Thursday, July 14, 2011

IOWA

Satu malam, kami minum di Ani Sup Utara berdekatan dengan Danau Kota. Seorang kawan baik saya (juga seorang selebriti) yang pernah menuntut di US dan pernah tinggal di sana selama 15 tahun, tiba-tiba bertanya saya untuk mencalon nama saya ke Iowa.
"Dah sampai masa kau ke sana."
"Tak payah la bang. Semakin berumur, saya semakin suka tinggal dalam negara saya. Kalau pilihan saya, saya akan balik kampung. Pokok gaharu saya sedang tumbuh..."
"Kau nak pergi atau tak nak? Kat sana tu, kawan-kawan aku."
"Tak nak. Lima tahun lepas saya ditawarkan untuk pertukaran penulis ke Korea selama setahun. Itu pun saya tolak."
"Tak mengapalah kalau kau tak nak."
"Bang, kalau ada kos yang seminggu saya nak!"

Wednesday, July 13, 2011

Selepas 6 Bulan 2011

Selepas 6 bulan tahun 2011, barulah sempat menerbitkan dua buku puisi perseorangan saya yang tertangguh, "Rawana" (Nusa Buku: 2011) dan "Perahu Fansuri" (Sindiket Soljah: 2011). Buku-buku saya (selain yang pernah diterbitkan oleh DBP) memang tidak terdapat di pasaran terbuka.
Selain itu, telah terbit kumpulan cerpen dalam bahasa Russia dengan judul "Darah Melayu"(Moscow Publihing House:2011) yang terdapat enam buah cerpen di dalamnya, iaitu Sesudah Perang (Anwar Ridhwan), Merah (Rahman Haji Yusof), Darah Melayu (Irwan Abu Bakar), Korban (Abdul Rahman CM), Pak Da Megat Wan Setapa Mek Mah Tuk Bagih (saya) dan Di Atas Bumi di Atas Langit (Danarto). Buku ini diterjemah dan diselanggarakan oleh Dr. Victor Pogadaev.
Dalam proses percetakan dan akan terbitkan dalam waktu yang terdekat kumpulan puisi yang berjudul "Puisi Orang Bertujuh" (PENA: 2011) yang terdiri daripada Mohamad Saleeh Rahamad, Amirudin Ali, Shamsudin Othman, Rosli Bakir, Jasni Mat Lani, Sheikh Mansor dan saya.
Sebuah kumpulan puisi lain yang dalam proses penerbitan akan menampilkan puisi-puisi penyair Abdulhadi Muhamad, Azmi Yusoff, Rosli K. Matari dan saya.
InsyaAllah, kalau berkesempatan masa, akan menyusur tiga buku saya untuk tahun 2011 ini, "Rebab Berbisik" (drama), "Dari Bucu Pentas" (esei) dan "Air Mata Dalang" (cerpen- judulnya mungkin berubah.)

Wednesday, July 6, 2011

Yang Saya Tak Suka

Kelemahan dalam persembahan makyung nampaknya sering berulang-ulang. Kita menonton makyung untuk melihat nilai estetika dan autentik yang terdapat di dalamnya atau kerana ingin ketawa pecah perut? Beberapa kelemahan dalam persembahan makyung yang seringkali diulang-ulang eloklah saya sebutkan di sini:
a. Menampilkan watak pondan yang melampau-lampau. Penyelidikan saya tidak menemukan bahawa scene atau adegan pondan merupakan kewajiban dalam persembahan makyung. Kecualilah yang mengarahkan persembahan tersebut, tidak tahu sebenarnya tentang makyung, meski pun dia memberikan dakwa-dakwi bahawa dia mewarisi makyung selama 7 keturunan dan makyungnya adalah dari jurai makyung Raja-raja Pattani.
b. Lawak Slapstik yang ditampilkan dalam makyung hari ini, sebenarnya bukan itu yang harus diangkat di dalam makyung. Lawak dalam makyung untuk berfikir dan merenung, bukan sekadar lawak bodoh.
c. Ketawa pecah perut dan kelucuan kerana aksi peran - bukanlah kerana peran itu cerdik, tetapi kerana bodohnya peran yang ditampilkan. Peran Tua dalam makyung mempunyai kedudukan yang tinggi - sebagai pengasuh raja, penasihat, bomoh, perdana menteri, pemangku raja, bahkan sebagai orang yang menabalkan raja. Tetapi peran hari ini membodohkan dirinya setaraf kepala lutut sendiri. Perlu ingat peran bukannya badut!
d. Kostum dalam persembahan makyung yang meriah dan penuh warna, bukanlah tradisi makyung yang asal. Hal ini terjadi sekitar 70-an ke hari ini. Sekiranya ada kajian budak-budak u yang mengkaji kostum dalam makyung selepas zaman itu, maka kajian itu hanya melihat realiti hari ini. Dan ini merupakan kajian yang paling tidak berguna sama sekali. Tak kan pakai bunga bertali sampai penuh kepala dan tak nampak muka Raja?
e. Makyung kehilangan kehalusan ucap tetap bagi setiap peran dan watak. Ucap tetap merupakan elemen yang paling penting untuk menggambarkan keindahan dan betapa tersusunnya lafaz ucap oleh watak. Tak kan makyung dalam persembaban makyung ada ucapan "ok.ok." Kalau makyung jenis itu, memang k.o.
f. Haram dalam tradisi makyung, watak Rajanya menyisip keris di sebelah kanan. Keris wajib disisipkan di sebelah kiri.
g. Haram dalam tradisi makyung adegan peluk-peluk. Kalau nak peluk-peluk dan nak cium tangan, buat drama swastalah. Biarlah makyung kekal sebagai makyung.

Ada banyak lagi...lain kali sahajalah. (Itu pun kalau rajin.)

Wednesday, June 15, 2011

selamat berangkat
sahabatku


tiada lagi pelukan
dan salam
juga doa
yang tiada putus
engkau kirimkan
lewat kata
mahupun sms.

selamat barangkat
wahai sahabatku
kita berjarak sudah
oleh alam berbeza
namun, engkau
tetap ada
bersama kami
sahabatmu yang
merelakan.

keberangkatan
milik abadi
semua orang
tidak lewat
mahupun cepat
meski sesaat
apabila kunfayakun-Nya
telah dinoktahkan.

sebak dan senduku
jauh terpendam
di kalbu paling dalam
saat puteramu
mengimami solat
terakhir untukmu
dan sewaktu
talkin itu dilafazkan

bahagialah engkau di sana
bertemu Kekasih
Yang Maha Terkasih.

tanah perkuburan gurab,
11 Jun 2011

Friday, June 3, 2011

DI SEMPADAN VIETNAM-CAMBODIA




















Kembara ke Vietnam dan Cambodia beberapa tahu lepas. Di dalam foto ini, ada Pengerusi Tetap, Presiden, Timbalan Presiden, Setiausaha Agung dan Bendahari. Cuma yang timbul tanda tanya, siapakah gadis berbaju belang di sebelah SU? Dia tiba-tiba menyusup masuk dalam rombongan kami.

Thursday, June 2, 2011

telinga tembaga dan perut kebatu

Ayah dan kawannya Ustaz Soh sedang bercakap-cakap di ruang tamu. Saya sedang membaca. Macam buat-buat tak dengar, tetapi sebenarnya saya sedang mencuri dengar. Saya tidak jelas apa yang sedang mereka bualkan. Ustaz Soh lebih muda daripada usia ayah, dan dia memanggil ayah saya dengan panggilan "Abang Yi". Dan saya memanggilnya pula, "Abang Soh." Dia mubaligh yang mengajar kitab di surau dan masjid sekitar daerah kami. Masa itu saya dalam tingkatan 4.
"Susah abang Yi, ambo nak nasihat orang yang telinga tembaga dan perut kebatu nih!"
Mula-mula, saya terfikir ada juga orang yang telinga tembaga dan perut kebatu. Kemudian saya tahu, manusia yang telinga tembaga dan perut kebatu, manusia yang tak makan nasihat. Tak payahlah nak nasihatkan manusia yang jenis ini, dia tak akan menerimanya. Sebab? Sebab telinganya telah menjadi tembaga dan perutnya telah menjadi batu.

Wednesday, June 1, 2011

OH TAMADUN

Kata orang bijak pandai, Hadiah Nobel adalah nilai ketinggian dan kehalusan sastera yang mewakili negara yang di tanah tumpah darahnya lahir sasterawan yang dinobatkan hadiah yang paling prestij di dunia itu. Usahlah kita persoalkan dulu cara pemilihan yang dilakukan di Akademi Nobel di Sweden yang menyelenggarakan pemilihan para calonnya. Bagaimana politik dan segala macam promosi untuk pemilihan itu di jalankan - dan yang dipilih dinobatkan sebagai yang terbaik untuk tahun tersebut. Hadiah Nobel untuk kesusasteraan yang paling diidamkan negara-negara besar akal, bukannya untuk sains atau untuk keamanan.

Sastera kita tidak besar. Seperti sukan dan dunia hiburan kita. Kita oknum popular yang yang bernafas dalam debu dan rabun mata. Rabun sejarah dan rabun seni. Di podium orang buta dan pekak bercakap-cakap tanpa hentinya, menyebabkan kita yang di bawah loya dan muntah. Bahasa kita semurah sampah. Orang-orang yang terputus akal dan akar meraja di mana-mana. Oknum kehilangan arah. Sehingga tak lagi mengenali diri sendiri, dan meludah-ludah ke muka sendiri.

Kalaulah sastera dan seni lukis itu menjadi ketinggiaan tamadun bangsa, apa agaknya yang kita telah berbuat untuk itu?

Kebijaksanaan dan ketinggian nilai tamadun sesuatu bangsa itu, diukur dengan apa? Politik yang orak-arik? Bankrapsinya nilai budi yang menopengkan pantun-pantun santun, tetapi palsu?Kehebatan ahli sukan yang negara mengorbankan sejumlah dana untuknya? Kelucahan para artis yang pandai menyelak kain dan melodehkan dadanya? Kalau pandai berpantun macam burung kakak tua, mengulang-ulangnya di mana-mana atas podium, itu seni yer? Mengukur tamadun dengan ketinggian bangunan yang di dalamnya dipenuhi kaca-kaca kristal? Kehilaian tiran yang bertukar menjadi boragas? Menukar-nukar watak seperti dalam cerita wayang. Hidup ini memang wayanglah agaknya di tangan para dalang.

Tapi saya, dalang yang tidak pandai menjual bakat dan diri. Saya di persimpang - menoleh ke belakang dan memandang ke hadapan.