Friday, August 8, 2008

Perempuan, Isteri….Puisi, dan Lukisan

Selepas waktu pejabat satu petang, saya berkunjung ke pejabat sahabat saya, Uwei Haji Saari. Wah terkejut saya. Koleksi lukisan, arca, buku, cd/dvdnya luar biasa banyak.

“Lukisan aku itu baru 1/3. 2/3 lagi kat lain.”

Rupanya Uwei banyak memiliki masterpiece karya pelukis dan arcawan ternama. Saya fikir banyak koleksinya lebih baik dari BSLN. Kami turun minum.

“Siapa yang pernah tengok koleksi abang?”

“Kalangan pelakon hanya Eman dan Wak. Lain-lain aku tak pernah bawa.”

“O.”

“Celaka kau Din. Malam tadi aku baca buku kau. Siapa Liza dalam sajak kau, Din?”

“Isteri saya bang.”

Selepas solat maghrib di pejabatnya, saya mohon pulang. Uwei hadiahkan sebuah karya cetak oleh Zuli.

Memori Seorang Guru

Sewaktu memandu dari Batu Muda ke Hospital Kuala Lumpur, saya hairan apabila isteri saya terisak.

“Apa halnya ni?”

“Kawan awak, Ustaz Azizi kenapa dia buat Midun dan Sakinah macam tu. Saya juga cikgu…tak pernah jumpa cikgu yang macam tu..”

Saya tergelak.

“Jangan samakan realiti kehidupan sebenar dengan karya sastera. Ustaz Azizi Haji Abdullah tu novelis, sasterawan. Ceritanya telah berjaya dan menyentuh hati awak..”

“I, juga cikgu yang…tak pernah buat pelajar I macam tu..”

“Itu baru separuh baca, dah menangis. Nak habiskan satu novel tu, you akan menangis berkali-kali lagi.”

Tentang Entri Beristeri Dua

Ha.Ha. Saya menerima beberapa sms, yang lebih kurang maksudnya, “apakah kau dalam proses beristeri dua?” Itu hanya catatan yang tak ada kena mengena dengan diri saya. Cuma anekdot yang berlaku di sekitar saya. Saya hanya ada seorang isteri, tetapi memiliki dua nama panggilan. Ada pelajarnya yang memanggil “Cikgu Ros”, dan ada yang memanggil “Cikgu Liza”. Begitu juga dengan panggilan oleh kawan-kawannya, “Ros” atau “Liza”. Dua nama panggilan itu sebenarnya untuk orang yang sama. Beruntungnya saya kerana ada satu isteri yang memiliki dua nama panggilan.

Bahasa Melayu

Suatu petang beberapa hari lepas, kami minum di Kedai Makan Raju, Jalan Cantek dekat PJ. Ketika kami (saya dan Sutung Umar RS) sampai, Datuk A. Kadir Jasin sedang membawa respon di dalam blognya. Dia menyatakan ramai yang berkunjung ke blognya yang tidak tahu berbahasa Melayu dengan baik, bahkan bahasa Inggeris mereka sebenarnya lebih baik. Kami disertakan oleh Malek Munip (bekas pensyarah Sejarah UM dan bekas MP). Percakapannya panjang dari ekonomi, politik tanah air yang meruncing, lukisan, sastera dan longkang di tepi kami yang mulai memberikan bau tak enaknya. Saya tak banyak bertanya, dan hanya ingin menjadi pendengar.

Friday, August 1, 2008

Buku Saya Sepanjang Julai

Saya mengumpulkan 27 buah sepanjang bulan Julai. Tak semua buku-buku ini saya beli, kerana ada sebahagiannya hadiah daripada kawan-kawan. Antara hadiah kawan-kawan, Haji Shamsudin Othman memberikan saya empat buah buku: Jenjang-jenjang Sufisme oleh Syeikh Fadhalalla (Pustaka Pelajar:2000), Fenemone Gapena (Gapena:2008), Luka Tunggal oleh Aljandra Pizarnik (2005) dan Menggeledah Nurani oleh Fahd Razy (2008). Amir Utusan menghadiahkan Abdullah Ariff Seratus Tahun (BSLN:2007?), Jusoh Majid, Kesusasteraan Melayu dan Kesusasteraan Dunia: Satu Pertembungan (2007), Togari Yasuko menghadiahkan Dimensions of Shadow Play (2006), Dr. Ibrahim Ghaffar memberikan antologi puisi terbarunya Kembali Dari Dalam Diri (Wak: 2008), Amin Sweeney menghadiahkan dua bukunya Karya-karya Lengkap Abdullah Munsyi Jilid II: Puisi dan Ceretera (2006) dan Karya-karya Lengkap Abdullah Munsyi Jilid III: Hikayat Abdullah (2008). Juga terdapat dua kumpulan puisi Latif Kamaluddin Jembalang Jiwa (2006) dan Bed Breath (2002).

Manakala buku yang saya beli, Weltanchauung Sebuah Perjalanan oleh Shahnon Ahmad (DBP:2008), empat jilid Mengakar Ke Bumi Menggapai Ke Langit oleh Taufiq Ismail (Horison:2008) berharga 500.00. – Kalau beli di Jakarta pun harganya sekitar RM350, kena usung ke air port, kena timbang lagi kat air port, lalu beli saja di KL. Tunjuk Ajar Melayu oleh Tenas Effendy (2006) edisi kulit keras, Mamanda oleh Hermansyah (2007), Perahu Melayu oleh Johar Buang (2005), To’ Janggut- Legend Hostories and Perceptions (NUS: 2006) oleh Cheah Boon Kheng (Tahun lepas harganya 126.00 saya beberapa angkat dan letak. Kini saya belinya dengan harga 40.00). Tuhan dan Hal-hal yang Tak Selesai (2007) oleh Goenawan Mohamad, Rasuah (DBP:2002) oleh Syed Hussein Alatas, dan Budaya dan Imperialisme (ITNM:2008) oleh Edward W. Said.

Nilai belian buku saya sepanjang julai RM842.95.

Buku-Buku Langka

Saya tak sedar, rupa-rupanya saya memiliki banyak juga buku-buku langka yang tidak terjual di pasaran dan telah dicetak lebih lama dari usia saya. Simple Malay Grammar oleh R.O. Winstedt (cetakan tahun 1949) dan Ilmu Mengarang Melayu terkarang oleh Za’ba cetakan aksara jawi 1956. Saya memiliki tiga edisi Ilmu Mengarang Melayu yang berbeza.


Thursday, July 31, 2008

Saya Memanggilnya, Ayah Ku!

Akhirnya dia berangkat menemui Yang Maha Pencipta. Pada Sabtu, 14 Jun 2008 dia beria-ria ingin menemui kami, Sutung Umar RS dan saya di IB. Dan dia sampai selepas maghrib. Kami memberinya dua pilihan, sama ada untuk menonton P.Ramlee The Musical atau bersama-sama perkena teh di Laman Santai. Kalau menonton, dia inginkan kami masuk bersamanya. Tetapi akhirnya dia memutuskan ingin ke Laman Santai. Dan kami berada di meja Media dari jam 8.30 hingga 11.30 malam. Ada banyak cerita yang kami bicarakan. Paling terkesan, dia menyebutkan bahawa selepas setiap kali berdoa selepas solat, dia panjatkan doa untuk sahabat-sahabat baiknya. Abdulaziz HM dan Abdullah Tahir, seringkali disebutnya. Bahkan setiap kali bertemu, dia akan mengulanginya.

Ahad, 27 Julai yang panas di Hospital Serdang. Dia ingin berbicara dengan payah. Anggukan dan bahasa matanya membuatkan saya amat mengerti. Sebak itu saya simpan jauh di ujung kalbu. Seboleh mungkin saya cuba sembunyikan daripada Shamsudin, mahupun Ridzuan. Ada banyak cerita dan ada nasihat peribadinya untuk saya. Malam tadi, berakhirlah sudah cerita dan nasihatnya. Saya tak akan temui lagi orang yang boleh ‘memarahi’ saya.

Apabila menerima sms Syed Zakir pada jam 12.01 minit malam tadi, saya terus menelefon Sutung. Dan kami terus ke Bangi bersama Amiruddin dan Saleeh Rahamad. Sewaktu bersila di tengah surau membacakan Surah Yasin awal dinihari, saya tidak sesebak ini. Barangkali tak ramai kawan penulis yang tahu panggilan saya untuknya. Hanya Syed Zakir yang tahu, saya memanggil abahnya sebagai Ayah Ku. Entri ini terpaksa saya hentikan di sini…Al-Fatihah.

TENTANG SEORANG YANG BERNAMA AMIN SWEENEY
oleh:
Rahimidin Zahari

Amin Sweeney seorang Irlendia. Ketika masih remaja dia sampai di Malaysia. Menjadi guru dan mengambil HSC di Kelantan. Dalam dunia akademik, dia tokoh besar. Gelar profesor emeritus dalam bidang pengkajian Melayu dianugerahkan oleh Universiti California, Berkeley, Amerika Syarikat, tetapi kini dia menetap di Jakarta, tetapi masih warganegara Malaysia.

Ketokohan dalam bidangnya pasti tiada tandingan setakat ini. Buku-buku kajiannya tentang budaya, menarik dan memikat untuk diteliti. Buku-bukunya antara lain seperti Malay Shadow Puppets (British Muzium:1972), The Ramayana and The Malay Shadow (Universiti Kebangsaan Malaysia: 1972), A Full Hearing, Orality and Literacy in the Malay World (University of California Press: 1987), dan A Malay Word Music (Dewan Bahasa dan Pustaka: 1994) dijadikan bahan kajian dan rujukan yang bermakna apabila berbicara mengenai dunia sastera lisan dalam kesusasteraan Melayu.

Buku-buku tulisan dan penyelidikan Amin Sweeney selalunya serius. Dia mengajak kita untuk berfikir dan menilai tentang isu yang dibicarakannya. Tentang sarjana yang seorang ini, ada banyak sisi menarik yang boleh dipelajari daripadanya. Pertama dia tidak suka kepada gelar-gelar kebesaran (termasuk gelar akademik). “Aku senang dipanggil Pak Cik, atau Encik Amin…”

Dia barangkali antara contoh mat salih yang telah sebati dengan budaya dan kehidupan Melayu. Dia merendah, dan tidak bercakap bahasa Inggeris pun dengan saya. Bahkan dia lebih senang menggunakan loghat Kelantan yang pekat, negeri yang menemukannya dengan pelbagai kemungkinan kehidupan budaya.

Wayang Kulit, menjadi kepakarannya, bahkan selepas 50 tahun merdeka, kajian Amin Sweeney masih unggul sehingga kini. Tentang Wayang Kulit Kelantan, sehingga kini belum ada kajian yang lebih baik selain yang pernah dikerjakan oleh Amin. Ketika kajian itu dibuat, Amin menyatakan dia telah temui 300 orang dalang Wayang Kulit di Kelantan. 300 orang! Ini membayangkan betapa meriahnya suasana seni wayang kulit ketika itu. Berbanding hari ini, dalang yang ada di Kelantan (yang masih aktif) tidak sampai 10 orang. Betapa dalam jarak waktu tidak sampai 40 tahun, kesenian wayang kulit menjunam menuju kepada titik pupus.

Bertemu beliau di cafĂ© Hotel Mandarin Court, Jalan Maharajalela, Kuala Lumpur, memberikan beberapa sudut pandangan yang menarik. Malaysia baru menyambut kemerdekaan tanahair yang ke 50, lampu masih berkerlip di bangunan tinggi seluruh ibu kota, dari puncak tertinggi sehingga sampai ke tingkat paling bawah. Bendera jalur gemilang juga berkibar sepanjang jalan. Beliau menyatakan, “Bangsa aku dijajah 800 tahun, bangsa kau baru 400 tahun.” Maksud mudah yang saya faham, isilah kemerdekaan itu dengan penuh makna dan tanpa disia-siakan.

Dia menghulurkan buku barunya Karya Lengkap Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi Jilid 1 (Kepustakaan Populer Gramedia: 2005). Buku ini menarik kerana Amin memberikan tafsiran yang lain kepada Abdullah. Abdullah biasanya dihukum sebagai talibarut Inggeris, dan pelbagai tafsiran yang buruk oleh sarjana Melayu. Mereka marahkan Abdullah yang menegur segala tingkah dan perangai orang Melayu yang kononnya suka makan benda-denda yang busuk, dan rumah yang kotor. Tentang tulisan dan catatan Abdullah ada yang memuji melangit dan ada yang mengeji. Ramailah sarjana dan orientalis yang menulis tentang karya Abdullah. (catatan lama 2 tahun lepas).

Catatan tambahan:

Selepas pertemuan itu, Amin datang lagi ke Kuala Lumpur beberapa kali. Dan terbaru Amin sampai ke Kuala Lumpur pada Ahad lepas, dan malamnya kami keluar minum di Seksyen 16 Petaling Jaya. Petang semalam Amin singgah di Istana Budaya dan akan kembali ke Jakarta pada petang ini. Kalau dua tahun lepas saya dihadiahkannya dengan Karya Lengkap Abdullah bin Abdul Kadir Munsi Jilid 1, kini saya menerima dua jilid sambungan buku itu dengan judul Jilid 2 Puisi dan Ceretera (KPG: 2006) dan Jilid 3 Hikayat Abdullah (KPG:2008)

Temuan kajian Amin tidak. Banyak tulisan Abdullah disunting dan diubah. Abdullah menulis dengan jujur, tetapi banyak tulisannya dilupuskan oleh suntingan yang tidak bertanggungjawab. Dan ramai pengkaji merujuk karya-karya Abdullah yang telah disunting. Penemuan karya asal Abdullah oleh Amin membuka cakerawala baru. Abdullah bukan budah Inggeris. Abdullah cerdik. Abdullah genius. Seolah-olah bangsa Melayu memerlukan munculnya orang seperti Abdullah.

“Yang baik aku royat baik, yang tak baik aku royat taik!”

31 Julai 2008


Tuesday, July 29, 2008

Ciuman

Tentang ciuman ini ada banyak tanggapan. Ciuman kasih sayang berbeza dengan ciuman bernafsu. Kata sahabat saya, ciuman itu satu penghormatan yang tinggi seseorang kepada seseorang yang lain. Nampaknya dalam kehidupan orang Malaysia hari ini, bercium-ciuman bukanlah hal yang luar biasa lagi. Di tempat sunyi mahu pun di tempat awam, orang yang macam Melayu(?) ini sudah tidak segan silu lagi untuk bercium-ciuman. Yahudi yang kita pelihara di dalam rumah kita nampaknya telah berjaya mengajar kita ilmu cium mencium ini. Soalnya, bagaimanakah kalau yang dicium itu bukan muhramnya? Bersalam-salaman bagi yang bukan muhram itu jelas dan nyata haramnya, tentulah bercium itu lebihlah lagi. Teringat saya akan Islam Hadhari.

Petua Berkahwin Dua

Seorang kawan saya, pensyarah di salah sebuah universiti tempatan memberikan petua berkahwin dua selepas makan tengah hari pada satu hari minggu yang entah bila, saya lupa.

“Ada petua ke?” tanya saya.

“Ada.Dan saya telah amalkan.” Tegasnya dengan muka yang serius.

“Iya?”

“Kau nak cuba?”

Saya gelak.

“Mudah saja kawan. Bila kau berada di rumah isteri pertama, kau lupakan isteri kedua. Bahawa yang kedua itu tidak pernah wujud, sakit minum, makan pakainya anggaplah tak ada. Bayar bil, sewa rumah, ke pasar beli sayur biarlah dia pandai-pandai sendiri. Begitulah kalau giliran di rumah yang kedua, anggaplah pula yang pertama tidak ada. Mudah kan?” dengan bersungguh dia menjelaskan kepada saya.

“O..begitu..” kata saya.

“Lagi satu aku nak pesan, kalau pagi minggu berderet-deret dengan bini kau ke pasar tani atau pasar minggu beli sayur, jinjing raga ikan, tak usahlah kau nak beristeri dua.” Nasihatnya pula.

Dan saya, seperti juga sahabat saya Haji Shamsudin Othman tentulah gagal untuk mengamalkan petua kawan pensyarah ini kerana kami apabila hari minggu sama-sama menjinjing raga ikan ke pasar minggu. Tapi tak tahulah pula dengan sahabat kami, SM Zakir?

Beristeri Dua

Saya teringatkan ustaz kawan baik saya yang pernah menasihati kawan baik kami yang berhasrat ingin beristeri dua.

“Kalau kau nak kahwin juga, jangan berfikir dengan 100 kali, tetapi berfikirlah seribu dan beribu-ribu kali. Selepas itu kau buatlah keputusannya. Kerana yang ingin berkahwin itu kau dan bukannya aku.”

Selepas menerima nasihat itu, kawan saya itu teruskan juga hasratnya untuk berkahwin. Tetapi tidak sampai dua bulan dia datang menemui saya.

“Aku telah silap. Isteri kedua aku terdapat 40 kekurangan berbanding dengan isteri pertamaku yang cantik dan amat baik.”

Dan saya diam tak memberikan apa-apa komen.

Monday, July 28, 2008

Damai Di Kampung
Rahimidin Zahari
Konsep Ogos 2008





Friday, July 25, 2008

Air Mata Dalang

Saya tak tulis cerpen sudah 10 tahun. Selalunya cikgu saya, penyair Rosli K. Matari setiap kali berjumpa akan mendesak saya suruh tulis cerpen. Tulislah juga dua tiga baris, lepas itu tak menjadi. Terkejutlah juga bila Malim Gozali PK sms dah baca Air Mata Dalang. Saya hantar dan tak fikirpun akan disiarkan. Apabila berhenti lama dan ingin memulakan kembali, saya bermula dengan langkah yang pertama. Tapi Malim Gozali PK sendiri lagi lama berhentinya dah 14 tahun. Sekarang dia menulis semula. Saya lampirkan cerpen saya yang tersiar di Dewan Budaya, Ogos 2008


Koleksi Lukisan Saya


Saya kolek dua koleksi baru. Pertama potret SN A. Samad Said (2006) karya Aris Aziz dan keduanya Sketch Book pelukis Nur Azmi Mukhtar (2008).

Potret A. Samad Said adalah antara lukisan potret Aris Aziz yang menyimpan beribu rahsia dan tafsiran. Renungan wajah di dalamnya jauh dan sayu menggambarkan masa lampau. Renungan yang menyimpan nilai estetika dan bancuhan inteltual seorang sasterawan dalam garis dan warna seorang pelukis. Cara Aris menyorot wajah A. Samad dari sisi, dengan palitan yang ditebalkan pada wajah. Warna perang dan suram seolah-olah merenung sisa-sisa dan kesab dahsyatnya perang masa lalu yang pernah dialaminyua secara reality. Wajah itu adalah wajah yang merenung dan amat membenci perang yang kita temui dalam novel-novelnya seperti Salina, Sungai Mengalir Lesu, Di Hadapan Pulau dan Adik Datang. Potret A. Samad Said ini adalah potret yang menceritakan tentang nasib bangsa di masa lampau, dan sebuah perenungan dunia kesenian, sastera dan budaya Melayu di masa hadapan.

Sketsa Nur Azmi tentulah sebagaimana pelukisnya, Si Mi Mambo di Kuala yang berubah-rubah watak dan gaya. Dia melukis seada akan segala masa lampaunya yang hilang. Walaupun mempunyai degree dari UiTM, tetapi dia meneruskan karya seni lukisnya yang berbeza dengan teman-teman yang berkelulusan yang sama. Nur Azmi melukis apa yang ingin dilukisnya, dan dia sama sekali tidak ingin terikat dengan apa yang dipelajarinya.

40 buah Puisi

Saya sedang menulis 40 buah puisi, dan separuh daripadanya telah pun saya selesaikan. Sebelum berakhir tahun 2008 ini, doakan saya berjaya menyelesaikan penulisannya. Saya sertakan sebuah puisi pendek:

Sajak Kambing Hitam

Kesian kambing putih
yang telah kauhitamkan
yang tertinggal
embeknya yang
tidak lagi
kedengaran.

6 Julai 08
JB-KUL
7.15pagi.