segumpal sajaknya yang sukar lupus. Sajaknya diulang-ulang baca dan diulang-ulang dengar. Bahkan setiap hari sajaknya disiarkan di corong radio salah sebuah stesen ternama di Malaysia. Mendayu dan sayu. Dia pun pada zamannya menjadi idola ramai anak muda yang kepingin menjadi penyair atau menjadi penulis. Dia pengasuh yang baik. Dia abang yang memiliki ramai adik-adik. Dia guru kepada ramai penyair.

Zaman kecilnya yang sukar dan gelap menjadikannya manusia peka dan sensitif. Kehilangan ibu dalam jarak usia yang relatif teramat muda. Berpindah dan menumpang kasih ke rumah ibu saudara. Belangkas dan ikan-ikan di pantai Mersing lebih lama mengenalinya, meski pun jejak dan bekas tapak kaki kecilnya telah lama dihapuskan oleh hembasan ombak dan titisan hujan. Tetapi pastinya yang tidak akan hapus adalah sejumlah sajaknya. Sajaknya akan terus kukuh dibaca dan dikenang. Namanya akan sentiasa disebut-sebut.

Sajak-sajaknya terus hidup dan berkalung. Sajaknya puitis dan romantis. Kepada perempuan yang menjadi Kekasih dibisiknya:

Akan kupintal buih-buih
menjadi tali
mengikatmu
akan kuanyam gelombang-gelombang
menjadi hamparan
ranjang tidurmu

Dia penyusun bahasa yang pandai dan bijaksana. Halus jiwanya, lembut teratur susun katanya. Dia menyindir dengan santun. Tamsilnya tentang Melayu indah sekali:

Melayu itu maknanya bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka

Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipupun bersopan.
Berani jika bersalah
Takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak.

Dia menciptakan lagenda dan mitos tersendiri untuk dirinya dan sastera Melayu. Sempadan cinta kemanusiaannya luas melebar, melepasi ruang angkasa raya. Sajaknya sejak dulu sudah pun global. Lebih dahulu daripada kecanggihan dunia tanpa sempadan yang diwar-warkan kini. Dia mengirimkan Salam Benua ke negeri dan benua yang jauh:

I

mereka memisahkan kita
pasport wilayah segala tembok nama
mereka merompak kita dengan undang-undangnya
peluru dikirimkan dalam bungkusan dollarnya
kita dipaksa memilih salah satu
dan kita mesti memilihnya
tiada jalan lain.

“Di DBP, kita sudah tak ada orang macam Keris dan Tongkat,” keluh Baha Zain suatu petang beberapa tahun lepas di Rumah Pena kepada saya. Saya terkenangkan Usman. Sajak-sajak dan juga orangnya. Tak banyak yang saya boleh tulis pengalaman peribadi dengan beliau. Waktu saya mulai menulis, dia sudah pun pencen dari DBP. Dia sudah uzur dan jarang keluar ke majlis dan sebarang acara sastera.

Pertama melihat susuknya sewaktu hari Sastera di Kuantan tahun 1987. Saya masih di Tingkatan Enam ketika itu, mengambil cuti sekolah ikut rombongan Persatuan Penulis Kelantan (PPK) ke Kuantan kerana ingin jadi penyair. Di Taman Gelora, Usman Awang berbicara tentang puisi. Saya melihatnya dari jauh. Dan pada tahun tahun 1995, sewaktu Hari Puisi di Johor, dia anugerahkan Anugerah Penyair Johor dan saya hadir ke majlis tersebut. Pada tahun 1998 pula, di Temerloh (kebetulan saya mulai bertugas di Pahang) sewaktu pelancaran Memoir Pak Sako, dia yang telah pun uzur ikut sama hadir.

Saya yang hadir tiba-tiba dijemput untuk membacakan sajak di majlis tersebut. Saya bacakan sebuah sajak Latiff Mohidin yang ditujukan kepada Pak Sako dan sebuah sajak saya sendiri dari kumpulan Sekepal Tanah. Acara pun berlangsung, sejam setengah kemudian acara pun selesai.

Orang politik, birokrat dan penulis tanah air pun berbaris keluar Dewan Majlis Perbandaran Temerloh untuk pulang. Saya menepi memberi laluan. Usman Awang, penyair yang Sasterawan Negara itu menghampiri saya, menyalami dan mengucapkan tahniah. “Bagus bacaan tadi,” katanya kepada saya. Saya diam, tertegun dengan ucapan itu dan mengangguk. Begitulah seniman ternama tidak pernah merasa dirinya dikalahkan oleh kelahiran orang muda. Dia menjadi tukang kebun yang menyiram dan membajai bung-bunga. Dia menjadi lilin dan cahaya.

Pejuang Sastera, Anugerah Sastera Negara, Doktor Persuratan, dan Seniman Agung hanya anugerah yang dihulurkan oleh tangan yang memberi. Namun, apapun yang gelar yang dikalungkan kepadanya, atau kepingan anugerah yang dihulurkan tidak mampu membalas sumbangan dan jasanya yang besar dan bermakna kepada peradaban dan tamadun bangsa negara ini.

Seniman, meskipun jasadnya telah lama tiada, sumbangan karya yang ditinggalkannya akan sentiasa menjadi ingatan sejarah yang kekal abadi untuk bangsa. Dia bukan sahaja milik orang-orang Melayu, tetapi penyairan kebanggaan semua bangsa yang merasakan Malaysia ini bumi lahir dan tanah darah dirinya. Usman merupakan jambatan sastera dan kepenyairan yang merangkai tiga kaum terbesar di negara ini menjadi satu.

Dan pada 12 Julai 2008 telah diadalah acara Malam Sebutir Bintang Dalam Kenangan di Institut Terjemahan Negara Malaysia. Anak cucunya hadir, para teman dan sasterawan juga ikut serta. Paling terkesan apabila Datuk Rahim Razali tampil sebagai Jebat dan Zakaria Arifin tampil sebagai Tuah dari sedutan karyanya Matinya Seorang Pahlawan. Saya tertegun dengan ucapan dan dialog-dialog. Alangkah kalau karya itu dipentaskan semula secara penuh, atau mungkin sahaja Muzikal Uda dan Dara itu dipentaskan semula. Terpulang kepada waktu.

Usman Awang dan kawan-kawannya termasuk A. Latiff Mohidin antara yang mengasaskan penerbitan majalah Dewan Sastera yang masih berterusan sehingga ke hari ini. Tetapi sayangnya, sepanjang tiga tahun saya hadir ke majlis memperingatinya, saya tidak pernah terserempak dengan kawan-kawan dari Dewan. Mungkin nama Usman Awang telah terpadam segala budi dan jasanya di Dewan. Tetapi Horison di Indonesia masih mencatatkan nama Moechtar Lubis, HB Jassin, Zaini, dan nama-nama pendiri majalah tersebut. Tetapi biarkanlah, kita pulangkan kepada sejarah dan waktu jugalah untuk menentukannya.

4 comments:

Sham al-Johori said...

Wah, perjalanan memori yang indah. Saya setuju benar bahawa sejak Tongkat kembali ke negeri abadi, taida apa-apa yang dilakukan oleh rakan-rakan DBP. Menjawab persoalan ini bukan satu perkara yang mudah kerana tentunya akan melibatkan orang atasan. Dulu ketika Tongkat di DBP, dia tidak pernah membudayakan kerja protokol dan ada golongan atasan atau bawahan. Semuanya sama sahaja. Tapi kini, budaya kerja yang meletakkan prinsip atas dan bawah kian sukar dibendung. Apatah lagi nak turun padang waktu malam kemudian mementaskan Uda dan Dara atau Tetamu dari Bukit Kenney atau juga Matinya Seorang pahlawan kerana di DBP sendiri sudah lama mati seorang pahlawan terbilang.
Hehehe... tak marah, bapak tak marah.. nanti kena jual....

Rahimidin Z said...

Begitu tuan sheikh,
waktu pejabat kan dr jam 8 hingga 5petang je.

sahrunizam abdul talib said...

Usman sesekali tongkat yang menyokong, sesekali keris yang menikam!

Lembut tetapi tajam. Tajam yang dalam

dariana said...

sebuah skrip drama almarhum 'Serunai Malam' masih terpentas di dalam dewan ingatan saya.
sajak2 kemasyarakatan, perpaduan spt pak utih, ke makam bonda,buat guru uda dan dara, kekasih dll dll mengingatkan kepada almarhum yg mudah senyum tetapi sinis buat kepimpinan melaya dan massanya.
alfatihah.
almarhum idola sejati bagi penyair selepasnya, terukir tetap menghijau pada persada kesusasteraan melayu