Wednesday, September 15, 2010

Teater Melayu ada masa depan ke?


Itu pertanya seorang pelajar MA kepada saya beberapa bulan yang lepas. Saya senyum dan sengih. Saya tak ada autoriti untuk menjawabnya. Tanyalah kepada aktivis dan tokoh teater macam Dinsman ke, Zakaria Ariffin ke, atau sapa-sapalah, jawab saya. Dan pagi ini saya mencari sesuatu di bawah meja, antara susunan surat khabar dan tindihan buku-buku. Terjumpa pula fail keratan ahkbar tentang teater yang saya simpan.

Johan Jaaffar menulis dalam kolumnya Di Luar Lingkaran - "Badan Budaya pemacu teater kita" (Berita Minggu 28 Oktober 2007). Tulis Johan: "Tidak banyak kumpulan drama yang dapat bertahan lama di negara ini. Malah salah satu ciri badan drama tempatan ialah kemunculannya secara bermusim. Selalunya sesebuah badan drama lahir kerana keperluan memasuki sesuatu pertandingan. Selepas itu kumpulan itu akan dibubarkan."

Kemudian terjumpa pula tulisan sahabat saya, Ku Seman Ku Hussain dalam kolum Getaran Seni - "Teater Melayu penuh oportunis" (Utusan Malaysia- 16 Ogos 2010). Saya petik penutup tulisannya: "Kalau kita meletakkan pelakon teater yang sebenarnya dan tidak mendapat sambutan maknanya kita tidak mempunyai khalayak yang memahami teater. Jadi, meletakkan artis popular adalah oportunisme kita sebenarnya. Lalu kita berbangga dengan penonton yang banyak padahal mereka hanya menonton artis bukan menonton teater."

Terjumpa pula sebuah katalog terbitan Pusat Dokumentasi Melayu DBP (2008) - "Dari Tamu di Bukit Kenny ke Hikayat Qaziq" yang memaparkan senarai pementasan teater oleh DBP sejak tahun 1967 hingga 2007 yang telah menampilkan 50 judul pementasan.
Pertanyaan "Teater Melayu ada masa depan ke?" masih bermain-main dalam fikiran saya. Dalam masa 100 tahun mendatang, bolehkah lahir seorang Shakespeare untuk teater Melayu? Saya tidak perlu menjawabnya.

Tuesday, September 14, 2010

Ke Madrasah Diniah Ahmadiah

Dijanjikan oleh seorang teman untuk menemui seorang ulama di Hulu Langat sejak lama, tetapi belum ada kesepakatan antara kami. Selepas berbuka malam tadi saya menelefonnya, dan dia lantas memberitahu akan ke sana. Saya akan mengambilnya di Ampang Jaya untuk ke Batu 10 Hulu Langit. Kami pun berangkat ke sana dari Ampang meredahi malam. Dan al-Fadhil Tuan Guru Ustaz Zakaria Awang, Mudir Madrasah Diniah Ahmadiah sedang menunggu kami. Dibawanya kami ke kawasan pondok, asrama dan dewan kuliah. Dari madrasah tersebut kami dibawa ke Kg. Simpang Balak untuk menunjukkan satu lagi madrasahnya yang dikhususkan untuk melatih para tahfiz yang sedang dalam pembinaan. Pagar batu, bangunan utama dan asrama sedang dalam proses pembinaan dengan keluasan tanah seluas 2 ekar. Sehingga kini telah RM1 juta digunakan untuk membangunkan madrasah tersebut di atas tanah wakaf.

Ustaz Zakaria Awang al-Ahmadiah berasal dari Besut, Terengganu. Menerima pendidikan agamanya di Pondok Terusan, Pasir Tumbuh di bawah didikan Tuan Guru Haji Abu Aziz dan Tuan Guru Haji Mustafa. Seterusnya ke Pondok Gaal Pasir Puteh dan Pondok Amir di bawah Tuan Guru Haji Hussin. Dalam masa yang sama beliau berulang ke Bukit Abal dan menerima ijazah amalan tarekat Ahmadiah di bawah asuhan Tuan Guru Haji Daud Bukit Abal.
Sejak 19 tahun yang lalu beliau memulakan sekolah pondoknya di Simpang Balak dengan menyewa tanah di situ, di samping memberikan kuliah mingguan dan bulanannya di AU4 Keramat, Taman Permata, Surau DBKL dan di pelbagai tempat di KL dan Selangor. Beliau juga mengumpulkan dana untuk membina beberapa masjid di Kemboja dan di Selatan Thailand.

Beliau mengajak kami minum, dan kesempatan itu saya gunakan untuk bertanya banyak hal tentang pendidikan agama yang dipeloporinya. Sebelum pulang, al-fadhil menghadiahkan kami buku kecil "Doa Satih" atau dikenali juga sebagai "Senjata Fakir" yang diterimanya daripada Baba Mid Celigi, Pasir Puteh serta amalan zikir "Ya Qawiy Ya Matiin".
"Kalau kelapangan jemputlah datang setiap Rabu malam Khamis kami mengadakan majlis zikir Tarekat Ahmadiah di madrasah kami." Pelawa beliau kepada saya.

Monday, September 13, 2010

Aidil Fitri

Aidil Fitri 1431- hari raya pertama tanpa ayah. Hari raya, di mana-mana pun sama. Tak ada nostalgia apa-apa pun. Semuanya telah terbunuh agaknya. Tetapi anak-anak seronok sangat (termasuk isteri). Meraikan 'seronok' mereka maka terpaksalah balik juga. Walaupun cuti saya hanya cuti hari raya. Saya tak suka balik musim raya sebab jalannya sesak, setiap simpang dan jalan kampung penuh dengan kenderaan. Bayangkan sebuah rumah ada enam ke sepuluh buah kereta. Kerana saya selalu balik saban bulan, dan saya tak berapa sangat untuk berebut balik. Alhamdulillah perjalanan balik saya 6.30 jam sahaja dari KL ke kampung kami, tak ada satu pun kemalangan di kiri dan kanan jalan. Masa balik KL semula pagi semalam pun sama, cuma sesekali terpaksa mengekor pemandu yang memandu seolah-olah dia seoarang sahaja yang bayar road tax dan memandu itu satu aktiviti bersantai-santai, macam memandu di atas batas tali air kat Kedah dan Perlis. Anak-anak saya masih belum puas beraya dan saya tinggalkan untuk mereka beraya dengan nenek mereka dan sanak keluarga di sana.

Dalam perjalanan balik petang semalam, saya menerima dua sms daripada syeikh kami:
"Wahai saudaraku yang sedang berjalan menuju kepada Allah! Pada hari raya ini janganlah kalian lalai bersama orang-orang yang lalai dan leka bersama orang-orang yang leka. Ingatlah kadangkala di dalam ibadah yang kita lakukan seperti mengerat silaturahim, ziarah menziarahi, menghadiri rumah terbuka dan dan sebagainya terselit di dalamnya maksiat dan syahwat tersembunyi yang tidak kita sedari. Ingatlah hakikat hari raya di sisi para salik ialah wusul kepada mahabbah Sayyid al Rasul dan Makrifah Allah Qadhi al Hawaij waal Ma'mul."

Manakala sms kedua: "Para ikhwan yang dikasihi! Di dalam Islam 'Idul Fitri hanya 1 hari sahaja iaitu 1 Syawal. Ia dikenali sebagai 'Id al Saghir (kecil). 'Idul Adha pula selama 4 hari mula dari 10 Zulhijjah hingga 3 hari berikutnya yang dikenali dengan hari Tasriq. Ia adalah 'Idul Akbar (besar). Oleh itu janganlah kalian menganggap selain hari tersebut sebagai hari Raya kerana ia adalah perkara bida'h di dalam Islam. Ketahuilah bahawa Rasulullah saw tidak pernah merayakan hari-hari yan lain bahkan Rasulullah saw pernah memimpin bala tentera memerangi musuh pada bulan Syawal iaitu Peperangan Hunain. Sedarlah bahawa adat melampau dalam beraya disebabkan roh jihad telah tercabut dari hati umat Muhammad dan kecintaan terhadap dunia dan makhluk telah bertakhta di dalam hati."

Malam tadi bersahur sendirian. Sunyi sepi dan anehnya hidup ini. Allah swt yang Maha Sempurna dan telah menciptakan kehidupan.

Wednesday, September 8, 2010

HUJAN KENANGAN

kenangan
tak pernah terpadam,
ia selalu hadir mengalir
dengan sayup yang jauh
dan debur yang dekat.

buku catatan kenanganku
memang tidak tercatatkan
tetapi setiap kata,
dan patah suara
sentiasa terakam.

saat puitisnya
mengikut jejak dan tapak
di belakangmu dalam renyai hujan

tiada serasa ada
dan ada serasa tiada -
hanya mataku
yang membasah.

RZ-8.9.10

Tuesday, September 7, 2010

PENYAIR MELAYU-THAI MENANG SEA WRITE

Zakariya Amatya merupakan penyair Melayu-Thai pertama yang diumumkan sebagai penerima SEA Write bagi negara Thailand bagi tahun 2010. Satu anugerah yang dianggap berprestij, begitulah sebagaimaan yang diberitakan oleh al fadhil Ustaz Abdul Razak Panaemalae. Zakariya berasal dari Pattani, tetapi menetap di Bangkok. Oleh orang tuanya, beliau dikirim ke Lucknow untuk mendalami pengajian Islam, kelak bila kembali ke tanah air, dia akan memanggung gelar title 'ustaz'. Tetapi Zakariya tidak pulang sebagai ustaz, sebaliknya dia kembali 'seniman jalanan'.
Anugerah SEA Write dijangka akan disampaikan pada bulan Oktober ini, dan pada bulan yang sama Zakariya akan berangkat ke Paris untuk menyampaikan puisi-puisinya kepada khalayak di sana. Kemenangan Zakariya menjadikan satu sejarah -kerana buat pertama kalinya bentuk sajak menang untuk kategori puisi. Lazimnya di Thailand yang dipilih sebagai pemenang adalah kategori ini dikenali sebagai klong (sejenis syair Thai). Dengan kemenangan ini, Zakariya telah berjaya menempa namanya dalam genre sajak. Kumpulan puisi Zakariya tersebut berjudul "Mai Mi Ying Sau Nai Bot Kawi" (Tak Ada Gadis Dalam Puisi)

Pada bulan November 2009 yang lalu, Zakariya Amatya pernah hadir untuk Festival Penyair Nusantara III di Kuala Lumpur dan membacakan puisi-puisinya dengan gaya yang tersendiri. Tahniah untuk Zakariya Amatya dengan kemenangan tersebut. Moga-moga dalam waktu terdekat Abdul Razak Panemalae akan mengalih aksaranya ke bahasa Melayu.

Thursday, September 2, 2010

Susahnya Mengurus Manusia

(Siri selepas terawih)
Seorang teman mengadu betapa susahnya mengurus manusia. Lebih susah mengurus manusia daripada mengurus sekandang babi.
"Sewaktu di kampung kat Kelantan, aku sering ke Kg Terbak dekat Tumpat atau Kg. Aril dekat Pauh Lima semata-mata kerana ingin melihat anak-anak babi keluar petang melintas jalan. Jalan berderet-deret, cantik tengok...Babi tu retinya sondol umbi pisang, perdu lengkuas kerana nak makan cacing...tapi manusia ni banyak yang jenis celaka laknat lebih daripada babi ni...Kau bayangkan bunuh bini, sembelih anak, rogol adik-beradik. Ini jenis yang lebih babi daripada babi." Dia menyedut teh tariknya.
"Marah nampak!" saya mengusiknya.
"Ini manusia yang bukan manusia. Ini jelmaan setan, jelmaan dajal. Surat khabar yang aku baca pun macam sial setiap hari. Berita-berita sial dan dajal semuanya."
"Sebab itu, agama penting untuk memandu manusia. Tanpa agama, manusia boleh bertukar menjadi setan."
"Jadi yang jahat-jahat, yang bantai duit rakyat, yang memecah-belahkan kesatuan rakyat, yang makan rasuah, yang pemalas, yang tak solat, yang tak puasa itu semua setanlah?" tanya dia.
"Tuan boleh berfikir dengan waras, tuan pun tahu apa yang tuan nampak...kan?"
"Yang jahat dan buang bayi tu semua macam Melayu dan Islam je?" soal dia.
"Kejahatan itu ada dalam bangsa apa pun. Tanpa nur hidayah, tanpa kenal dirinya, selama itulah dia berada dalam kegelapan. Islam mungkin hanya warisan baka sahaja, tetapi amalannya tidak."
Kawan saya itu sebenarnya belum beragama dan sedang ingin mendalami Islam.



Tuesday, August 31, 2010

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN YANG KE 53

Tiba-tiba berasa patriotik pula. Tak pernah pula berasa sepatriotik hari ini.
Bangun seawal bersahur jam 4 pagi bersiap untuk ke Stadium Putra, Bukit Jalil untuk menyambut kemerdekaan tanah air yang ke 53. Bercadang untuk bersahur di Kampung Baru, tetapi hanya Allah swt sahaja yang tahu betapa Kg. Baru yang bakal dimajukan demi 1 Malaysia itu begitu sesak. Kereta diletakan di kiri kanan jalan sehingga sukar sekali ingin membelok ke kiri mahu pun ke kanan. Penyudahnya bersahur dengan Burger McD. Terasa kurang patriotik pula kali ini. Tetapi itulah pilihan terakhir kerana mengejar subuh.
Agaknya berapa ramai rakyat Malaysia yang tidur selepas bersahur atau selepas subuh sempena hari cuti menyambut kemerdekaan tanah airnya yang ke 53? Kemudian terjaga dan tidur lagi untuk menunggu waktu berbuka.