Siri Sabak
Dengan perolehan terbaru dua buah karya lukisan cat air pelukis Mukhtar Ishak, menjadikan saya memiliki 10 buah karya pelukis tersebut. Kesemua 10 buah karya itu saya beli daripada pelukisnya sendiri. Empat buah daripadanya adalah Siri Sabak. Mukhtar Ishak antara pelukis cat air yang amat saya sukai sapuan warnanya. Dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan dan pesara guru seni lukis ini tidak pernah berhenti melukis walaupun telah mencecah usia 70 tahun.
Di samping empat buah Siri Sabak karya Mukhtar Ishak, juga terdapat sebuah Siri Sabak oleh Sabzali Khan yang mula saya kolek sejak tahun 1988. Sabzali Khan kawan satu rumah bersama-sama Maroof Seman, Salleh Yaacob, Farman Othman, Rahim Mat, Medalishah Mohamed dan Ramlan Sulaiman. Ketika itu kami tinggal di Sungai Gelogur, P. Pinang dan sama-sama belajar di Pusat pengajian Seni, USM pada tahun 1988/1989. Sabzali kini pensyarah di Pusat Kebudayaan, Universiti Malaya.
Sabak adalah pantai pertama tentera Jepun menyerang Tanah Melayu dengan mendarat di Kelantan pada tahun 1941. Kenapa mengumpul Siri Sabak? Sabak lebih 25 tahun lalu adalah antara pantai yang seringkali kami kunjungi sama ada ketika masih belajar, dan semasa menjadi guru sekolah. Tetapi Sabak hari ini berbeza dengan Sabak masa lalu. Sabak masa lalu telah tenggelam dalam deru gemuruh ombak Laut China Selatan. Kenangan itu tentunya hanya tertinggal dalam siri catan cat air yang saya simpan itu.
Mukhtar Ishak antara pelukis Melayu cat air terbaik negara ini di samping beberapa temannya seperti M. Zain Idris, Ismail Mat Husein, Rafie Rahman, Mansor Ghazalli, Sani Md. Dom dan beberapa orang lagi itu.
Untuk melihat pantai Sabak masa lalu, lukisan cat air Mukhtar Ishak adalah rakaman realiti secara berseni. Ratusan karya dari pelbagai sudut dirakam olehnya, tetapi sayang tak sebuah pun siri itu dibeli oleh Muzium Negeri Kelantan sendiri. Apalagi Balai Seni Lukis Negara yang gah dan hebat itu sudah tentu tak akan nampak bakat dan kehebatan sapuan warna pada cat air pelukis seperti Mukhtar ini.
Siri Sabak akan menjadi sejarah tersendiri dalam kehidupan seni lukis Mukhtar Ishak. Meskipun tanpa penghargaan dan penilaian sewajarnya, Mukhtar Ishak akan terus melukis. Tetapi Sabak hari ini adalah Sabak yang telah meruntuh dalam debur ombak laut.
Selebihnya, SM Zakir lebih maklum kerana tanah miliknya berada di dalam laut Sabak itulah. Tetapi sahabat saya SM Zakir boleh beli tanah baru di Pulau Gajah yang tidak jauh dari Pantai Sabak!
Nilai Persahabatan
Nilai persahabatan itu mahal harganya. Tengah hari Ahad yang menguap, saya memandu dari Kuala Lumpur ke Kuantan kerana menghadiri satu majlis kenduri kahwin anak kepada seorang sahabat. Saya selalu ingat sms guru saya, Haji Abdulhadi Muhamad dalam seminggu sekali makanlah sehidangan bersama alim ulamak.
Ujian
Semua orang dalam hidupnya akan mengalami ujian, cuma besar atau kecil sahaja yang membezakannya. Tentunya segala uji dan duga itu adalah sebagai satu peringatan kepada hambanya dan juga untuk menghapuskan dosa-dosa. Adik lelaki saya, Zawawi Zahari, guru di Institut Latihan Perindustrian Ipoh di Jelapang terjatuh di sebuah kedai makan di Ipoh tengah hari Isnin. Dia tak sedarkan diri dan dihantar ke Hospital Besar Ipoh. Lebamlah sebelah muka dan pipi kirinya.
“Masa jatuh dah makan atau belum?” Tanya saya.
“Tak ingat. Celik mata dah di hospital.”
“Sikit je tu.” kata saya.
Malam tadi saya memandu dari Ipoh ke Kuala Lumpur dalam hujan yang melebat. Hujan hanya mereda ketika singgah di R&R Ulu Bernam.
5 comments:
Laa ya ke Awi jatuh n sampai masuk hospital? Saya tak leh lupa rambut kerinting dia tu masa MPR di DBP...lupa dah tahun bila...dah kahwin ke dia?
Kakchik,
MPR 1988.
Dah, anak dah lima orang dah.
Alhamdulillah...harap dia cepat sembuh...o ya tahun 1988..sama dengan sayalah...
saya mohammed zaki, pelukis tertarik dengan esei saudara. saudara mencatit nama seorang kawan saya. saudara menceritakan tentang pengalaman di Sabak yang kebetulan saya juga begitu kesana dulu. saya jemput saudara lawati laman saya di: http://mulyaki.blogspot.com
Post a Comment