Solat
Ibu mertua saya, Hajah Zainah Mohd. Hussain, memiliki perwatakkan yang pada isteri saya banyak persamaan dengan ibunya, Hajah Siti Aisyah Mohd Salleh. Dia dihormati oleh anak-anak saudaranya, termasuk sesiapa yang pernah mengenalnya. Dia bidan kampung, seperti ibu saya. Yang saya nampak, ibu mertua saya tak pandai berlakon; biasanya apa-apa yang tak disukai akan terzahir di wajahnya sebagaimana arwah ibunya. Saya menantunya yang paling sibuk dan kononnya kurang berbasi-basi. Saya tak pernah tanya, “Mek nak ke mana?”, atau akan menghantarnya ke mana-mana dia hendak pergi. Tetapi dia yang akan tanya atau telefon saya, “Mi, ada kerja tak? Mek, nak ajak ke…?” Dan saya, (kalau pun ada hal lain, biasanya saya akan batalkan) dan katakan ok, atau nak pergi jam berapa?.
Yang saya tahu daripada isteri saya kemudiannya, ujian pertama ibu mertua adalah paling mudah. Dia akan menguji menantu-menantu lelakinya tanpa menyuruh sesuatu, tetapi dengan memerhati.
“Apakah ujiannya?” Tanya saya kepada isteri.
“Solat, dan paling mudah mengukurnya pada solat Subuh.” kata isteri saya. “Solat lain, bukan pada waktu tidur, kalau Subuh terlepas atau tak pernah solat subuh…Mek akan hilang respect selamanya.” Kalau tak solat dia tak hairan satu sen pun walaupun memiliki kekayaan yang melimpah ruah. Dia tak pandang sebelah mata. Dia tak boleh dibeli dengan basa-basi. Dan saya berjaya lulus ujian itu, walaupun tidak pandai berbasa-basi.
Mak Tuk
Nenek saya, Hajah Mek Jah bt Awang, kami memanggilnya Mak Tuk. Kata adik lelakinya, Hj Muhd Zain (datuk saudara saya dan guru sekolah rendah saya) umur kakak sulungnya itu sudah 94 tahun. Dalam icnya, dia lebih muda, sekitar 87 tahun. Mungkin icnya itu betul dan mungkin juga salah. Ayah saya anaknya yang sulung dilahirkan pada tahun 1941, ketika Jepun mula mendarat di Pantai Sabak, tetapi dalam icnya dilahirkan pada tahun 1944. Mak Tuk kami selalu sebutkan, ayah saya dilahirkan rendah kerana badi tentera Jepun.
Mak Tuk tak pernah ke sekolah, tetapi dia setiap hari membaca Quran. Matanya masih ok. Saya tanya:
“Kenapa Mak Tuk tak ke sekolah?”
“Wa (emaknya, yang kami panggi; Wa Lumat) kamu tak bagi.”
“Kenapa?”
“Takut dilanggar kereta.”
“Berapa buah kereta yang ada di Kubang Kerian ketika itu?” (Sekitar 1926-27)
“Sebuah.”
Saya tanya lagi, “kereta apa Mak Tuk?”
“Kereta lembu”.
Saya bersalam untuk pulang dan mencium pipinya, anak saya, Adib sempat mengambil beberapa keping foto moyangnya itu.
Bekwah adalah sama dengan majlis kenduri. Kebiasaannya bekwah bukan sahaja untuk kenduri kahwin atau sekarang ini disebut sebagai walimatul urus, tetapi melibatkan acara khatam quran, bersunat, bertunang dan segala adat istiadat. Sebelum berbekwah adik akak atau saudara jauh dan dekat akan dijemput hadir. Sebelum berbekwah, pelbagai acara akan berlangsung dengan wayang kulit, dengan silat, bahkan sehingga tujuh hari tujuh malam. Tetamu yang hadir tak bawa periuk elektrik, kipas angin, pinggan mangkuk seperti hari ini, tetapi biasanya membawa susu, gula atau beras. Tetapi sekarang lain, kenduri sekarang hulur sampul yang ada duit di dalamnya. Lagi besar lagi hebat, lagi banyak wang yang dapat. Kalau nak hebat lagi buatlah kat hotel-hotel besar.
Paling tidak saya hadir ke tiga majlis bekwah atau kenduri kahwin. Pertama majlis perkahwinan sepupu isteri saya, keduanya dua pupu saya yang rumahnya sebelah rumah ayah saya, dan ketiga sepupu saya, (anak saudara emak saya) yang jaraknya beberapa meter sahaja dari rumah kami. Ketiga-tiga majlis bekwah yang saya hadir ini semuanya, tanpa pengelan, tetapi makan dan baik ke rumah.
Ramailah bertemu dengan kawan lama yang bertahun-tahun tak pernah bertemu.
Ketika saya sampai di halaman rumah, ayah berada di beranda seperti menanti seseorang. Beberapa tapak bila saya melangkah keluar dari kereta, ayah nampak sebak. Dia betul-betul sebak dan menangis. Saya menyalami dan mencium tangannya. Saya bagi salam. “Ayah sihat?” tanya saya. Dan dia diam. Memang tak ada percakapan antara kami.
6 comments:
Itu lah hati seorang ayah,yang kesunyian menanti seorang anak kembali kepangkuannya,satu waktu diri ku juga begitu melihat seorang ayah dan ibu membuat hati ku sayu....kerana diri ku tidak lagi memiliki mereka kerana tuhan lebih sayang pada mereka...kepada yang masih lagi memiliki ayah dan ibu..mengertilah perasaan mereka ...bukan dengan menghulur seratus atau dua ratus ,bukan menghulur kasih sayang tapi seluas saujana mata memandang kesayuan tersebut........lantas terfikir aku.......yang pasti mereka sentiasa di hati kita.
klasiknya ujian emak mertua sdr...dan sulitnya nak mentafsir perbualan senyap antara anak dan ayah...anda sangat beruntung kerana masih ada ayah...saya dah yatim...
e
y
d
d
bapa kita sama...kita nanti bila tua macam tu ka?
1. mertua kita hampir sama. Agaknya depa lulus "universiti" yang sama - dan saya juga jenis yang tak reti berbasa basi. Bezanya dia bukan bidan.
2. Saya dan ayah juga begitu -sejak saya kecil.Bercakap bila tersa perlu. Selebihnya, isyarat mata adalah segalanya. Dia akan mula bercakap banyak dengan saya bila saya mulakan... "mahfuz apa khabar, mat sabu apa cerita..." dan seputar "cerita" seperti itu! Saya selalu percaya, di kebun getahlah, ayah saya mendalami ilmu "sains Politik."
Saya kira generasi bapak/ayah kita barangkali kebanyakannya begitu. Tak tau basa basi, depa pakar dalam body language...
cik sha,
saya sedih sangat bila baca catatan awak.
kakchik,lutfi,dan rh.
itulah yang saya lihat antara ayah dan arwah datuk saya. kita juga akan sampai pada titik yang sama.
Post a Comment