Tuesday, February 19, 2013
Hadiah Buku
Saban bulan saya menerima hadiah buku. Hari ini saya menerima hadiah buku daripada salah seorang Kekanda saya yang tidak perlu saya sebutkan namanya di sini. Buku tersebut berdasarkan sebuah Syarahan Profesor yang diterbitkan oleh universiti tempat profesor tersebut bertugas. Bila buku syarahan tersebut menyentuh tentang makyung, main teri dan beberapa jenis teater tradisional Melayu - maka hal tersebut tentunya berkait sedikit dengan bidang yang saya suka. Walaupun saya bukanlah sarjana, apabila calon MA dan PhD. Tetapi buku ini mempamerkan kecacatan yang ketara apabila 'tok teri' disebut 'tok bomoh' dan nama salah sebuah fotonya diberikan penjelasan yang salah. Itu hanya sekali belek. Saya pasti ada banyak lagi kejanggalan dalam buku ini. Hal ini tidak sepatutnya dilakukan oleh profesor dalam pakar dalam teater moden dan tradisional Malaysia.
Monday, February 18, 2013
Tahu dan Tidak Tahu
Kalau ada orang kata berurusan dengan saya, susah - itu sebenarnya tidak benar. Saya melayan semua soalan, tanpa ada temujanji pun. Setelah berlakunya adegan tolak-menolak dan tidak ada siapa lagi yang sanggup untuk memberikan informasi, maka saya tahu, sayalah tudingan terakhir yang akan dihalakan. Dan saya akan menjawabnya mengikut apa yang saya tahu, dan apa yang saya tidak tahu, saya katakan saya memang tidak tahu.
Saturday, February 16, 2013
Jelek
Saya tidak pernah menjadi wartawan surat khabar seperti kawan-kawan saya yang ramai itu. Tetapi saya mulai menulis di surat khabar sejak masih di sekolah menengah. Menulis tentang sastera, budaya dan teater. Bahkan suatu waktu saya menulis hampir dua atau tiga kali seminggu untuk dua akhbar arus perdana tanah air. Tetapi kini tidak lagi. Bahkan membaca surat khabar pun berasa macam malas sangat. Dalam surat khabar hari ini banyak sangat berita dan cerita yang hendak muntah apabila kita membacanya.
Katakanlah, kita menonton sebuah persembahan teater yang sangat jelek - tetapi wartawan separuh tiang dan suam-suam kuku ini menulis 'yah, sebuah persembahan yang fantastik!', 'hebat ya amat', 'luar biasa', 'inilah sebuah karya agung!'. Saya yang pergi menonton sama, apabila keluar panggung, terus muntah dan muntah di longkang tempat parking kereta.
Apabila 'Raja Lawak' Zakaria Ariffin dipentaskan kembali - ITBM dan PENA seolah-olah baru memulakan langkah pemula untuk kembali membawa teater serius supaya orang datang ke teater. Paling tidak, untuk sedikit berfikir dan merenung. Tetapi, zaman pop ini, agak sukar untuk mengajak orang muda berfikir serius. Orang muda sukakan teater yang jenis 'mee segera' juga. Kalau cerita cinta, maka zahirkan aksi beromen, air mata air hingusnya sekali, peluk cium dengan tidak memberikan nilai pemikiran apa-apa selain aksi-aksi lembu kerbau, atau ayam jantan mengejar ayam betina. Nampaknya, inilah jalan masa depan teater Kuala Lumpur hari ini.
Beberapa hari lepas, saya tersalah masuk ke sebuah Sidang Media untuk sebuah pementasan teater muzikal. Istilah yang saya juga selalunya loya dan terus muntah-muntah seperti mengalahkan perempuan mengandung tujuh bulan. Ya, Tuhan! Aksi-aksi hodoh, dan lucah yang amat ditampilkan. Pondan dan bapok tua pun menunjukkan aksi-aksinya. Dua sahabat saya - kedua-duanya perempuan keluar dari ruang. Katanya seperti berbisik, "Aku loya dan nak muntah!" Dari pintu cermin luar, saya menjenjuk ke dalam, nampaklah si tua gayut yang 'rumah kata pergi, kubur kata mari' sedang bercakap memberikan penjelasan. Tak tau saya si gayut ini belajar teater di sekolah teater orang putih yang mana. Kejelekan itu tidaklah perlu dizahirkan walaupun di belakangnya ada agenda politik. Saya menghampiri si pegawai projek dan dengan bisik suara yang sangat sopan dan penuh budi bahasa, "hang pi cakap kat pak cik tu, berulang pi balik masjid lagi elok!" Dia senyum tawar kepada saya - "saya yang menurut perintah!". Ooo, saya lopongkan mulut.
Kalaulah begini perkembangan mutakhir teater kita, maka tidaklah salah kalau orang mengambil keputusan untuk tidak lagi pergi menonton teater!

Thursday, February 14, 2013
Tulisan Djazlam Zainal
RAHIMIDIN ZAHARI - BERDAYUNG DI SAMUDERA LUAS
by Djazlam Zainal on Monday, February 11, 2013 at 9:18am ·
Rahimidin Zahari dilahirkan pada 28 Maret 1968 di Peringat, Kota Bharu, Kelantan, Malaysia. Menerima pendidikan rendah dan menengah Kelantan. Memperolehi Ijazah Sarjana Muda Seni Halus dari Universiti Sains Malaysia, dan Diploma Pengurusan Seni dari Universiti Malaya. Menulis dalam semua genre sastera dan menangi pelbagai hadiah untuk kesusasteraan di peringkat kebangsaan seperti Hadiah Penulis Muda Terbaik Cerpen Esso-Gapena, Hadiah Puisi Kebangsaan Shapadu-Gapena, Hadiah Puisi Kebangsaan Esso-Gapena, Anugerah Sastera Islam Darul Imam, Hadiah Puisi Islam Yayasan Pelajar, Hadiah Sastera Kelantan, Hadiah Utusan Exxon-Mobil, Hadiah Sastera Perdana dan banyak lagi.
Telah menerbitkan 15 buah buku perseorangan dan lebih 60 buah kumpulan karya bersama penulis lain. Judul bukunya seperti Lakaran Kampung, Cempaka Putih, Pewaris, Wira Sekolah, Sekepal Tanah, Matahari Berdoa, Di Kebun Khatulistiwa, Zamok Iz Peska ( Istana Pasir - sebuah kumpulan puisi terjemahan dalam bahasa Rusia di Moscow ), Aksara, Perjalanan Salik, Rawana ( dwibahasa Melayu-Inggeris ) dan Perahu Fansuri. Dramanya yang pernah dipentaskan Muzikal Puteri Hang Li Po, Suzana @60, Teater Tari Pentas, Muzikal Putra, Mahsuri, Rebab Berbisik, Dalang dan Bidan Ketujuh. Puisinya telah diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa dunia seperti Inggeris, Rusia, Portugis, Korea, Arab dan Thai.
Mewakili negara ke Second Asean Writers Conference ( 1995 ), Festival Istiqlal ( 1995 ), International World Theatre Congres anjuran UNESCO ( 2005 ), Program Penataran MASTERA ( 2006 ) dan Korea-Asean Poets Literature Festival ( 2010 ), “The Makyung Spiritual Dance Heritage: Seminar And Performances”, di Bangkok, Thailand ( 2011 ), “1st Asian Theatre Professionals Congress”, Chongqing, China ( 2011 ) dan “ASEAN-KOREA Culture and Arts Forum ( 2012 ) Bukunya “Makyung: The Mystical Heritage of Malaysia” dilancarkan di Frankfurt International Book Fair ( 2010 )
Sekarang bertugas di sebagai Pengurus Panggung di Istana Budaya dan Editor Majalah Pentas.
Karya-karya yang telah terbit ialah Pewaris ( Novel, Fajar Bakti, 1995 ) Cempaka Putih ( Kumpulan Cerpen,[DBP, 1994 ), Sekepal Tanah ( Kumpulan Puisi, DBP, 1995 ) Di Kebun Khatulistiwa ( Kumpulan Puisi, DBP, 2005 ) Muzikal Puteri Hang Lipo ( Drama, Istana Budaya, 2006 ) Suzana@60 ( Drama, Istana Budaya, 2006 ) Aksara ( Kumpulan Puisi, Ilmu Bakti, 2009 ), Perjalanan Salik ( Kumpulan Puisi, Pustaka Nusa, 2009 ) Zamok Iz Peska ( Kumpulan Puisi dwibahasa Russia-Melayu, Moskwa, 2009 ) Perahu Fansuri ( Kumpulan Puisi, Sindikit Soljah, 2011 ) Rawana ( Kumpulan Puisi dwibahasa Melayu-Inggeris, Pustaka Nusa, 2012 ) Orang Perjuangan : antologi drama / diselenggara oleh : Rahimidin Zahari & Shamsudin Othman, Ilmu Bakti, 2009 ) Makyung : The Mystical Heritage of Malaysia /( editor ) Rahimidin Zahari & Sutung Umar RS, Institut Terjemahan Negara Malaysia, 2010 ) Pak Samad di Mata Kami (ed.) Institut Terjemahan & Buku Malaysia, 2012 ) Pengakuan Penyair (ed.) Rahimidin Zahari & Shamsudin Othman, ITBM, 2012 ) Wayang Kulit - Shadow Play The Epic of The Malaysia Archipelago, ( ITBM, 2012 )
rahimidin zahari
Dalam kumpulan Perjalanan Salik, terkandung semua puisi perjalanan kepenyairannya yang bersimpang siur dalam kehidupan luar dalam dirinya. Beliau memindahkan subjek yang melintas di hadapannya ke dalam kalbu yang kemudian dilahirkan melalui baris-baris puisi. Ketika di Manila ( 28 Januari 1995 ) beliau menuliskan,
sukar membezakan
antara jelaga siang
dengan habuk malam
neon menyamarkan alam
kenderaan menali perjalanan
keleneng dari gereja
beralun panjang
gagal kutafsir mimpi
anak-anak pulau yang terlantar
lalu kutanyakan saja dadamu, rizal
apa kabar bangsa dan pantai
tanah airmu?
Seorang penyair akan mengamati sekelilingnya. Begitulah Rahimidin. Manila telah menolak intuisinya untuk menulis. Begitu juga yang dicatatkan untuk Matahari dan Baju. Dalam Matahari, Rahimidin menulis,
sebelum terpadamnya
cahaya hari, di hotel terkutuk ini
aku mencarimu matahari
buat mengintai arah kiblatku
Dalam puisi Baju ( buat acep zamzam noor ) dituliskan,
bajumu telah kaubuka tanpa sengaja
kita berempat di kamar ini menyebut
kepulan asap dan dingin hawa
aku sempat menjeling ' tahi lalat yang
sejengkal dari pusat ' yang kaucari-carikan
itu: memang ia tertompok ditubuhmu
di luar bulan tembaga telah tiada, hanya
selembar malam samar, deru kenderaan
dan langit udara berjelaga
Di tubuh Rahimidin ada 2 keupayaan yang selari. Lisan dan tulisan. Lisan dilihat dari keterlibatan beliau dalam wayang dan perdalangan. Tulisan pula adalah hasil karya dalam bentuk puisi, skrip dan drama. Menurut Muhammad Haji Salleh, sastra bertulis berlainan sama sekali dengan sastra lisan. Sastra bertulis wujud di kertas dan berbicara dari halaman kertas, mempunyai sifat-sifatnya yang tertentu dan menuntut agar penyair tidak mengabaikan sifat-sifat tunggalnya ini. Unsur lisan terbit dari suara dan penarikan visual ( penglihatan ) Puisi memasukkan kita ke dalam ke dalam suatu pengalaman emosi dan intelektual. Pengalaman puisi ini kental, intens dan peka, karena penyair biasanya lebih intens peribadinya dan lebih peka pada pekelilingannya. Dalam tubuh Rahimidin, kedua-duanya selingkar dan sepadu menyebabkan pengaliran pemikirannya lebih kejap dan mantap.
Dalam Baju Tuamu ( halaman 8 ) Rahimidin menuliskan begini,
kutoleh langit cuaca yang memerangkap
wap hari: di antara taburan kata-kata
yang telah renta aku berjalan
aku berjalan di kebun luas ini sehingga
tak kutemui jarak dan sempadan hari
hanya kau di wakaf itu membaling kata
ke pelipis angin. kau terus membalingnya juga
sehingga telingamu sendiri tiada mendengar
lagi akan kata-kata
tidak seperti keindahan puisi, kau menghulurkan
mata pisau kias yang tajam itu
kaulupa yang kau hiris adalah bibir dan lidahmu sendiri
darahnya tak mungkin menitis ke bajuku selain baju tuamu
Puisi yang baik adalah puisi yang dapat meluaskan pengalaman hidup seseorang pendengar atau pembaca. Puisi di atas saya kira sangat sesuai dengan serlahan itu karena pengalaman penyair menyadarkan pembaca tentang aspek-aspek kehidupan yang mungkin belum pernah kita alami. Alton M. Baker menyatakan bahwa makna sebuah teks adalah hubungannya dengan konteks. Strukturalisme memberikan suatu cara berdisiplin untuk memulai dengan konteks dalam suatu karya sebagai langkah pertama, dan hanya sesudah analisa struktural itu kita bisa melangkah keluar dari teks ke dunia alamiah atau dunia sosial budaya yang merupakan konteks yang lebih luas ( 1978: 3 ) Saya melihat perjalanan penyair yang penuh ketaakulan dan persediaan jiwa. Lihatlah bagaimana penyair menyatakan, aku berjalan di kebun luas ini sehingga / tak kutemui jarak dan sempadan hari.
Seorang penyair biasanya telah menyiapkan mindanya untuk ditusuk objek dan peristiwa. Peristiwa yang diamati ialah;
hanya kau diwakaf itu membaling kata
ke pelipis angin. kau terus membalingnya juga
sehingga telingamu sendiri tiada mendengar
lagi akan kata-kata
tidak seperti keindahan puisi, kau menghulurkan
mata pisau kias yang tajam itu
Dalam puisi di atas, penyair ada menyatakan, tidak seperti keindahan puisi, kau menghulurkan / mata pisau kias yang tajam itu. Rahimidin menyakini, bahwa sekitar memberi impak terhadap penulisannya. Dalam satu pengakuannya, beliau menyatakan, saya tidak pasti adakah persekitaran mutakhir membantu atau tidak dalam mengukuhkan kepenyairan saya? ( Dewan Sastera, Disember 2012: 24 )
Pada tahun 2008, usia penyair mencecah 40 tahun. Terdapat 6 buah puisi mengimbau usia 40 tahunnya iaitu Lelaki 40, Di Depan Rumah Tak Berpintu 40, Pintu 40, Kamar 40, Jejak 40 dan Tapak 40. Dalam Di Depan Rumah Tak Berpintu 40, Rahimidin menulis,
lelaki 40
berdiri di depan rumah
tak berpintu
memandang bayang
di dalam cermin
tak bersuara
dia berdiri
dalam hujan dan gerimis
rumnput-rumputnya
tumbuh dari mata belati
dan pasirnya pula
berjuta pecahan
serbuk kaca
dia berdiri
menatap bayang
desir langsir carit
yang melambainya masuk
dari dalam cermin
rumah tak berpintu
lelaki 40
tetap diam
tanpa salam
dan melangkah pulang
membuka pintu dan jendela
sesaat dia mendengar
angin bergugus
dari bukit
dan kau kemuning
yang semerbak
Demikianlah penyair menyimpulkan segala penemuan di dunia dengan usia yang terkandung dalam tubuhnya. Melangkah ke usia 40 terkandung kekudusan yang akrab melintas di depan cermin hayatnya.
Tuesday, February 12, 2013
Kuliah Hikam
Dua malam lepas saya mengikut kuliah Hikam yang disampaikan oleh seorang ustaz jemputan di Masjid Syaidina Hamzah Kg. Batu Muda. Sebelum ini pun, saya pernah mengikuti kuliah kitab Hikam ini daripada beberapa ustaz yang lain. Dan setiap kali saya mengikuti kuliah dari kitab ini, saya sering melihat perbezaan cara penyampaian dan cara menafsir antara seorang ustaz dengan ustaz yang lain. Yang menarik malam tadi, Ustaz menghuraikan tentang penyembuhan sesuatu penyakit itu bukan kerana Dr. Pakar yang kita jumpai dengan rawatan dan ubat yang terbaik. Kepakaran dan ubat-ubatan yang terbaik tidak bisa menyembuhkan penyakit. Apatah lagi kalau Dr. Pakar itu turunnya dari langit sekali pun, tetapi kesembuhan itu tidak akan datang juga. Ustaz menambah, yang boleh menyembuhkan penyakit ada dua perkara, iaitu madu lebah dan bacaan Al Quran. Jadilah, amalkan meminum madu lebah asli dan bacaan al-Quran setiap hari.
Sunday, January 20, 2013
pandangan
apabila ditemui sejumlah mahasiswa, sama ada untuk penulisan Diploma, Ijazah Kedua, Pasca Sarjana mahupun PhD., saya seboleh mungkin mengelak untuk bercakap tentang institusi tempat saya bekerja. saya tidak ada autoriti, dan kalau pun saya diberikan autoriti, saya juga sangat tidak berminat. kalau pun saya 'terpaksa' bercakap, maka bercakapan itu sekitar ruang tugas saya yang terpikul sebagai penjawat awam. saya secara peribadinya sangat sedar diri dan sedar ruang. kalaulah saya bercakap tentang puisi, sastera, teater atau pun seni tradisi - sudah tentu saya mewakili diri saya sebagai penyair dan penyelidik budaya. saya sama sekali tidak bercakap mewakili institusi tempat yang kebetulan saya bertugas.
harus diingat, sebuah pandangan peribadi bukanlah pandangan institusi. bahkan sama sekali tidak wajar dihubungkan institusi. menghubungkan pemikiran saya yang kalaulah sering berbeza dengan orang lain di dalam institusi yang sama merupakan satu pilihan yang tidak tepat.
kepada sahabat saya, selamat mendirikan rumahtangga!

Tuesday, January 15, 2013
Menulis Cerpen
Sudah lama saya tidak menulis cerpen. Cerpen awal saya tersiar di majalah Dewan Sastera kalau tidak silap sekitar November 1989 dengan judul "Ratni dan Gelanggang Persilatan". Bayangkan saya menulis cerpen untuk Dewan Sastera untuk Disember 2012 dengan "Membajak Langit". Entahlah yang saya tulis itu cerpen atau pun bukan! Terpulang kepada editor yang menyiarkannya. Dan juga pembaca. Dalam TI majalah baru terbitan DBP, Januari 2013 saya menulis "Sekilas Pertemuan". Entahlah itu cerpen atau pun bukan! Cuma yang boleh saya katakan, saya sedang belajar menulis cerpen.

Subscribe to:
Posts (Atom)