Sunday, January 20, 2013

pandangan

apabila ditemui sejumlah mahasiswa, sama ada untuk penulisan Diploma, Ijazah Kedua, Pasca Sarjana mahupun PhD., saya seboleh mungkin mengelak untuk bercakap tentang institusi tempat saya bekerja. saya tidak ada autoriti, dan kalau pun saya diberikan autoriti, saya juga sangat tidak berminat. kalau pun saya 'terpaksa' bercakap, maka bercakapan itu sekitar ruang tugas saya yang terpikul sebagai penjawat awam. saya secara peribadinya sangat sedar diri dan sedar ruang. kalaulah saya bercakap tentang puisi, sastera, teater atau pun seni tradisi - sudah tentu saya mewakili diri saya sebagai penyair dan penyelidik budaya. saya sama sekali tidak bercakap mewakili institusi tempat yang kebetulan saya bertugas.

harus diingat, sebuah pandangan peribadi bukanlah pandangan institusi. bahkan sama sekali tidak wajar dihubungkan institusi. menghubungkan pemikiran saya yang kalaulah sering berbeza dengan orang lain di dalam institusi yang sama merupakan satu pilihan yang tidak tepat.

kepada sahabat saya, selamat mendirikan rumahtangga!

Tuesday, January 15, 2013

Menulis Cerpen

Sudah lama saya tidak menulis cerpen. Cerpen awal saya tersiar di majalah Dewan Sastera kalau tidak silap sekitar November 1989 dengan judul "Ratni dan Gelanggang Persilatan". Bayangkan saya menulis cerpen untuk Dewan Sastera untuk Disember 2012 dengan "Membajak Langit". Entahlah yang saya tulis itu cerpen atau pun bukan! Terpulang kepada editor yang menyiarkannya. Dan juga pembaca. Dalam TI majalah baru terbitan DBP, Januari 2013 saya menulis "Sekilas Pertemuan". Entahlah itu cerpen atau pun bukan! Cuma yang boleh saya katakan, saya sedang belajar menulis cerpen.

Monday, December 3, 2012

tiga lelaki

Saya juga sangat suka dengan foto ini. Rizduan Harun di sebelah kanan dan Dr. Mohd. Hanafi Ibrahim di sebelah kiri. Terlupa siapakah yang mengirimkannya kepada saya. Mungkinkah Ridzuan Harun yang sangat muda remaja ketika itu yang mengirimkan?  Yang saya ingat, ini antara salah satu acara MPR yang sangat meriah dan dinanti-nantikan oleh mantannya. Itu suatu ketika dahulu. Tetapi kini, saya tak pasti lagi. Kemeriahan itu berbeza mengikut siapakah pegawai projek yang menjadi penajunya.

Sunday, December 2, 2012

tokoh(?)

Bertemu secara tak sengaja, dan saya sebenarnya cuba mengelak apabila ternampak pak cik ini. Bukanlah sebab saya sombong seperti biasa, tetapi kerana dia tidak pernah kenal saya walaupun, mungkin kami telah bersua muka hampir 100 kali - sama ada di Rumah PENA, di Dewan Seminar DBP, di Aswara dan pelbagai tempat di Kuala Lumpur. Tetapi tengah hari semalam, saya terserempak lagi, dan kali ini dia sedih kerana PENA menolak permohonan untuk pelancaran bukunya, dan organisasi yang sepatutnya juga menolak. Dia bercerita dan saya terpaksa mendengar dengan senyum yang sangat kelat.

Dia bercerita lagi, tentang tokoh itu dan tokoh ini yang menghargainya. Bukunya dipilih oleh negara kerana kepentingan isinya. Dia juga mulai memberi bengkel dan ceramah di pelbagai pusat pengajian tinggi awam. Dia telah berjaya menokohkan dirinya sendiri. Walaupun tulisannya tidaklah baik dan mengikuti ciri sebenarnya genre yang ditulisnya. Cara penyampaiannya yang lintang pukang kerana gagal membezakan jenis-jenis puisi tradisional tersebut. Yang saya tahu setiap penyampaian puisi tradisional itu berbeza antara satu genre dengan genre yang lain. Saya teringatkan arwah Iladam dahulu. Moga buku-buku arwah  bermanfaat untuk peminat genre tersebut.

Memang saya lebih tahu daripadanya tentang bidang yang dia omongkan dengan saya. Saya lebih faham pantun, syair, dan gurindam walaupun saya tidak menulis dalam genre tersebut. Tetapi apabila berdepan dengan orang yang lebih tahu, maka saya akan mengambil sikap yang mudah - bahawa saya tak tahu apa-apa pun. Tetapi mengikuti kawan saya pula, sewaktu 'tokoh' ini menjadi pengetua sekolahnya  dulu, dialah yang bertanggungjawab menutup subjek sastera di sekolahnya.

Habis bercerita  tentang episod bukunya yang ketiga, dia bercerita pula tentang anaknya yang juga menulis dan dalam proses menyelesaikan sarjananya. Anaknya sangat hebat di matanya. Mujurlah hari ini, hari yang   kesabaran saya sangat luar biasa, dan saya menahan kesabaran itu  sungguh-sungguh. Sepatutnya saya sebutkan yang anaknya itu bekas peserta bengkel penulisan saya dan antara yang paling tidak berbakat!

Moga anda akan berjaya menjual diri anda dengan lebih cemerlang. Dan kelak ketika itu saya akan menokohkan anda sebagai benar-benar tokoh!

Thursday, November 29, 2012

menemui sahabat lama

Acep Zamzam Noor, ambo dan Agus Noor
Menemui sahabat lama, di tempat yang jauh ribuan batu secara tidak dirancang merupakan momen yang sangat menarik. Saya mulai mengenal Acep sejak tahun 1995 ketika sama-sama mewakili negara ke Second Asean Writers Conference di Hotel Hikko Garden, Manila dan Agus Noor  sewaktu Pertemuan Penulis Asia di Kuala Lumpur 2001. Apabila penulis bertemu penulis, tentu ayat pertamanya, 'apakah judul buku baru kamu?'

Sunday, November 18, 2012

tentang anugerah

Anugerah yang paling disyukuri, adalah  hidayah dan petunjuk dari Allah SWT supaya kita sentiasa berada di jalan-Nya, jalan kebenaran dan bukannya jalan yang membawa kepada kesesatan. Syukur alhamdulillah, apabila diberikan nikmat kesihatan, anak-pinak yang berjaya, rumah tangga yang aman tenteram, rezeki yang melimpah dari usaha tekun dan  semuanya bersiklus di atas paksi kehidupan dengan izin-Nya jua.

Apabila, sunti saya mengucapkan hari ulangtahun perkahwinan yang ke 18, maka telah 18 tahunlah kami melayari bahtera rumah tangga. Dan tentunya saya bukanlah muda lagi, dan anak-anak telah pun bertambah sasa sosoknya. Saya pun merenung tentang anugerah rumah tangga dan anak-pinak yang sedang membesar di hadapan mata. Betapa terlalu banyak, masa saya tersisih daripada mereka kerana mengejar kehidupan dunia yang sementara.

Friday, November 16, 2012

manusia

Foto:?
Saya
mencari saya
dan memang
saya ada
antara
sekian ramai
manusia