Monday, December 12, 2011

KAPAL

"Kalau kapal dua nakhoda, alamak kapal akan tenggelam." Saya suka membaca kembali kesilaman datuk nenek ini. Tentunya sebuah kapal tidak memerlukan dua nakhoda. Cukuplah seorang nahkoda yang benar-benar jantan untuk mengemudikan kapalnya. Tak tahulah kalau nakhoda itu memang tidak bertelur dan ada nakhoda betina pula yang lebih jantan mengemudikan kapal. Paling-paling, kita akan katakan, "kesian kat kapal!".

Tuesday, December 6, 2011

DARI LUAR

Bercakap, menulis dan melukis dari luar tak sama dengan bercakap, menulis dan melukis dari dalam. Dari luar kita mendengar kata-kata yang macam hebat. Kita juga membaca tulisan yang macam hebat. Dan kita juga menatap lukisan (visual?) yang macam hebat.Kehebatan yang kita rasakan hebat itu, mungkin hebatnya pada diri kita sendiri, tetapi tidak sedikit pun hebatnya kepada orang yang mendengar, membaca dan memandangnya.

Kadang-kadang hanya kata-kata retorika, dan kerana murid-murid kita yang tak bertelur menghebatkan kita, maka hebatlah kita di mata murid-murid kita. Maka yang jenis ini, teringat saya kata-kata seorang penyair dan pelukis, "kesian dia!" Kesian ini berada dalam banyak kategori. Kesian dia kerana dia tidak faham tentang apa yang dibuatnya, tetapi teorinya melebihi apa yang terhasil. Yang terhasil, seperti kita tidak ingin mendengar, membaca dan menatapnya. "Dia tak tahu tentang apa yang ingin disampaikannya, dia tak kenal pun akan dirinya.." komenter seorang kawan yang lain.

Perbincangan menjadi semakin sukar. Saya menjenguk-jenguk dari luar. Saya tidak berhasrat untuk masuk ke dalam. Mujurlah kerana saya tidak berguru kepada buku yang sebuah dua itu!

Sunday, December 4, 2011

RUPA DAN SUARA

Jarang ada majlis baca puisi di pagi minggu. "Rupa dan Suara" berlangsung di Yayasan Seni Berdaftar di 333 Jalan Rinchie of Jalan Ampang. Saya semeja dengan Sutung Umar RS, Uwei Haji Saari, Sani Sudin dan Fakharudin Sulaiman. Saya memang tak baca puisi, tetapi puisi saya "Rawana" disampaikan oleh Sutung. Kebetulan judul "Rupa dan Suara" itu pun dicadangkan oleh Sutung sewaktu kami berbincang pada 4 Nov lepas di sebuah cafe mahal di Jalan Ampang. Seronok kerana dah lama tak dengar puisi protes. Kali ini Ibrahim Ghafar dan Sani Sudin baca puisi protes. Selepas habis puisi Ibrahim Ghafar, menteri yang hadir rasmikan majlis terus minta diri untuk balik.

Sempat berkenalan dengan pengarca, Rosli Zakaria dari UiTM Melaka.

MALAM PUISI RIONG

Saya pensajak ke kedua selepas Tuan Mohd. Khair Ngadiron. Tak nak baca mantera, sekarang nak baca sajak yang sayu-sayu je. Selepas tu saya pusing KL untuk melihat-lihat malam dan hujan.

KEMBALI KE SARANG SENI

Jumaat petang menghadiri perasmian "Kembali Ke Sarang Seni" pameran lukisan solo oleh Ali(Mabuha)Rahamad di NAG. Hujan di luar lebat sekali. Di dalamnya ada beberapa gerai buku tentang seni. Kali ini tak beli sebuah buku pun. Tentang karya, saya suka kepada karya-karya lama Mabuha berbanding dengan yang baru.

Friday, December 2, 2011

AIB

Kawan baik saya ini, macam abang saya juga. Kalau lama saya tak telefon, dia yang akan telefon. Suaranya tak pernah tinggi. Kalau saya mengata-ngatanya kat depan pun, dia senyum. Mengata-ngata institusi tempat dia bekerja pun dia senyum. Sejak belum ada ijazah pertama sehinggalah memiliki PhD, dia masih sama. Saya tak pernah panggil dia Dr. Dia memang abang yang baik, dan saya yang selalunya tak baik, seringkali menyakatnya. Tetapi dia ini, setiap kali ajak minum, dia yang ingin bayar, dan tak mahu saya bayar. Dia abang yang baik. Saya harap, dia tidak pernah ambil hati dengan saya.

Petang semalam ada miss callnya, saya tak perasan. Saya call semula. Ayat pertamanya, "Kenapa aibkan sahabat kita tu dalam mesyuarat?. Dia sahabat kita, sama ada buruk atau baik," dia soal saya. "Balik ke rumah pun tak boleh tidur, masih terngiang-ngiang, macam nak kenakan dia..."
"Kan saya dah tegur...macam nak sindir dia jer..." saya ingin memperjelaskan.
"Tak baik mengaibkan sahabat kita macam tu..."

Saya kehilangan kata-kata.

Thursday, December 1, 2011

EDITOR

Editor berperan penting sebagai orang yang membantu memperjelaskan pemikiran penulis. Yang jelas nyata, harus disembunyikan intinya dan yang kabur kelam harus dijernihkan kilaunya. Jadi, editor bukanlah sekadar pembaca pruf yang memperbetulkan tanda baca, koma, titik, "k" dua atau satu, "di" jauh atau pun dekat. Dan editor tidak semestinya pandai menulis, tetapi editor yang bijaksana akan menjadi kamus kepada sekalian kamus. Dalam tradisi Barat, editor berada di tampuk yang terhormat. Bahkan sasterawan ternama dunia, hampir semuanya menggunakan khidmat editor. Usman Awang pun khabarnya menggunakan khidmat Asraf sebagai editornya.

Tetapi, orang Malaysia jarang melihat editor itu sebagai satu tugas yang penting dan penuh tanggungjawab.